KOLUM | Jika tidak silap, gerai burger yang pertama dibuka di Kuantan terletak berhadapan dengan balai polis di Jalan Besar. Berhadapan dengan Kompleks Teruntum.
Jika tidak salah juga, ia dibuka oleh Mie Ayam, anak Penghulu Malik. Mie ialah penjual kereta Proton generasi pertama. Generasi yang membuat duit jika menjadi salesman Proton.
Yang menjaga gerai berkenaan pula ialah Mie Potek. Dia menjadi muka kepada gerai berkenaan.
Sementara itu, ada sebuah lagi gerai burger terbuka terletak di kawasan Court Mammoth (sekarang dikenali sebagai Courts). Ia mula beroperasi sekitar 1980-an dulu.
Semasa berada di Kuantan baru-baru ini, kami terlihat gerai berkenaan masih wujud. Memang kedua-dua gerai burger berkenaan dibuka sekitar tahun-tahun berkenaan.
Kami terperasan yang Lan – tuan punya gerai berkenaan – ada di sana. Mungkin dia masih menjadi tuan punya. Tahniah kerana masih bertahan. Kami kenal Lan dan Lan pula tidak mengenali kami.
Kami berdua duduk dalam kumpulan yang berbeza, dengan dia sedikit berusia berbanding kami.
Gerai burger Mie Ayam sudah lama tutup. Tapak gerainya pernah cuba dihidupkan oleh Abang Karim, tukang gunting di Style Cut. Ia merupakan kedai gunting milik Mat Nor yang masih ada hingga kini.
Entah di mana sedapnya
Kami mula melanggan kembali Style Cut setelah panas hati dengan cara budak-budak sekarang menggunting. Semua mahu disagatnya walhal rambut kami hanya tinggal tiga helai.
Burger adalah makan yang datang dari wilayah asing dan sejak itu tidak pernah balik lagi. Bahkan dengan bergayanya kini burger dari Malaya – khususnya jenama Ramly – telah berjaya memenangi selera orang Amerika, tempat yang katanya asal muasal burger.
Hotdog pula tidak bernasib baik. Sehingga hari ini hotdog tidak mendapat tempat di hati orang tempatan.
Selain burger, tomyam juga adalah makanan asing yang datang dan tidak nampak jalan pulang. Mula dari awal 1990-an, tomyam kini menjadi makanan yang serasi dengan rakyat tempatan.
Jarang ada orang yang tidak ke kedai-kedai tomyam sekurang-kurang sekali dalam seminggu.
Sebelum itu, roti john pada awal-awal kemunculannya seakan tidak mendapat sambutan. Hanya mutakhir ini ia mula menjadi perhatian. Kami sendiri agak memusuhi roti john. Entah di mana sedapnya tidaklah kami ketahui.

Gerai kebab pertama yang dibuka di Kuantan pula terletak berhadapan panggung wayang Rex. Ia dibuka oleh abang Cik Boon sahabat kami itu. Semasa menulis ini kami terlupanya namanya.
Nanti apabila teringat, akan kami catatan kan namanya di sini.
Kami ialah peminat kebab berkenaan, namun sambutan daripada orang banyak tidak begitu memberangsangkan. Mungkin kerana ia sesuatu yang baru dan tidak cool seperti burger.
Gerai berkenaan ditutup tidak berapa lama kemudian.
Oh! Nama abang kepada Cikgu Hasbul yang membuka gerai kebab berkenaan ialah Jalil.
Makanan semua kaum
Mungkin Jalil mendahului masa. Hari ini semua orang beratur panjang di Bukit Bintang membeli kebab.
Satu lagi jenama kebab tempatan yang sedikit gagal ialah Kyros Kebab. Kami juga sangat suka akan kebab tersebut. Masih terdapat satu atau dua kedai Kyros Kebab dengan satu berada di Cyberjaya.
Kami pernah ke sana dan mendapati ia masih mengekalkan rasa yang sama. Cuma keadaan kedai berkenaan agak kekeluargaan. Mereka seolah-olah berniaga hanya untuk bertahan dan kurang terlihat ada usaha untuk menggalakkan lebih ramai pelanggan datang.
Sebelum seorang orang Melayu memusnahkan nasi ayam, makanan ini hanya dibuat oleh orang Cina. Lalu kami tidak pernah memakannya. Cuma setelah dibuka sebuah francais terkenal, kami menjadi pemakan nasi ayam.

Satu atau dua bulan sekali kami akan melayan nafsu makan di situ. Kami suka nasi ayamnya namun sebagai pengemar mi kari, kami juga memusuhi mi karinya yang terlebih daun limau purut itu.
Nasi ayam kini menjadi makanan semua orang dan semua kaum. Tidak nampak ia akan pupus walau dengan pengaruh besar makanan Jepun dan Korea sekarang. Mungkin kerana kita sudah lama duduk dengan orang Cina maka menerima makanannya bukan sesuatu yang sukar.
Cuma jika semua orang yang mahu menjual makanan kepada orang Islam itu lebih berhemah, mungkin kita tidak akan menghadapi masalah halal haram yang dilabel sebagai Muslim friendly hari ini.
‘Neraka’ di kari nasi kandar
Pusing ke belakang lebih jauh, kita akan jumpa kari. Ada yang mengatakan kuah itu berasal dari India. Mungkin ia adalah benar. Namun hari ini kari adalah milik semua. Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Orang Borneo pula ada versi masing-masing. Jepun juga ada kari sendiri, begitu juga dengan Korea. Malah kari juga sangat terkenal di Eropah.
Cuma di Malaya ini kari yang boleh mengalahkan semua kari hanyalah kari nasi kandar.
Peminatnya bersumpah yang kuah campur adalah gambaran makanan dari sorga, sementara kami secara peribadi apabila melihat semua jenis kari dicampur dalam satu pinggan akan berkata dalam hati bahawa “ini agaknya yang akan dimakan oleh ahli neraka.”
Sekarang ini datang pula ayam segala gepuk. Mereka dilihat seperti akan terus kekal. Namun kami mengandaikan yang makanan itu terkhusus untuk satu generasi saja, yakni generasi hari ini.
Mereka gemarkan ayam gepuk, geprek dan yang sewaktunya dengannya. Ia adalah makanan yang berasaskan ayam. Generasi burger, generasi tomyam tentu agak skeptikal namun ini hanya satu pandangan peribadi.

Kata orang, makanan adalah penyatu semua bangsa. Ia buta ras. Ada Cina makan nasi lemak dan ada Melayu makan nasi ayam. Ada India makan ayam geprek dan semua bangsa makan kuah kari.
Lalu jika kamu marah pada rakan Hindu yang selang dua hari membina kuil baru itu, sebelum bergaduh, cuba ajak dia makan-makan. Mungkin jika makanan yang kamu hidangkan itu sedap, mereka lupa akan hal mahu membina kuil, atau tokong, atau apa saja.
Kita cuba dengan cara diplomasi nasi. Mana tahu kita semua akan lebih bertoleransi.
Kata Bob Marley, a hungry man is an angry man, lalu mari kita tenangkan semua orang.

Kami juga pernah terlibat dalam dunia penjualan burger. Gerai kami terletak berhampiran dengan restoran Sate Zul di Jalan Kuantan Garden. Fuad – nama sebenar tuan punya Sate Zul – asalnya berjualan di kaki lima restoran sekarang.
Dulu-dulu, setelah berniaga, Fuad, Cina Panjang dan kami akan duduk berbual-bual. Fuad akan menceritakan tentang perniagaannya. Cina Panjang akan komplen mengenai riba yang tidak habis-habis perlu dibayar untuk kedai yang dibelinya.
Kami pula menjadi pendengar, mengumpul cerita mereka untuk kami tulis buat bacaan kamu semua hari ini.
Kami mengambil alih perniagaan burger Mat Nor yang mempunyai dua adik perempuan yang jelita. Asalnya kami menolong Mat Nor berjual dengan upah RM3 sehari. Dan seperti mana-mana penjarah, perlahan-lahan kami mengambil alih semua perniagaannya.
Sebagai perbandingan, harga burger waktu itu ialah RM1.20 sebiji. Benjo sekitar 80 sen atau RM1.
Ding Dong (atau yang dipanggil sebagai burger special hari ini) berharga RM1.80. Adalah menjadi satu dosa yang tidak terampun jika waktu itu ada yang meminta burger dengan dua keping atau lebih daging.
Itu adalah perbuatan orang gelojoh dan tidak berakhlak.
Dan hari ini, burger dengan dua atau tiga malah empat keping daging adalah normal. Maka ketahuilah kamu bahawa masyarakat hari ini adalah masyarakat yang gelojoh.
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penggemar budaya K-pop.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
