Paling Popular
Terkini

KOLUM | Ketika orang ramai mudah menyebarkan kata-kata tidak beradab terhadap sesiapa saja melalui media sosial pada zaman ini, ada baiknya rakyat diingatkan tentang kepentingan sikap budiman bagi menjayakan demokrasi.

“Budi” merupakan konsep dalam budaya Melayu yang amat digemari oleh tokoh bangsa, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz Abdul Hamid, bekas Canselor Universiti Malaya.

Untuk memahami konsep “Budi” ada tiga ungkapan yang boleh dijadikan rujukan.

Pertama: ‘Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati’. Maknanya budi itu lebih berharga daripada harta benda.

Kedua: ‘Berbudi pada tanah’ yang bermaksud budi itu merupakan suatu usaha, dan bukannya hanya kata-kata.

Ketiga adalah ‘berbudi bahasa’. Maka budi yang bermaksud memberi sumbangan itu juga boleh datang dalam bentuk kata-kata baik.

Ungku Aziz memperkenalkan majalah yang bernama Budiman untuk bacaan mahasiswa selepas peristiwa demonstrasi besar-besaran pada tahun 1974. Ia adalah sebagai menggantikan akhbar Mahasiswa Negara yang diterbitkan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang diharamkan

Dalam majalah Budiman diterbitkan oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) itu, beliau berusaha untuk mendidik para mahasiswa untuk menjadi budiman.

Seringkali istilah “gentleman” dalam bahasa Inggeris diterjemahkan kepada “budiman.” Ia tidaklah benar-benar tepat kerana perbezaan budaya. “Gentleman” boleh bermaksud golongan elit yang menguasai Britain dalam zaman imperial. Sedangkan “budiman” dalam budaya Melayu tidak semestinya merujuk pada golongan elit. Sama ada golongan bangsawan atau rakyat kebanyakan, seseorang boleh menjadi budiman.

Antara ’gentleman’ dan budiman

Tetapi konsep ini bolehlah digunakan bagi menjayakan demokrasi hari ini. Lagipun terdapat perbezaan amalan demokrasi British dengan demokrasi Malaysia yang diwarnai dengan budaya Islam dan Melayu. Namun demokrasi tetap dilihat bermula dalam tamadun Greek di Athens. Ahli falsafah Greek yang mendukung demokrasi di kalangan semua warga kota ialah Protagoras.

Namun begitu Socrates, Plato dan Aristotle mengingatkan bahawa demokrasi massa akan membawa kepada kekacauan dan pemerintahan “mob” iaitu orang ramai yang mudah terpengaruh dengan sentimen dan emosi yang dihebah-hebahkan dengan laungan keji. “Mob” ini terdedah pada manipulasi kumpulan yang mempunyai agenda buruk.

Pemikiran Greek ini turut mempengaruhi ahli falsafah Islam zaman Abasiah yang mengkaji Aristotle seperti Al-Farabi.

Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, demokrasi telah diterima secara universal sebagai amalan pemerintahan moden untuk semua negara walaupun terdapat pelbagai variasi menurut negara berbeza.

Tetapi ternyata demokrasi menuntut sikap “budiman” daripada pesertanya. Demokrasi di Athens disertai oleh warga kota yang disebut sebagai “citizens.” Istilah inilah kini digunakan bagi merujuk pada warga negara yang dalam demokrasi berhak menjadi pengundi dan menyertai perdebatan dalam isu-isu nasional.

Maka warga negara British yang terlibat dalam demokrasi adalah pada awal dan asalnya merupakan “gentleman” iaitu golongan terhormat walaupun ia kemudian diperluaskan kepada wanita dan para pekerja.

Namun mereka dituntut menjadi sebagai “gentleman” iaitu bersikap terhormat dan beradab dalam nenyuarakan pendapat-pendapat mereka.

Sememangnya kebebasan bersuara adalah antara asas pada demokrasi. Tetapi ia hendaklah berasaskan pada maklumat yang mencukupi walaupun tidak semua warga mampu memperoleh segala maklumat.

Tetapi warga negara yang menyertai demokrasi mesti mengikut perkembangan melalui pembacaan mereka terhadap akhbar. Sebab itu kebebasan akhbar dan ketelusan maklumat adalah penting dalam demokrasi.

Tidak menghina

Satu lagi aspek penting dalam demokrasi ialah kemampuan berdebat dan berhujah secara tenang, tidak keterlaluan dalam emosi walaupun sebagai manusia tentulah seseorang tidak boleh mengelak daripada dipengaruhi oleh sensitiviti emosi masing-masing.

Ketenangan berdebat hanya dapat dipupuk dan dilatih melalui keluarga, sekolah dan masyarakat. Ia tidak diwujudkan dengan hanya melalui seruan, himbauan atau peringatan semata-mata.

Dalam konteks Malaysia yang Prinsip Kelima Rukun Negaranya ialah “Kesopanan dan Kesusilaan”, bersikap “budiman” itu tentulah meliputi percakapan yang berbudi bahasa. Ia juga bermaksud tidak menghamburkan kata-kata fitnah, menghasut, dan menghina, mengejek, memaki dan mengaibkan seseorang.

Malah seseorang “budiman” tidak akan menggunakan label-label atau panggilan buruk terhadap orang atau golongan lain. Ajaran Islam adalah jelas dalam hal ini. Tetapi jika seseorang sememangnya berperawakan buruk, pastinya pelbagai alasan akan dicari untuk membolehkan perbuatan mereka.

Dengan adanya media sosial, kini kuasa warga negara menjadi lebih besar atau amplify dengan mereka menjadi warganet atau netizen. Malah kini kewartawanan yang menggunakan media tradisional dipanggil legacy journalism sementara semua warga negara boleh jadi wartawan dalam konsep citizen journalism.

Maka dengan meningkatnya kuasa warga negara kerana adanya media sosial sebagai warganet, maka sikap budiman juga perlu dinaikkan taraf supaya menghasilkan demokrasi bermutu. Jika tidak, apa yang berlaku ialah demokrasi yang tidak mencerminkan aspirasi sebenar rakyat tetapi orang ramai yang terikut-ikut dengan mentaliti “mob.”

Perlu diingat bahawa semasa belum ada Internet, semua maklumat dikawal oleh kerajaan dan luahan perasaan rakyat ditapis oleh media sama ada surat khabar, radio atau televisyen.

Umpamanya jika ada seseorang menulis surat yang mencaci-caci pemimpin kerajaan dan mengantarnya kepada akhbar, maka editor berkenaan pasti membuangnya dan tidak menyiarkannya. Maka pembaca tidak akan ketahui ada seseorang yang berkata-kata tidak beradab itu.

Banyak gangguan

Satu lagi dimensi media digital yang ada hubungannya dengan demokrasi ialah rakyat mempunyai akses yang luas untuk memperoleh maklumat. Seharusnya rakyat hari ini lebih berpengetahuan kerana mudahnya memperoleh maklumat. Dengan pengetahuan yang lebih ini, orang ramai boleh berfikir lebih matang lagi berbanding dahulu.

Ditambah pula rakyat hari ini lebih berpendidikan. Mereka bukan saja mempunyai kemampuan akademik yang lebih berbanding generasi terdahulu, tetapi corak pemikiran generasi baharu yang bersifat global dan berteknologi tinggi menjadikan mereka dapat menilai sesuatu itu dengan lebih bijak dan cepat.

Namun begitu, cabarannya ialah terdapat banyak gangguan atau “distraction” yang menyebabkan banyak warganet lebih berminat pada perkara-perkara tidak atau kurang penting. Sedangkan dalam demokrasi, isi-isu yang perlu difikirkan adalan sesuatu yang serius dan bukannya menjadi bahan lucu untuk ditertawakan dan dihina.

Gangguan-gangguan itu pula menyebabkan golongan ini sukar untuk memikirkan sesuatu isu secara mendalam dan mencapai kesimpulannya, sebaliknya mereka hanya dapat hadam sesuatu maklumat di peringkat permukaan saja walaupun terdapat banyak fakta yang boleh diakses.

Satu lagi cabaran pada demokrasi ialah sistem politik dan ekonomi dunia yang bersifat kapitalistik dan penuh korupsi. Ia telah menguasai dan mempengaruhi minda semua warga dunia di pelbagai negara untuk bersikap rakus terhadap kekayaan harta benda yang melampau hingga meminggirkan realiti penderitaan hidup kebanyakan manusia di seluruh dunia.

Ada satu ciri penting yang wajar pada seseorang untuk bersikap budiman iaitu solidariti, kesetiakawanan, ukhuwah atau persaudaraan sesama warga negara. Di sinilah terletaknya perpaduan kaum, umpamanya antara orang India, Cina dan Melayu serta integrasi nasional, iaitu antara orang Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Konsep solidariti ini ditekankan semasa Revolusi Perancis yang popularkan konsep citizen iaitu perkataan warga kota yang diperluaskan pada semua penduduk negara untuk menjadi warga negara. Jadi warga negara itu meretas semua lapisan masyarakat, sama ada golongan bangsawan atau aristokrat, kelas menengah borjuis dan kelas golongan pekerja dan petani.

Maka di kalangan warga negara ini, Revolusi Perancis menuntut solidariti yang disebut “fraternity”. Tiga perkataan motto dalam Revolusi Perancis dan diabadikan dalam Perlembagaan Republik Perancis ialah liberte (kebebasan), egalite (persamaan) dan fraternite (persaudaraan) ini adalah prinsip demokrasi di mana solidariti merupakan sikap saling hormat-menghormati sesama warga negara tanpa mengira kaum, anutan agama dan fahaman politik.

Maknanya walaupun kepada golongan pesaing politik seseorang, setiap warga negara wajar dilihat sebagai saudara setanah air yang perlu dilayan dengan baik dan secara terhormat. Itulah antara sifat budiman yang wajar ada dalam demokrasi.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS