Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Seorang sasterawan bernama Zulkifli Muhammad

KOLUM | Nama Mana Sikana diisytihar sebagai Sasterawan Negara Ke-16 sehari selepas saya menghadiri satu mesyuarat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pada mesyuarat itu tiada agenda atau khabar tentang pengumuman tersebut.

Mana Sikana sudah disebut-sebut di belakang tabir beberapa bulan lalu. Tiadalah ghairah untuk saya mengaitkan sasterawan tersebut dengan negeri kelahiran kami, Perak.

Sebelum ini, Sasterawan Negara yang berasal dari Perak ialah Baha Zain dan Muhammad Haji Salleh.

Mana Sikana merupakan anak Perak ketiga yang menerima anugerah paling tinggi dalam kesusasteraan tanah air. Pengumuman itu juga mencetuskan polemik dengan pelbagai sudut pandangan diutarakan.

Semuanya lebih kepada persoalan “waktu”. Ia jadi lebih menarik kerana tidak kelihatan ada sesiapa yang mempersoalkan tentang “siapa”.

Persoalan “waktu” sebenarnya memberi ruang untuk kita meraikan dan menghargai deretan nama sasterawan dalam sejarah persuratan Melayu yang tidak mendambakan gelaran dan hampir dilupakan.

Waktu tidak pernah menunggu. Ia bergerak mengikut fitrah alam.

Polemik sebenarnya baik untuk memperbaiki masa hadapan. Ia juga perlu untuk kita merenung masa silam agar waktu yang ada tidak dipersia-siakan.

Ketika ini ada sebuah nama yang menyentak ingatan saya. Nama itu ialah Dr Zulkifli Muhammad yang berasal dari Kuala Kangsar. Dia lebih dikenali sebagai ahli politik dan pernah menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS.

Almarhum pernah menjadi regu kepada Dr Burhanuddin al-Helmy.

Tawaran yang dilupakan

Dia juga pernah Ahli Parlimen Bachok selepas menang dalam PRU 1959. Sebagai ahli politik, dia dikagumi kerana pidatonya, termasuk oleh perdana menteri ketika itu, Abdul Razak Hussein.

Sayangnya dunia politik menenggelamkan pena Zulkifli sebagai sasterawan. Itulah antara kekejaman politik pada dunia kesusasteraan.

Sebelum memasuki dunia politik, Zulkifli sudah dikenali dalam lapangan pendidikan dan kesusasteraan.

Sajak-sajaknya terutama pada era 1946 hingga 1947 tersiar dalam majalah Medan Masyarakat, Majlis, Mastika, Qalam, Penghidupan, Pembangunan, Hiburan dan lain-lain lagi.

Ia dihasilkan dengan nafas semangat kebangsaan dan kesedaran Islam seperti sajak Zaman Yang Kurindui (1946), Derita, Watanku Indah (1947), Penderitaan Kita (1947), Aku Hamba Tuhanmu (1961), dan Bangunlah (1961).

Menurut kajian ijazah pertama Mohamad Redzuan Othman, sebelum Zulkifli ke Mesir pada 1947 dia menulis 14 buah sajak di ruangan Gubahan Pujangga dalam akhbar Majlis.

Banyak lagi karyanya yang tidak dapat dikesan.

Mokhtar Petah dalam bukunya, Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan (1966), menyatakan bahawa tokoh itu pernah ditawarkan menjadi Pengarah DBP bagi menggantikan Syed Nasir Ismail.

Ketika itu, Syed Nasir dikhabarkan akan menjadi duta Persekutuan Tanah Melayu ke Republik Arab Bersatu pada pertengahan tahun 50-an.

Namun berikutan pembatalan pelantikan Syed Nasir sebagai duta, tawaran jawatan kepada Zulkifli berakhir begitu sahaja.

Dia juga pernah diberikan kepercayaan oleh DBP menjadi ahli Jemaah Pengadil Peraduan Mengarang Novel pada 1958.

Ketika itu, Musafir karya Hassan Ali terpilih sebagai novel penghargaan terbaik, manakala Salina oleh A Samad Said menerima anugerah sagu hati pada tahun tersebut.

Ceramah di Radio Malaya

Zulkifli tidak sekadar minat dan memiliki pengetahuan yang mendalam dalam kesusasteraan. Dia malah cuba membawa kesusasteraan Melayu dalam lingkaran pengaruhnya. Begitulah resam sasterawan menambah makna kehidupan kepada mereka yang di sekelilingnya.

Sewaktu bertugas di Kolej Islam Malaya, dia menyusun kurikulum bagi mata pelajaran kesusasteraan Melayu untuk kegunaan di situ.

Zulkifli sendiri mengajar mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan Kesusasteraan Arab di kolej tersebut.

Dia juga menulis beberapa artikel termasuk Kebudayaan Dalam Islam dan Peranan Kebudayaan yang menggambarkan perjuangannya adalah termasuk dalam soal kebudayaan Melayu.

A Samad Said

Perjuangannya terhadap pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga dizahirkan dalam ucapan-ucapannya di Dewan Rakyat.

Dia juga pernah dijemput memberi ceramah yang bertajuk Falsafah Akhlak Islam di Radio Malaya pada 29 Mac 1957.

Pada 1955 Zulkifli pernah menulis rencana bertajuk Peranan Filem Dalam Masyarakat sebagai reaksinya terhadap kritikan sesetengah anggota masyarakat yang melihat filem sebagai elemen yang merosakkan orang ramai.

Dalam rencananya itu, dia menulis “Sebagai satu benda, filem adalah bermata dua. Ia boleh digunakan bagi kebajikan dan bagi kejahatan. Kita tidak boleh dan jangan sekali-kali menghukum bahawa filem itu hanya berkesan buruk pada masyarakat. Buruk baiknya adalah pada kita anggota masyarakat sendiri. Cara filem yang kita kehendak dan lakunan yang kita hargai adalah menentukan kesan filem kepada kita.”

Kemalangan maut di perjalanan

Pandangan positif itu menggambarkan pemikiran progresif Zulkifli terhadap perkembangan budaya popular ketika itu. Dia bertindak sebagai pendakwah dan bukan penghukum.

Dalam pada itu juga, dia turut menyokong tindakan Lembaga Penapis Filem terhadap Kipas Hikmat – pada 1955 – kerana dianggap mengandungi unsur-unsur tidak sihat.

Filem tersebut diarahkan oleh S Ramanathan, manakala Yusof Latiff dan seniwati Mariam menjadi pemeran utama.

Akhbar New Straits Times melaporkan, ketika itu Zulkifli menyarankan agar pelakon tidak meniru gaya lakonan yang mempunyai perbezaaan budaya dan cara hidup dengan setempat.

Sumbangan Zulkifli dalam sejarah perkembangan kebudayaan tanah air seharusnya dikenang sebagai satu rangsangan kepada kita semua. Dia tidak sekadar bersastera melalui pena dan bicara. Keperibadiannya itu sendiri adalah kesusasteraan.

Ia bersinonim dengan kehalusan peribadi, kemanusiaan dan keimanan kepada Tuhan.

Zulkifli meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kuantan. Ketika itu dia dalam perjalanan pulang selepas menghadiri pertemuan dengan pimpinan PAS di Kota Bharu.

Almarhum ketika itu baru berusia 36 tahun. Isterinya, Ustazah Aishah Kamaruddin, turut terkorban.

Pada 1966 rakan Zulkifli, Khidir Khatib, menulis sebuah puisinya berjudul Nisan Bersanding Dua:

Mana mujahid, mana pejuang
Mana yang tumbuh setelah patah
Mana pengganti setelah hilang
Jangan tanya semua ini
Kau dan aku, kita semua
pembuat sejarah
Bukan hanya asyik membaca
nisan bersanding dua
melambangkan “hidup sekata mati bersama”
.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat Ilahi.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS