KOLUM | Beberapa jam sebelum gencatan senjata berakhir pada 22 April 2026, Presiden Donald Trump telah memberi dua arahan melalui laman Truth Social.
Arahan pertama: Gencatan senjata diteruskan. Arahan kedua: Tentera laut Amerika terus mengawal dan menutup Selat Hormuz.
Mengikut arahan Trump, gencatan senjata perlu diteruskan hingga persetujuan tercapai. Trump menunggu sehingga Iran muncul dengan cadangan damai. Secara tuntas tidak ada butiran apa yang akan berlaku seterusnya.
Trump menulis di laman Truth Social: “Oleh itu, saya telah mengarahkan tentera kita untuk meneruskan sekatan dan, dalam semua aspek lain, kekal bersedia dan mampu, dan oleh itu akan melanjutkan gencatan senjata sehingga masa cadangan mereka dikemukakan, dan perbincangan dimuktamadkan, satu cara atau yang lain.”
Ini adalah watak Trump. Beberapa jam sebelum arahan baru di Truth Social ini dibuat, Presiden Amerika ini telah mengancam untuk mengebom semua loji jana kuasa elektrik Iran, untuk memastikan Iran kembali ke zaman batu.
Iran dan dunia telah dan sedang melihat tindak tanduk Presiden Amerika ini. Awalnya dunia agak risau tapi kebelakangan ini Iran dan warga dunia melihat Trump ini sedang membuat lawak berdiri. Nak ketawa salah. Tidak ketawa pun salah kerana Trump sudah menjadi Pelawak Dunia yang menakutkan.
Belum pernah dunia dan badan politik dunia berhadapan dengan watak seperti Donald Trump. Apa yang menakutkan dan menggerunkan kita semua ialah sosok ini adalah Komander Agung Tentera Amerika. Askar Darat, Laut dan Udara Amerika semua di bawah arahan Donald Trump.
Paling menakutkan Trump juga boleh memberi arahan untuk meledakkan bom nuklear di mana saja yang dia berahi.
Keadaan ini mewajibkan Hishamuddin Rais memberi cadangan kepada semua pembaca untuk mencari dan menuntun kembali filem Dr. Strangelove garapan Stanley Kubrick. Filem komedi seram tahun 1964 ini membawa kisah mengenai bom atom dengan kuasa politik Presiden Amerika.

Zaman Meleset mungkin berulang
Ketika ini gencatan senjata masih berjalan. Pakistan masih berusaha untuk membawa Amerika dan Iran ke meja rundingan.
Tetapi dalam masa yang sama bentrokan masih berjalan di antara Israel dengan Hizbullah di Lubnan. Israel juga masih menyerang Gaza. Paling terkini wartawan Lubnan yang cuba menyelamatkan diri dari serangan Israel telah mati dibunuh.
Dalam masa yang sama Selat Hormuz masih ditutup. Tentera laut Amerika melarang kapal untuk berlabuh di pelabuhan milik Iran. Dalam masa yang sama soldadu Iran juga telah membedil dua buah kapal yang ada kaitan dengan Amerika dan Zionis Isreal.
Jelas dan terang gencatan senjata yang dipupuk oleh Pakistan ini dilihat goyah. Hakikatnya dunia kita hari ini semakin tegang. Mak Cik, Pak Cik, Amoi, Wong dan Mutthu di Malaysia mungkin masih belum merasakan dampaknya secara keras. Harga minyak sudah naik. Harga diesel naik mendadak.
Kita di Malaysia masih selesa dan bertahan. Dampaknya mengambil masa untuk turun dari pembuat kepada pembekal kepada peruncit dan kepada pengguna.
Tetapi pakar ekonomi dan ahli perniagaan yang arif dalam hal jual beli minyak telah meramalkan jika keadaan seperti hari ini berterusan pasti akan memporak-perandakan ekonomi dunia.
Malah ada yang berani berkata ekonomi kita hari ini lebih nazak dari krisis minyak tahun 1973. Lebih nazak berbanding ketika dunia dilanggar oleh wabak Covid-19. Jika keadaan yang wujud sekarang ini tergelincir di luar kawalan, mungkin Zaman Meleset 1939 akan berulang.
Tidak disangka rupa-rupanya Iran telah memiliki senjata yang lebih bahaya daripada bom nuklear. Apabila Iran mencekik leher Selat Hormuz, seluruh dunia susah bernafas.
Dari awal lagi – ketika Perang Iran dengan Iraq, Selat Hormuz telah memainkan peranan. Ketika itu dari 1981-1988 Tanker War – perang kapal minyak berjalan. Tetapi Selat Hormuz tidak ditutup.
Iran dari awal lagi telah memberi amaran terbuka kepada Amerika dan Israel jika mereka diserang, Selat Hormuz akan ditutup.
Malah para pemikir dan para jeneral di Pentagon sedar dan tahu perkara ini. Mereka juga tahu dampaknya ke atas ekonomi dunia.
Tetapi Presiden Trump telah berjaya ditipu oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan David Barnea, Pengarah Mossad. Malah ada akhbar Amerika yang melaporkan Pengarah Mossad ini selalu berkampung di Washington DC dan di Rumah Putih.
Dua Zionis ini meyakinkan Trump bahawa perang ini akan selesai tidak lebih daripada seminggu. Untuk Israel, Netanyahu dan kaum Zionis, mereka merancang agar bala tentera Amerika masuk mengebom dan memusnahkan Iran.
Memusnahkan Iran sebagai sebuah negara adalah matlamat akhir Zionis Israel. Ini kerana Republik Islamik Iran adalah satu-satu negara yang terus menyokong, memberi bantun moral dan material kepada perjuangan kemerdekaan Palestin.
Perancangan dan konspirasi projek Zionis ini kita lihat telah terbalik. Hasilnya hari ini Iran telah dilihat dan dibaca sebagai kuasa dunia keempat sesudah Amerika, China, dan Rusia.

Kawalan ke atas Selat Hormuz
Apabila saya menulis tentang kemunculan Iran sebagai kuasa dunia ada yang memanggil Hishamuddin Rais sebagai Penganut Baru Syiah.
Biar saya nyatakan bahawa saya tidak perlu menjadi Syiah untuk menulis dan merakam kebenaran. Malah saya ajukan soalan: Apakah Profesor Richard A Pape dari Universiti Chicago ini kini menjadi Syiah?
Saya bertanya ini kerana tulisan dan pandangan profesor inilah yang meyakinkan saya tentang kedudukan Iran pada ketika ini.
Robert A. Pape, seorang profesor sains politik di Universiti Chicago. Dia merupakan pakar dalam keselamatan antarabangsa. Dia terkenal dengan analisisnya tentang keganasan politik dan pemberontak di Amerika. Dia juga memberi kuliah kepada pasukan keselamatan Amerika.
Hakikatnya dia ilmuwan yang bukan kecil anak.
Profesor Richard telah menulis esei tetamu di The New York Times pada 6 April 2026. Ini adalah akhbar yang sama yang telah menulis tentang Najib, Jho Low dan 1MDB.
Esei tulisan Profesor Richard ini bertajuk The War is Turning Iran into a World Major Power - Perang Menjadikan Iran Sebagai Kuasa Dunia.
Profesor ini berpendapat Iran boleh menjadi "pusat kuasa global keempat" bersama Amerika, China, dan Rusia kerana pengaruhnya ke atas Selat Hormuz.
Hujah utama Profesor Richard bukan kerana Iran tiba-tiba menjadi lebih kaya atau lebih kuat dari segi ketenteraan, tetapi kerana satu faktor strategik: Kawalan geografi Iran ke atas Selat Hormuz.
Kira-kira 20 peratus daripada bekalan minyak dunia melalui laluan air yang sempit itu. Jika Iran boleh mengganggu atau mengancam penghantaran ke sana, ia boleh mempengaruhi harga minyak dunia – ekonomi negara Barat – serta logistik ketenteraan di Telok Parsi dan ini adalah pengaruh diplomatik ke atas kuasa besar.
Pandangan Profesor Richard ini dikongsi oleh ramai pemikir, para strategis geopolitik dan intelektual liberal di Amerika.
Saya nyatakan di sini pandangan Profesor Richard ini dipersetujui dan disokong oleh Profesor Mearsheimer yang juga dari Universiti Chicago.
Apa yang menarik tentang Mearsheimer ialah dia lulusan Maktab Tentera West Point. Bertugas sebagai soldadu tentera udara Amerika 1970-75 memegang pangkat Kapten. Setelah bersara dia menyambung pelajaran untuk menjadi ahli akademik hubungan antarabangsa.
Mearsheimer penulis buku yang prolifik. Tahun 2007 menulis buku Israel Lobby and American Foreign Policy. Buku yang kini menjadi rujukan untuk memahami bagaimana kaum Zionis berjaya meresap untuk mempengaruhi politik Amerika.
Ketika tulisan ini digarap Selat Hormuz masih ditutup. Amerika melarang kapal minyak atau kapal barang masuk dan keluar dari pelabuhan Iran. Amerika mahu mencekik ekonomi minyak Iran. Jika minyak Iran tidak terjual maka Iran akan jatuh muflis. Tangki simpanan minyak Iran akan penuh dan akan membawa mudarat.
Sebagai jawapan Iran pula akan menghalang keluar masuk kapal ke pelabuhan negara Arab Teluk seperti Bahrain, Saudi, Kuwait dan UAE. Negara-negara ini adalah sekutu Amerika dan sekutu Israel.
Kau kepung aku – aku akan kepung kawan kau. Inilah dasar yang sedang dilakukan oleh Iran sekarang.
Pemerhati politik dari London, Paris, Berlin dan New York semua sependapat bahawa Trump telah kalah dan silap langkah apabila menyerang Iran. Mereka juga sependapat bahawa Trump sedang mencari jalan keluar untuk menamatkan perang ini.
Pakar ekonomi juga sedang memberi pandangan yang jujur. Perang ini jika berterusan malapetaka besar akan sampai.
Beberapa negara di Timur Tengah seperti Iraq, Jordan, Kuwait, Bahrain, dan Qatar, telah menutup ruang udara mereka kepada lalu lintas awam. Gangguan besar kepada syarikat penerbangan utama seperti Emirates, Qatar Airways dan Etihad.
Lufthansa telah menangguhkan banyak penerbangan kerana tidak ada bahan petrol. Manakala penerbangan ke hab utama seperti Dubai, Abu Dhabi dan Tel Aviv menghadapi pembatalan dan laluan semula yang teruk.
Ekonomi sedang memberi tekanan kepada Trump. Dalam masa yang sama Netanyahu juga tidak mahu projek menghancurkan Iran ini terhenti sebelum Iran musnah sebagai sebuah negara.
Inilah dilema yang sedang dihadapi oleh Presiden Donald J Trump, Presiden ke-47 Amerika. Dunia menunggu apakah langkah yang akan diambil oleh Sang Presiden?
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
