Paling Popular
Terkini

Ketika tulisan ini digarap, krisis Negeri Sembilan sudah masuk ke minggu ketiga. Sebenarnya tiga minggu yang saya maksudkan ini hanyalah tiga minggu krisis ini diketahui warga Malaysia secara umum, apabila media membuat laporan. 

Walhal dakwaan ‘bisul’ antara Yamtuan dan tok undang berempat sudah lama menanah – menunggu masa untuk pecah.

Dari apa yang saya baca, krisis ini bermula lebih setahun dulu. Malah mungkin lebih lama dari itu. Kita hanya mengetahui selepas ia menjadi krisis Negeri Sembilan, bila media – RTM, Bernama dan TV arus perdana membuat laporan.  

Di pagi ketika berita Yamtuan Besar Negeri Sembilan dipecat tersebar, saya mendapat beberapa panggilan telefon. Semua bertanya apa jadi. Kawan dan saudara dari Jelebu bertanya apakah saya tahu lebih dari apa yang dilapor berita.

Jawabnya mudah: "Den sendiri pun heran dan tak tahu."

Bila nama Tuanku Muhriz ini disebut, ada satu perkara yang saya tahu dan tak perlu rujukan media. Kalau buat kajian PhD, apa yang saya nak kisahkan ini menjadi ‘sumber kajian’.

Istana Besar Seri Menanti

Pada tahun 1967, Yamtuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Munawir mangkat. Ketika itu saya dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Undang Jelebu. Sekolah kami berkabung - bendera sekolah dipasang setengah tiang selama tujuh hari.

Di Jelebu, Yamtuan Tuanku Munawir memang dikenali ramai terutama oleh murid sekolah Melayu. Saban tahun dalam bulan Jun atau Julai, Tengku Munawir akan mengadakan pesta memburu selama dua ke tiga minggu atau hampir satu bulan – berkhemah – dalam hutan Kenaboi, Jelebu.  

Jika di Pahang sultan mengadakan pesta menuba ikan di Sungai Pahang, di Negeri Sembilan, Tuanku Munawir ada pesta memburu. 

Ini pesta tahunan. Tengku Munawir dan para pembantu dari Istana Seri Menanti akan berkhemah dalam hutan di tepi sungai Kenaboi. Dari kisah yang saya dengar, ada kenduri makan minum. Tukang masak khusus dibawa dari Seremban. Rusa, kancil, kijang dan pelanduk jadi santapan. 

Justeru bila baginda mangkat, kami murid sekolah di Jelebu merasa sedih.

Setelah Tuanku Munawir selamat dimakamkan, maka Undang Berempat – Undang Jelebu, Undang Johol, Undang Rembau dan Undang Sungai Ujung menamakan Tuanku Jaafar sebagai pengganti Tuanku Munawir. 

Tuanku Jaafar dan Tuanku Munawir ialah anak kepada Tuanku Abdul Rahman, Yang di-Pertuan Agung (YDPA) pertama Malaysia. Anak kepada Tuanku Munawir ialah Tuanku Muhriz.

Apa sudah jadi?

Kami budak kampung tertanya-tanya. Apa sudah berlaku. Tuanku Muhriz tergelincir dari jadi Yamtuan. 

Hingga ke hari ini, saya masih ingat lagi bagaimana cerita tersebar mengesahkan kenapa Tuanku Muhriz tergelincir dan tidak ditabal untuk menjadi Yamtuan Negeri Sembilan.

Ia dikaitkan dengan dakwaan insiden menembak mati lembu atau kerbau orang kampung.

Bila dakwaan ini tersebar, maka budak-budak kampung, kawan sekolah semua faham dan akur. Kami juga diberitahu bahawa Yamtuan baru ini dipilih, dilantik dan dinobatkan oleh Undang Berempat.

“Tok Undang yang memilih. Siapa nak jadi Yamtuan, Undang kitalah yang pilih.”

Kami budak-budak kampung amat bangga dengan kuasa tok undang Jelebu. Ini labun popular pada tahun itu. Pada tahun 2026, saya masih teringat lagi babak sejarah ini.

Malah pada pagi berita Tuanku Muhriz dipecat oleh Undang Berempat, kisah inilah yang berlegar dalam ingatan saya sekali lagi dan menjadi segar.

Waris saya dari Jelebu – seorang wanita profesional graduan luar negara - minta pencerahan tentang Tuanku Muhriz dipecat melalui WhatsApp. Maka kisah menembak kerbau ini saya surahkan.

Pada sebelah malam ketika makan di warung tomyam di Brickfields bersama kawan-kawan – ada dari Felda Palong, daerah Jempol, Negeri Sembilan. Kami semua bersembang hal adat perpatih, Undang Berempat dan Tuanku Muhriz.

Amat memeranjat saya kerana anak muda tiga puluhan dari Felda Palong ini juga pernah mendengar riwayat sama.

Kawan dari Felda Palong ini ada mendengar riwayat ini dari kenalan dari Segamat, Johor. Ertinya riwayat ini tersebar luas hingga diketahui oleh Gen Z. 

Krisis Yamtuan Tuanku Muhriz dipecat makin hangat diperkatakan. Dengan adanya teknologi internet ini, pelbagai berita dari pelbagai sudut boleh dibaca, boleh ditonton dan boleh didengar. Tepuk komputer tanya selera.

Pecat keputusan majoriti

Krisis ini mula bercambah. Saya terbaca bagaimana Tok Undang Sungai Ujung juga dikatakan dipecat beberapa tahun dulu. 

Tok Undang Sungai Ujung ini dikatakan melakukan 33 kesalahan. Wow! Nampaknya Yamtuan kena pecat ini membuka banyak cerita dan kisah.

Mengikut berita internet, Tok Undang Sungai Ujung telah lama dipecat. Maka pemecatan Yamtuan ditafsir tidak sah. 

Satu tok Undang gugur tinggal tiga Tok Undang. Secara demokratik, tok Undang masih majoriti. Ops, masuk pula Tunku Besar Tampin yang bersama Tok Undang bersetuju dengan pemecatan Tuanku Muhriz!

Undang yang Berempat

Jelas pemecatan Tuanku Muhriz ini berlandaskan keputusan majoriti mengikut adat istiadat perpatih.

Tup-tup muncul pula kenyataan dari menteri besar Negeri Sembilan yang menolak pemecatan Tuanku Muhriz ini. Menteri besar mempertikaikan kuasa adat Undang Berempat.

Menteri besar ini jelas kelihatan dia kabur dan tidak faham bahawa jawatan MB itu menetas dari politik Inggeris.

Undang Berempat dan Yamtuan ini bertelur, mengeram dan menetas dari dalam adat istiadat perpatih. Adat perpatih ini wujud lebih awal sebelum kedatangan Islam, lebih awal dari kuasa Inggeris.

Pada masa yang sama, saya terus mencari sebab musabab kenapa Undang Berempat termasuk Tengku Besar Tampin ini seia sekata bersetuju untuk memecat Tuanku Muhriz.

Kemudian timbul dakwaan berkaitan pihak yang akan menjadi Yamtuan seterusnya. Saya teringat kembali kepada riwayat Tok Undang Jelebu Shahmaruddin Abdul Rahman.

Shahmaruddin yang bergelar Datuk Mendika Menteri Akhirzaman ini ialah datuk Undang Luak Jelebu yang ke-13. Dia menjadi Undang dari tahun 1945 hingga meninggal dunia tahun 1963.

Pada tahun 1959, tok Undang Jelebu ini didakwa mula memasang niat untuk menjadikan anakandanya sebagai pengganti. 

Ini sah melanggar adat. Melanggar adat istiadat Jelebu dan melanggar adat istiadat Perpatih Negeri Sembilan.

Undang Berempat bukan dilantik dari ayah ke anak. Dalam adat Perpatih ada sistem dan cara pemilihan dan pelantikan Datuk Undang. Semua ini tersusun dan teratur. 

Ketika niat Tok Undang Jelebu nak melantik anaknya menjadi Undang mula tersebar, Adun Pertang Jelebu ialah Aminuddin Manaf. YB dari Pertang ini mula bersuara menentang dan melawan niat Shahmaruddin.

Demo Pak Ngah Aminuddin

Aminuddin ialah abang kepada Rais Manaf. Rais Manaf pula ialah ayah kepada Hishamuddin Rais.

Aminuddin dengan lantang bersuara menentang niat datuk Undang Shahmaruddin ini untuk menjadikan anaknya sebagai Undang Luak Jelebu.

Saya masih ingat lagi Pak Ngah Aminuddin saya ini berkempen dan mengumpul orang kampung Jelebu – waris dan bukan waris untuk berhimpun dan berarak menunjuk perasaan.

Hampir dua ratus warga Jelebu berhimpun di pekan Kuala Klawang dan berarak ke Petaling. Kami melintas di hadapan rumah Shahmaruddin.

Kain rentang dan sepanduk yang kami bawa bertulisan rumi dan Jawi: biar mati anak jangan mati adat.

Dari segi adat istiadat Negeri Sembilan, yang melantik dan menobatkan Yamtuan ialah Undang Berempat. Ini adatnya. 

Saya Republikan. Saya ‘adatis’ yang mempertahankan adat. Adat istiadat ini ialah jati diri. Tanpa adat kamu tidak tahu siapa diri kamu dan asal usul kamu dari mana. 

Amat jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, Melayu ialah orang yang beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Krisis pemecatan Tuanku Muhriz ini merebak dan dikaitkan pula dengan sistem politik moden. Keadaan menjadi keruh dan kacau bila ada campur tangan perebutan kuasa parti-parti politik. 

Ketika tulisan ini digarap, para waris, tok lembaga, buapak dan anak-beranak Perut Biduanda di Jelebu telah bermesyuarat untuk memecat Undang Jelebu, sama seperti yang berlaku di Sungai Ujung.

Jelas kelihatan krisis di Negeri Sembilan ini akan berpanjangan. Untuk saya seorang adatis, saya berpegang kepada semangat demo pertama tahun 1959 yang saya ikuti. 

Hari ini tahun 2026, saya Hishamuddin Rais, keturunan Sakai Jakun suku Biduanda, mengeluarkan slogan baru: Biar mati madani jangan mati adat. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS