KOLUM | Selama ini saya bersahaja dengan komen negatif terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau julukannya, PMX, yang berlegar-legar dalam kalangan komuniti Cina.
Biasalah, tiada sesiapa yang kebal daripada kesilapan selagi dia membuat keputusan dan mengambil tindakan. Lagipun, mustahil seseorang insan memuaskan hati semua orang, apatah lagi seorang politikus.
Malah, kita tidak naif untuk menelan bulat-bulat apa sahaja yang dihidangkan di media sosial. Kita sedar akan perang propaganda yang saling membedil dari siang ke malam, juga tentera siber yang tidak penat lelah meronda ke setiap pelosok untuk meninggalkan “komen template” yang terancang.
Maka ia diterima sebagai fenomena yang normal, pada zaman politik hari ini.
Saya hanya terjentik apabila seorang kawan bertanya, “(Sentimen terhadap PMX) Dah seteruk macam (sentimen terhadap) Najib, bukan?”
Sentimen semacam zaman Najib
Terjentik kerana Najib Razak bandingan yang “bukan biashe-biashe”. Untuk makluman, Najib mengambil alih tampuk kuasa pada 3 April 2009, selepas Umno-BN dibadai “Tsunami Politik” dalam PRU 8 Mac 2008.
Tidak pernah Najib disambut secara positif dalam kalangan masyarakat Cina, walaupun 100 hari pertama sebaik masuk pejabat. Apa sahaja yang dilakukan untuk memikat hati pengundi Cina, tidak kena pada tempatnya. Ini menjelaskan mengapa Utusan Malaysia tertanya-tanya, “Apa lagi Cina mahu?” sejurus selepas PRU 2013.
Saya mula menelaah pengamatan kawan saya, sama ada ia meleset dari realiti atau sebaliknya. Sejujurnya saya tidak memiliki data stastistik untuk mengukur sejauh mana populariti PMX, tetapi sekadar berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, yang saya akui ada keterbatasannya.

Saya diajukan soalan, “Apakah ada saudara-mara, atau sahabat-handai yang kamu temui semasa Tahun Baru Cina, bercakap sesuatu yang positif tentang PMX, atau kerajaan Madani?”
Saya hanya mampu menggelengkan kepala. Saya memanjangkan soalan ini kepada beberapa orang kawan yang lain, dan ditemukan dengan jawapan yang sama: tiada.
Pengalaman sedemikian ada kalanya lebih dekat dengan realiti. Kita biasa bergerak dalam zon rakan yang sewaktu dengan kita, apatah lagi dengan suapan media sosial mengikut perhitungan algoritma.
Saudara-mara atau sahabat handai yang kita temui secara bersemuka pada waktu perayaan di kampung, adalah mereka yang berlainan zon pemikiran, atau jalur fahaman lantaran latar belakang kerjaya yang berbeza.
Misalnya mereka yang berniaga akan merungut tentang SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan). Ada sahaja ketidakpuasan yang diluahkan, ditokok-tambah dengan khabar yang entah dari mana sumbernya.
“RM200 juta untuk Gaza”
Maka fenomena di alam maya ini tidak boleh lagi dipandang remeh. Ia membayangkan, kalaupun bukan mencerminkan sentimen dalam realiti. Dan jikapun naratif yang dibina di media sosial membawa agenda politik tertentu, PMX dan Kerajaan Madani sepatutnya resah kerana rakyat jelata dalam alam realiti kini terbawa-bawa dengan naratif yang senada.
Antara isu yang menjadi sasaran serangan adalah peruntukan RM100 juta untuk Gaza, sebanyak dua kali oleh PMX. Setiap kali munculnya berita subsidi ditarik atau dikurangkan atas alasan kesempitan kewangan, angka “RM200 juta kepada Gaza” akan diungkit netizen Cina dengan nada yang sinis.
Malah, apabila PMX mengumumkan peruntukan lebih RM20 juta kepada 63 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), rekod tertinggi dalam sejarah yang asalnya wajar diraikan dalam vibe yang positif, bertukar pula menjadi sindiran berlapik dengan lambakan komen, “Gaza dapat RM200 juta, SMPC dapat RM20 juta sahaja”, membayangkan seolah-olah kedudukan warga negara keturunan Cina lebih rendah berbanding warga Palestina.

Lebih parah, apabila PMX kelihatan seakan-akan gagal menyanggah hujah sebegini dengan berkesan. Ketepikan sesetengah Cina yang sememangnya dikaburi emosi atau prejudis, terdapat juga Cina yang bersimpati dan bersolidariti dengan Palestin. Cuma pertikaiannya, mengapa RM200 juta?
Apabila persoalan ini tidak dirungkaikan dengan baik, sebaliknya ditempelak PMX sebagai “tiada nilai kemanusiaan”, bayangkan reaksi yang menanti di tengah-tengah gelanggang.
Ghairah apabila PH tewas di Sabah
Hakikatnya, keputusan pilihan raya Sabah 2025 memadai untuk dijadikan petunjuk. Sentimen Cina di Semenanjung Malaysia jelas – mereka ghairah bersorak untuk pengundi Cina di Sabah kerana telah melakukan sesuatu yang tidak berani dilakukan mereka – menenggelamkan DAP dengan 8-0.
Apa tidaknya? Pernah pengundi Cina di Semenanjung berbuat demikian dalam PRK Tanjung Piai 2019, secara tidak langsung menjurus kepada Langkah Sheraton kemudiannya. Lantas mereka lebih berhati-hati dalam PRU2022, dan tidak membuat tuntutan melampau sebaik Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai perdana menteri.
Namun berkali-kali mereka dikecewakan. Untuk masyarakat Cina, sama ada isu stoking yang tertera kalimah Allah, mahupun Jalur Gemilang yang diterbalikkan, kedua-duanya dianggap sebagai kes terpencil, dan kecuaian yang tidak disengajakan.
Namun, serangan bertalu-talu memberi persepsi seolah-olah komuniti ini tidak patriotik dan sengaja menghina simbol agama dan negara. Apatah lagi, serangan yang paling agresif datang daripada Ketua Pemuda Umno, parti komponen Kerajaan Madani, dan bukannya Perikatan Nasional (PN).
Di sini runtuhnya “kepercayaan” atau “trust” yang disandarkan mereka terhadap PMX, apabila PMX dianggap lambat bertindak untuk mematahkan serangan, atau menoktahkan polemik itu. Ditambah pula isu-isu lain, misalnya isu Teoh Beng Hock yang tidak berkesudahan, sisa-sisa “trust” yang berbaki juga menjadi basi.
Maka PMX mula dipersenda dan ditohmah dalam media sosial. Hampir tiada cendekiawan, atau penganalisis politik Cina yang berkaliber dan berpengaruh, terpanggil untuk mempertahankan PMX secara terbuka.
Lantas komen negatif terhadap PMX hanya cuba dineutralkan dengan template komen seperti “PMX terbaik”, “PMX bekerja” dan sebagainya, yang sememangnya gagal melekat, apatah lagi mematahkan naratif negatif.
Alih undi atau tidak?
Apapun sentimen terhadap PMX dan Kerajaan Madani, saya difahamkan bahawa penyokong PH yang optimis tetap yakin bahawa apa yang berlaku di Sabah, tidak akan berulang di Semenanjung.
“Ini kerana pengundi Cina di Sabah telah terpedaya dengan Warisan, yang memberi harapan palsu bahawa partinya mampu menawan Sabah. Mustahil DAP disapu bersih dari Sabah, andainya pengundi Cina menjangkakan kesudahan bahawa Warisan gagal membentuk kerajaan.”
“Di Semenanjung, pengundi Cina tiada alternatif andainya menolak PH. Mereka tidak tergamak untuk mengundi Perikatan Nasional atau Barisan Nasional. Suka atau tidak, PH satu-satunya pilihan andainya pengundi Cina masih mahukan suara mereka diwakili di Putrajaya,” sebelum ditambahnya, “Pengundi Cina sentiasa pragmatik.”
Hujah ini berasas. Cuma saya ingin menyusul dengan perkembangan terkini. Secara umumnya, masyarakat Cina kini gagal membezakan antara PH dengan PN. Kedua-duanya membawa dasar konservatif dari kaca mata masyarakat Cina. Dengan kata lain, DAP gagal membawa apa-apa perubahan sebagai parti pemerintah. Malah, DAP yang lantang ketika menjadi pembangkang, kini menjadi bisu lantaran terikat dengan kedudukan dalam kerajaan.
Maka muncullah hujah bahawa sekurang-kurangnya ada suara yang membela masyarakat Cina, andainya DAP menjadi pembangkang – lebih baik jikalau dibandingkan dengan senario DAP berada dalam kerajaan!
Sudah tentu hujah sedemikian boleh dipertikai dan diperdebatkan. Malah, saya menganggap masyarakat Cina juga terperangkap dalam “blind spot” tertentu, ketika mencurahkan emosi dan sentimen. Kita sedia maklum, persepsi tidak semestinya objektif, dan sentimen sentiasa tidak rasional.
Malangnya, persepsi dan sentimen jugalah yang mencorakkan wajah dan landskap politik tanah air, bukan?
LIM HONG SIANG ialah bekas wartawan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
