Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Tindakan Undang, di mana pula suara rakyat jelata Negeri Sembilan?

Dalam hal krisis di Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih, pembesar Melayu yang mempunyai kuasa menabal dan memecat Yamtuan, iaitu Datuk Undang Yang Empat, bersama Tunku Besar Tampin, perlu menyatakan sebab-musabab jelas mengapa mereka telah memilih untuk “memecat” Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Alasan untuk melengserkan takhta seorang Yamtuan akan kembali kepada pertamanya, kerana baginda tidak siuman. Keduanya, jika baginda melakukan jenayah. Sementara ketiga, sekiranya baginda melanggar hukum syarak. Yang mana satukah alasan mereka? Sehingga kini belum ada sebab jelas mengapa Undang Yang Empat memilih tindakan luar biasa untuk menurunkan Yamtuan ini.

Sekiranya Undang Yang Empat tidak dapat memberikan alasan maka menurut perbilangan Adat Perpatih tindakan mereka itu tidak dapat dianggap sah kerana panduan adat menjelaskan; ‘adat diisi janji dilabuh’ iaitu untuk satu keperluan adat itu dipenuhi, mesti semua syarat telah dilampaui. Dalam hal ini Adat Perpatih menegaskan bahawa ‘adat berpanas syarak berlindung’ yang mana adat hanyalah jasad sedangkan hukum syarak adalah jiwa kepada badan.

Yamtuan mesti dibuktikan telah melakukan sesuatu yang menyalahi hukum syarak, satu yang sangat berat untuk dilunasi. Adat Perpatih juga mensyaratkan bahawa setiap satu-satu keputusan hendaklah dibahas dan dibicarakan secara terbuka.

Perbilangan adat memberitahu rakyat Negeri Sembilan, ‘adat lalu di tengah terang’ iaitu satu-satu keputusan tidak boleh dibuat secara sulit.

Ini bermaksud dalam Adat Perpatih, pembesar adat tidak boleh sesuka hati dan sewenangnya memutuskan sesuatu perkara melibatkan anak buah, atau dalam hal ini rakyat jelata. Apatah lagi hal yang diputuskan itu melibatkan seorang raja. Itu belum lagi tuntutan Adat Perpatih agar sesuatu itu diputuskan terlebih dahulu menurut perbilangan ‘alur dan patut’ yakni hukuman atau keputusan dijatuhkan sesuai dan tepat dengan persekitaran.

Adat Perpatih juga memberi amaran kepada ‘hukuman di balik batang’ yang mana hukuman dijatuhkan tanpa prosesnya.

Saya mengikuti penuh minat wawancara dengan Tan Sri Rais Yatim mengenai keabsahan tindakan Undang Yang Empat ini. Saya kecewa hampa. Malangnya Rais sendiri gagal memihak kepada adat. Ini kerana perbilangan Adat Perpatih menghujahkan ‘adat dipakai baru, kain dipakai usang’ iaitu sesuatu adat itu boleh berlaku perubahan dan beradaptasi serta berkembang.

Sebagai pengkaji budaya saya ingin mengingatkan semua, yang adat adalah satu aturan yang diturunkan generasi demi generasi dan diterima semua. Tetapi itu tidak bermakna adat tidak menimbangkan kita ahli masyarakat.

‘Adat dipakai baru, kain dipakai usang’ itu meminta kita orang Minang untuk melalui proses adaptasi. Dalam erti kata lain Adat Perpatih mesti menimbangkan dunia Malaysia hari ini, yang mana rakyat Negeri Sembilan bukan sahaja terdiri dari orang Melayu, kini kita sudah ada bukan Melayu; sudah ada generasi baru yang dinamai Gen Z yang belum tentu mahir dengan Adat Perpatih.

Malah generasi ini mentertawakan segala adat ini yang dianggap purba dan tidak serasi dengan Malaysia moden. Itu belum lagi kalau kita mengambil kira Negeri Sembilan juga kini didiami oleh orang bukan Negeri Sembilan. Ambil sahaja Nilai, Labu, Senawang dan Seremban yang penghuninya adalah dari limpahan migrasi bandar orang Melayu dari ibu kota dan Lembah Kelang.

Adakah mereka ini semua akan perlu akur kepada adat purba dan mitos Puteri Mayang Selida yang tidak menghitungkan keberadaan mereka? Saya fikir Adat Perpatih tentu dapat berlaku adil kepada mereka. Kita memang ada cara menimbangkan ’orang luar suku’. Tetapi kalau kita sendiri gagal menghormati adat yang dijunjung bagaimana orang luar akan menghormati kita?

Orang Negeri Sembilan berbangga dengan Adat Perpatih yang serba sedikit adalah satu bentuk sistem demokrasi yang canggih. Akan tetapi hal ini nampaknya akan terhakis seandainya krisis hari ini gagal mewaraskan apa yang berlaku dengan terang.

Dunia hari ini bukan lagi di zaman Raja Melewar, kita hidup di zaman yang makruf dan mungkar itu jelas ditimbang.

Adakah keputusan ”memecat” Yamtuan ini telah menempuh proses yang saksama? Proses adat dalam sistem Adat Perpatih tidak semudah apa yang Empat Undang ini lakukan. Ada perbilangan yang teguh mendidik, iaitu muafakat mesti dilihat dari semua penjuru:

‘Sekali kemarau tiba

Sekali pucuk beralih

Sekali hujan turun

Sekali lubang berisi

Sekali air bah

Sekali tepian berubah.’

Perbilangan ini menghujahkan ’adat nan diadatkan’ mestilah mengambil kira orang kampung, anak buah dan rakyat jelata. Ia tidak boleh diputuskan oleh Undang, Lembaga, Kadim dan sekian orang kaya mengikut selera masing-masing. Anak buah, dalam sistem Adat Perpatih mestilah beroleh bukti kesalahan sejelas ‘ayam putih terbang siang’ seperti dinyatakan dalam perbilangan:

‘Ayam putih terbang siang

Hinggap di kayu meranting

Tambangnya tulang

Talinya uban

Terang dek cahaya matahari

Bergelanggang dek mata nan banyak.’

Semua ini mesti dipersembahkan dalam Dewan Keadilan, dan tiba maklumatnya kepada anak buah atau rakyat jelata. Dan seperti diutarakan lebih awal, mesti diingat dalam dunia moden, rakyat Negeri Sembilan sudah ada bukan Melayu, bukan Negeri, dan bukan generasi lama (ada anak muda). Semua mereka mesti diperkirakan. Mereka juga akan beroleh kesan dari pilihan kita. Ingat, kita hidup di tahun 2026.

Saya juga berasa tidak aci akan argumen Tan Sri Rais Yatim yang terkenal orangnya beradat. Barang diingat sehingga 15 April 2026 yang lalu, Rais masih orang kuat Bersatu. Kita tahu ada elemen dalam Bersatu yang berusaha untuk mengambil kesempatan oleh keadaan ini, iaitu untuk melengserkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun. Hujah- hujah Rais Yatim dengan itu tidak termasuk dalam ‘adat yang kawi, syarak yang lazim’ memandangkan beliau boleh dianggap berpihak.

Yamtuan atau raja di Negeri Sembilan memang tidak mempunyai kuasa mutlak. Ini kerana Adat Perpatih meletakkan baginda dalam keadaan sebagai simbol keadilan:

‘Adapun raja itu tiada mempunyai negeri

Dan tiada mencukai kharajat

Melainkan berkeadilan sahaja

Serta pemakan duit sesuku

Beras segantang, nyior setali.’

Meskipun tiada kuasa seluas raja di negeri lain, hal ini juga bermakna baginda dalam kedudukan yang unik dan istimewa, dengan mengambil kira adat di sebelah kanan, dan undang-undang Malaysia moden iaitu Perlembagaan Malaysia di sebelah kiri.

Selagi sebab dan alasan untuk ”memecat“ Yamtuan tidak dikemukakan dan diproses dengan jujur, maka selagi itu keruh ini berpanjangan dan belum tentu menjernih.

Umum mengetahui Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir disenangi rakyat jelata pelbagai kaum dan generasi. Jika Undang Yang Empat boleh bersikap dalam kabur, maka sekian kadim, anak buah dan rakyat juga berhak menyatakan dan bersikap dalam terang.

Barang diingat, dalam dunia moden hari ini, suara rakyat lebih mudah kedengaran (ada media sosial, dan boleh berkumpul), manakala degil pembesar adat boleh dikesampingkan dan diperkecilkan. Itu sahaja sudah menjadi satu acuan atau aturan untuk susunan adat yang baru. Ini kerana ‘adat dipakai baru, kain dipakai usang‘.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS