Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketika tulisan ini digarap gencatan senjata antara Amerika dan Iran masih berjalan walaupun perbincangan di Islamabad gagal.

Zionis Israel dan Amerika telah menyerang Republik Islam Iran pada 28 Februari 2028. Pertempuran berlaku selama 40 hari sebelum gencatan senjata diumumkan.

Menggunakan taktik klasik Perang Iraq – Amerika dan Israel telah mengebom kota-kota di Iran. Hari pertama serangan besar telah berlaku di Tehran. Pemimpin Agong Ayatollah Ali Khamenei telah syahid bersama anggota keluarga. Beberapa pemimpin tentera dari Kor Pengawal Revolusi Iran juga turut sama gugur.

Dalam perancangan dan perhitungan - Trump meramalkan perang ini tidak akan melebihi empat hari. Ketua Mossad David Barnea dan Netanyahu telah meyakinkan Trump perang akan beres hanya dalam beberapa hari.

Mengikut perancangan Mossad setelah kematian para pemimpin politik dan kepala tentera pasti Republik Islam Iran akan angkat tangan - kibar bendera putih menyerah kalah.

Sap sap sui. Lebih mudah dari menangkap Maduro dari Venezuela.

Ini tidak berlaku. Trump berilusi menyimpan harapan kosong. Balasan dari Iran mengejutkan. Bukan hanya mengejutkan Zionis Amerika malah mengejutkan warga dunia.

Warga dunia tergamam melihat apa yang berlaku. Kini diketahui umum bahawa selama berpuluh tahun ini rupa-rupanya Iran telah membuat persediaan persenjataan yang amat rapi.

Kedudukan strategik

Pelik tetapi benar – walau pun ada sekatan ekonomi dari Amerika dan kuncu-kuncu tetapi Iran masih berupaya membina kekuatan senjata. Dunia hairan dari mana segala jenis senjata – peluru berpandu, roket dan drone - muncul dari dalam saku seluar Iran.

Hakikatnya para pemimpin dalam kerajaan Iran telah membuat bacaan politik dan militer yang tepat. Semenjak kerajaan Shah Ahmad Reza Pahlavi dijatuhkan pada tahun 1979 Amerika dan Israel telah memusuhi Iran.

Dari segi kedudukan alam Iran amat penting dan strategik. Selain dari minyak dan gas dalam perut bumi – muka bumi Iran juga adalah penyambung bumi Asia dengan Eropah.

Dunia kapitalis mengetahui Iran adalah negara ketiga yang memiliki simpanan bahan bakar petrol dan gas terbanyak sesudah Saudi Arabia dan Venezuela. Jika Iran hanya menghasilkan petai dan jering tidak ada siapa ambil peduli.

Pada tahun 1953 Perdana Menteri Iran Mohammad Mosaddegh yang telah dipilih secara demokratik melalui pilihan raya telah memiliki negarakan bahan bakar minyak yang dimiliki oleh syarikat kapitalis Inggeris. Mosaddegh mahu minyak Iran dimiliki oleh Iran untuk rakyat Iran bukan untuk dibawa pulang ke London.

Kaum pemodal dan pemilik syarikat minyak telah bekerjasama dengan MI6 dan CIA. Mereka telah melakukan rampasan kuasa pada tahun 1953.

Perusuh diupah untuk merusuh. Kacau bilau dirancang untuk menggugat kerajaan. Akhirnya Perdana Menteri Mosaddegh ditangkap dan mati dalam tahanan. Ahmad Reza Pahlavi telah dinobatkan sebagai Raja Iran. Dari sebuah republik Iran menjadi monarki.

Di zaman kerajaan monarki Shah Pahlavi - Amerika, Inggeris dan Israel telah berkenduri kendara merompak hasil bumi Iran. Untuk memastikan terus berkuasa Shah Reza menubuhkan pasukan Special Branch yang diberi nama Savak. Sesiapa berani bersuara akan ditangkap dan dipenjara.

Pada tahun 1977 dengan bangganya Presiden Jimmy Carter telah menyifatkan Iran sebagai ‘island of stablility – pulau yang stabil’.

Dua tahun kemudian semua berubah. Revolusi Islam meledak. Jutaan rakyat turun ke jalan raya melawan rejim feudal Shah Ahmad Reza Pahlavi. Rakyat Iran bangun memberontak.

Penjarahan ke atas Iran ini tamat pada tahun 1979. Revolusi Islam Iran yang dipimpin oleh Ayatollah Khomenei berjaya menghumbankan barua budak suruhan Amerika Shah Ahmad Reza Pahlavi ke dalam tong sampah sejarah.

Islam ke pentas politik dunia

Rejim monarki Iran diruntuhkan. Iran menjadi Republik Islam Iran. Dari detik ini Iran yang membawa garis Revolusi Islam telah menjadi musuh kepada Amerika, Israel dan Inggeris dam kaum kapitalis.

Kejayaan Revolusi Islam pada tahun 1979 ini telah mempengaruhi seluruh dunia Islam. Agama Islam tidak lagi dilihat lekeh dan kolot. Dari Beirut ke Bombay – dari London ke Langat – dari Tehran ke Timbuktu - Islam kini memasuki ke pentas utama politik dunia.

Kaum pemodal melihat kehadiran Republik Islam Iran ini mengancam dunia kapitalis. Ideologi Islam yang dibawa oleh Iran dilihat merbahaya. Lalu dirancang projek pertama untuk menghapuskan pengaruh Republik Islam Iran.

Saddam Hussein telah digunakan untuk menumpaskan Revolusi Iran.

Iraq menyerang Iran pada September 1980. Saddam Hussein mendapat bantuan senjata, logistik dan diplomatik dari Amerika, United Kingdom dan Israel. Negara-negara Arab Telok juga bersekongkol sama untuk membantai Iran.

Perang hanya tamat pada Ogos 1988. Setelah 8 tahun dibantai Republik Islam Iran masih tegak berdiri.

Rancangan jahat Amerika dan Zionis Israel terhadap Iran tidak terhenti di sini sahaja. Kali ini CIA memunculkan projek yang lebih licik untuk memandulkan garis revolusi yang dibawa oleh Iran.

Secara tersusun dan dirancang rapi telah dimunculkan apa yang dikenali sebagai mazhab dalam Islam. Tertiba dunia Islam mula diracuni dengan perancangan licik kaum Zionis dan kaum kapitalis.

Pecah dan perintah

Projek imperialis beracun ini dalam bahasa Latin dipanggil divide et impera – devide and rule – pecah dan perintah. Ini taktik pecah perintah yang telah digunakan oleh kaum kolonialis seperti Inggeris untuk menjajah negara-negara di Selatan seperti di Tanah Melayu.

Masyarakat dan penganut agama Islam dipecah-pecahkan untuk senang dijajah dan diperintah. Maka teologi Islam dicungkil, dikaji dan dipupuk untuk mewujudkan secara hakiki dan terbuka tentang mazhab dalam Islam.

Lalu diumumkan ke seluruh dunia tentang wujudnya dua mazhab Islam. Satu dipanggil Islam Sunni dan satu lagi Islam Syiah. Ada Sunni Made in Washington ada Syiah Made in London.

Satu Islam Sunni di bawah Saudi Arabia. Satu Islam Syiah di bawah Iran.

Propaganda mazhab Sunni-Syiah ini sebelum Revolusi 1979 ini tidak wujud. Para penganut agama Islam di negara-negara Islam di dunia seperti di Malaysia hanya diberi kesedaran dan propaganda tentang Sunni dan Syiah setelah Revolusi Iran 1979.

Taktik mazhab ini cukup jelas. Ini perancangan kaum kapitalis yang tersusun. Jika rakyat bersatu mereka tidak akan ditipu. Sejarah menunjukkan bahawa taktik adu domba ini berjaya.

Lihat kembali sejarah perjuangan untuk menghalau Inggeris dari Tanah Melayu. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) mahu merdeka. Mereka sanggup angkat senjata untuk menghalau Inggeris.

Maka Inggeris menubuhkan United Malays National Organisation yang bersedia berunding dan berbaik-baik untuk menjaga harga kekayaan Inggeris. Ini taktik pecah dan perintah. Adu dambakan Melayu sesama Melayu.

Bahaya pada zionis

Mosaddegh dari Iran akan memilik negarakan telaga minyak milik Inggeris. Ahmad Boestamam juga akan memelik negarakan lombong bijih milik Inggeris.

Mosaddegh dan Boestamam menjadi musuh kaum kapitalis. Sikap anak watan yang berani melawan wajib dihapuskan. Mereka ini dianggap bahaya kerana akan menjadi contoh ikutan generasi muda.

Justeru inilah yang sedang berlaku di Iran. Tenaga nuklear, Selat Hormuz, peluru berpandu atau drone ini hanyalah perencah kempen untuk mengolah persetujuan. Isi utamanya ialah Iran tidak dibenarkan berani bangun melawan. Iran jangan menjadi contoh negara Islam atau negara di Selatan.

Iran yang berani bangun melawan kaum Zionis, kaum kapitalis Anglo-Amerika jika tidak dibantai dan ditundukkan akan menjadi contoh ikutan. Republik Islam Iran akan menjadi contoh yang membawa bahaya kepada Zionis Israel dan imperialis Anglo-Amerika.

Pertama yang akan mengikut cara Iran pastilah penganut agama Islam yang kini merasa bangga melihat keberanian dan kejayaan Iran berani melawan Israel dan Amerika.

Negara-negara Arab yang selama ini bersekongkol degan Israel dan Amerika pasti merasa terancam. Ancaman bukan datang dari Iran tapi dari warga negara itu sendiri.

Kelompok liberal dan sekular di Barat yang memiliki sikap anti-kapitalis juga akan turut sama berbangga, melihat Iran yang berani bangun melawan Amerika dan Israel.

Kaum kiri dari jalur benang merah juga akan melihat apa yang dilakukan oleh Iran ini sebagai sambungan gerakan anti imperialis dan sambungan dari Revolusi Bolsheviks 1917.

Ketika tulisan ini selesai digarap berita gencatan senjata dan perundingan di Islamabad Pakistan dilapur gagal. Dalam masa yang sama kelihatan serangan bom dan tembak-menembak berhenti kecuali di Lebanon.

Perunding Iran di Islamabad, Pakistan.

Israel terus membedil Lebanon kerana Israel tidak mahu ada jalan tamat untuk perang ini. Projek Zionis Israel ialah menghancur musnahkan Islamik Republik Iran.

Sementara itu dunia kapitalis dalam kesakitan. Harga bahan bakar petrol terus naik. Rakyat mula bangun di sana sini. Di Ireland, di Rom, di Paris, di London – warga telah mula turun ke jalan.

Sasaran rakyat kali ini ialah rejim pemerintah yang selama ini bekerjasama dengan Amerika dan membantu kewujudan Zionis Israel.

Apa seterusnya akan berlaku? Keadaan masih hangat dan cair. Perang boleh meledak sekali lagi. Sila tunggu sambungan minggu depan. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS