Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Kebebasan budaya di Malaysia perlu dipertahankan

Pertama kali saya pergi ke Bukit Bintang ialah pada tahun 1968 bersama keluarga. Ketika itu saya berusia sembilan tahun.

Kami pergi ke BB Park. BB itu bermaksud Bukit Bintang. Ia terletak di kawasan yang kini berdirinya Sungei Wang Plaza. Di tapak yang kini ada bangunan Pavilion pula, di situlah terletaknya BBGS iaitu Bukit Bintang Girls’ School.

BB Park itu berpagar. Di atasnya tertulis BB Park dan juga ada tulisan Cina. Untuk masuk perlu beli tiket.

Dari pintu sudah kelihatan banyak lampu dan bunyi muzik. BB Park ini adalah amusement park atau taman hiburan terbesar di Kuala Lumpur ketika itu. Di situ ada fun fair. Jadi ada merry-go-round dan giant wheel. Selain itu banyak gerai lontar bola atau kalung untuk mendapatkan hadiah soft toys.

Di tengah-tengah ada pentas terbuka. Penyanyi mendendangkan lagu popular Inggeris, Melayu, Cina dan India (Tamil dan Hindustan). Dalam BB Park, ada satu bangunan tertutup. Di luar tertera perkataan Cabaret dan tulisan Cina. Ia adalah dewan tari-menari untuk orang dewasa. Untuk masuk ke dalam, perlu beli tiket lain.

Di keliling taman itu ada gerai-gerai jual cenderamata, permainan, makanan dan buah-buahan.

Setahun kemudian iaitu 1969, berlaku Peristiwa 13 Mei yang menggegarkan negara dan mengeruhkan keyakinan rakyat, sama ada Malaysia sebagai negara berbilang kaum dapat hidup dengan aman dan harmoni.

Tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1970, kerajaan memperkenalkan Rukun Negara sebagai ideologi negara. Penghayatannya diharapkan dapat mengukuhkan kedudukan negara setelah terjejas dengan Peristiwa 13 Mei.

Kebanyakan orang ingat lima prinsip Rukun Negara. Tetapi Rukun Negara terdiri daripada dua bahagian iaitu cita-cita dan prinsip. Kebanyakan orang lupa tentang lima cita-cita iaitu:

Pertama, mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat.

Kedua, memelihara satu cara hidup demokratik.

Ketiga, mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.

Keempat, menjamin satu cara hidup yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak.

Kelima, membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Walaupun Rukun Negara diabadikan dalam Perlembagaan, tetapi kebanyakan rakyat negara ini hanya menganggapnya sebagai retorik politik yang bukan untuk dihayati.

Tetapi cita-cita Rukun Negara amat berkaitan dengan acara Rain Rave Festival yang diadakan di Bukit Bintang minggu lalu. Acara ini menjadi kontroversi kerana ia berkaitan dengan sikap anti-konsert dalam sebahagian masyarakat. Ia juga mengheret soal identiti bangsa, perpaduan antara kaum dan kebebasan rakyat dalam negara demokrasi.

Cuba lihat cita-cita pertama Rukun Negara iaitu mencapai perpaduan yang lebih erat. Tetapi kini di media sosial, banyak netizen mengecam acara itu dengan hujah agama dan identiti. Hantaran-hantaran itu tidak menyumbang kepada merapatkan hubungan antara kaum. Netizen tidak terfikir untuk mengutamakan hubungan kaum.

Mengenai acara Rain Rave Festival itu sendiri, cuba lihat cita-cita kedua dan keempat iaitu memelihara cara hidup demokratik serta menjamin cara hidup yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dengan pelbagai corak.

Gaya hidup demokratik bukan saja bermaksud pilihan raya umum untuk memilih kerajaan tetapi merupakan suatu sikap yang mendukung kebebasan individu, bersikap toleran terhadap gaya hidup orang lain dan menghormati pelbagai fahaman politik, sosial dan ekonomi yang berbeza.

Walaupun Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menganjurkan acara itu untuk meraih pendapatan negara daripada kedatangan pelancong, tetapi ia juga merupakan ekspresi gaya hidup sebuah demokrasi.

Dalam kalangan rakyat, ada yang antikonsert, prokonsert dan berkecuali. Dalam negara demokrasi, ia menampung semua kesukaan rakyat, baik golongan majoriti mahupun minoriti. Acara itu bukan untuk golongan antikonsert. Mereka tidak perlu mempedulikannya. Malah dalam kalangan orang Islam sendiri, tidak semua bersikap antikonsert. Banyak juga penggemar konsert.

Perdebatan mengenai konsert, muzik dan hiburan sudah lama berlaku sejak tahun 1970-an lagi. Di universiti, ada saja golongan anti-konsert yang membantah acara hiburan di kampus. Tetapi peminat hiburan dalam kalangan orang Melayu tetap banyak. Maknanya di negara demokrasi, ia memberi ruang kepada semua golongan, sama ada majoriti ataupun minoriti untuk menjalankan gaya hidup mereka.

Ini membawa kepada cita-cita keempat iaitu menjamin satu cara hidup yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dengan pelbagai corak.

Apa yang disebut sebagai liberal bukanlah bermaksud fahaman liberalisme atau gaya hidup Barat. Maksud liberal di sini adalah bersikap toleran dan longgar terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan pelbagai corak.

Maknanya, rakyat negara ini hendaklah bersikap toleran dengan acara-acara tradisi kebudayaan kaum dan suku kaum yang pelbagai corak. Walaupun seseorang itu benci terhadap sesuatu tradisi kebudayaan kaum lain, tetapi Rukun Negara menuntut supaya rakyat negara ini bersikap toleran atau liberal terhadap amalan budaya kaum lain.

Bila disebut tentang tradisi kaum lain, sememangnya gambarannya ialah acara kebudayaan yang diwarisi turun-temurun dari nenek moyang tanah leluhur seperti dari China dan India. Sementara dalam kalangan orang Melayu ada juga acara-acara kebudayaan dari Sumatera dan Jawa seperti tarian kuda kepang dan barongan.

Tetapi ada satu lagi tradisi kebudayaan yang turut menjadi sebahagian daripada kesukaan rakyat negara ini, dan ia merentas semua kaum iaitu kebudayaan Barat.

Sejak sebelum merdeka lagi, ada saja golongan di negara ini, baik India, Cina dan Melayu yang gemar hiburan dari Barat. Ada di antara mereka bukan saja meminati lagu-lagu pop Barat tetapi malah persembahan muzik klasik Barat seperti yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC. Sememangnya mereka yang meminati muzik klasik di negara ini amat kecil dan tidak pernah kedengaran ada bantahan terhadap acara itu.

Pengaruh muzik popular Barat terhadap perkembangan muzik Melayu adalah besar. Dari zaman kegemilangan filem Melayu dan Pop Yeh Yeh di Singapura hinggalah kepada lagu-lagu slow rock Melayu pada tahun 1980-an.

Sejak merdeka, sudah banyak acara konsert diadakan, baik konsert penyanyi Melayu mahupun Barat dan mereka sentiasa mendapat sambutan. Konsert sudah menjadi sebahagian daripada budaya Malaysia.

Mengenai Pesta Songkran pula, perlu diingat mengenai dua perkara. Pertama, orang Siam yang berada di Kedah dan Kelantan adalah salah satu kaum minoriti di negara ini, dan mereka menyambut perayaan itu. Kedua, cogan kata pelancongan negara ini ialah “Malaysia…Truly Asia”. Jadi bagi saya tidak ada masalah jika acara-acara budaya Asia, baik dari Asia Timur seperti Jepun mahupun acara dari Asia Barat seperti Iran diadakan di negara ini. Malaysia adalah negara “mikrokosmos” Asia.

Sebab itu saya cenderung untuk mempercayai bahawa gerakan menentang acara konsert di Bukit Bintang itu adalah bersifat politik. Mereka membangkitkan sentimen agama dan kaum untuk memburuk-burukkan kerajaan Madani seolah-olah hanya orang Melayu yang berhak mengatur semua perkara di bumi yang dikongsikan ini.

Saya secara peribadi bukanlah “kaki konsert” atau “kaki hiburan”. Dalam hidup saya, satu-satunya konsert yang pernah saya hadiri ialah persembahan hiburan di padang Stadium Batu Pahat pada tahun 1971 ketika saya darjah enam. Penyanyinya ialah biduanita Rafeah Buang.

Seperti kebanyakan orang Melayu pada tahun 1970-an yang tinggal di kampung, saya membesar dalam persekitaran agama yang budayanya meliputi ghazal dan zapin yang dipersembahkan semasa kenduri.

Tetapi saya sempat membesar dalam era pengaruh Barat dalam bentuk Pop Yeh Yeh. Kugiran-kugiran tumbuh bagai cendawan termasuk di kampung saya. Banyak majalah hiburan Melayu diterbitkan dan poster artis menghiasi dinding-dinding rumah remaja kampung.

Pada awal tahun 80-an mulalah anak-anak muda Melayu turut menyertai gerakan kebangkitan Islam. Perdebatan bukan saja mengenai politik dan ekonomi tetapi juga budaya. Maka ada pihak yang menghujahkan bahawa muzik, hiburan dan konsert adalah haram. Kampus-kampus yang dikuasai oleh kumpulan Islam, demonstrasi anti-konsert sering diadakan.

Walaupun saya bukan “kaki hiburan” tetapi apabila saya turut diberi tanggungjawab terhadap majalah-majalah hiburan iaitu Mangga, URTV dan Hai pada tahun 2008, saya menjadi lebih apresiatif terhadap dunia hiburan dan golongan masyarakat yang meminati seni dan hiburan.

Sebagai sebuah negara yang matang dan terbuka, Malaysia menampung semua gaya hidup yang diamalkan oleh pelbagai golongan dalam negara ini. Seperti mana yang termaktub dalam cita-cita Rukun Negara, adalah benar untuk bersikap liberal dan toleran terhadap pelbagai budaya yang diamalkan di negara ini.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS