Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KOLUM | Asri Muda pernah menulis tentang Dr Zulkifli Muhamhad: “Saya kenal dia sebagai pujangga dengan membaca syair dan sajak-sajaknya. Saya kenal dia sebagai ahli fikir dengan menatap karangan-karangannya di majalah-majalah dan risalah-risalah yang ditulisnya.”

Tulisan itu bertajuk Zul Yang Saya Kenal Dari Dekat terdapat dalam buku Zulkifli berjudul Analisa Tentang: Beberapa Masalah Hidup Manusia terbitan Pustaka H Abdullah BM Noordin Ar Rawi.

Usman Awang juga mengakui dengan katanya: “Ya, Prof Zulkifli adalah juga seorang penyajak yang sekali sekala kita lihat mempunyai tema kebangsaan dan keagamaan yang sama kuat dan berpengaruh.”

Selain Asri dan Zulkifli, Dr Burhanuddin al-Helmy juga adalah seorang yang meminati puisi dan pidato mereka juga puitis.

Antara pantun Burhanuddin yang terkenal ialah:

Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka;
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka
.

Pada era 1950-an hingga 1970-an, acara deklamasi puisi memang popular terutama di madrasah, pondok atau sekolah agama yang dikuasai PAS. Ketika itu, selain deklamasi puisi, ada acara bacaan syair berlagu dan persembahan nasyid.

Bagaimanapun acara tersebut tenggelam terutama sewaktu era kepimpinan ulama bermula dalam PAS pada 1982. Mungkin tiada rekod atau dokumen yang menyatakan demikian, atau memang tiada langsung.

Bukan sekadar acara puisi tetapi acara yang bercorak kebudayaan popular (pop culture – hiburan) seakan terpadam langsung.

Dari pengagum ke pengkritik

Deklamasi puisi kembali mendapat tempat dalam PAS setelah era reformasi bermula pada 1998.

Satu nama yang penting dalam perkembangan tersebut adalah Dinsman ataupun nama sebenarnya Che Shamsuddin Othman. Namanya tersedia dikenali ramai.

Penyertaan Dinsman bersama PAS menyebabkan parti itu menyediakan slot baca puisi dalam program-program penerangan mereka.

Bahkan apabila terdapat penyair yang mempunyai kecenderungan politik dengan PAS juga diberikan ruang tersebut. Antaranya, A Samad Said, Pyanhabib, Salleh Bakar, Shukor Harun, Razali Endun.

Dinsman adalah antara seniman terawal yang bersama aktif dalam aktiviti PAS.

Dari puisinya yang bertajuk Puisi Panjang Untuk Dr Mahathir (1977) kepada Macam Orang Gila (2001) merupakan episod perjalanan Dinsman dalam menulis tentang politik tanah air.

Dinsman

Semasa Dinsman mendeklamasikan puisi Macam Orang Gila di Markaz Tarbiyah Taman Melewar, orang ramai turut berdeklamasi sama dengan menyambung frasa yang berbunyi ‘macam orang gila’ berulang kali.

Memang gila sungguh ketika itu!

Daripada seorang penyair yang menyenangi kepimpinan Dr Mahathir Mohamad menjadi pengkritik paling keras. Dinsman juga seorang yang aktif dalam kegiatan teater.

Penglibatannya dengan teater bermula dengan Grup Teater Elit pada era 1970-an. Antara teaternya bertajuk Protes (1972), Jebat (1973), Bukan Bunuh Diri (1974) dan sebagainya.

Saya mulai mendeklamasikan puisi di atas pentas PAS ialah pada Malam Sambutan 50 Tahun Pemuda Pas di Hotel Nikko, Kuala Lumpur pada tahun 2003.

Deklamasi dalam hotel

Sejak penampilan pertama saya di pentas PAS Pusat, pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Pusat ada slot selingan deklamasi puisi dari saya.

Saya juga kerap mendeklamasi puisi dalam program PAS di markaz atau padang.

Bagi saya deklamasi puisi bukanlah suatu persembahan melainkan suatu kenyataan yang disampaikan secara lebih berseni.

Saya mendeklamasikan puisi bukan sekadar di pentas ceramah tetapi ketika berdemonstrasi.

Sempena Himpunan 50 Tahun Dewan Pemuda PAS Pusat di Kampung Pauh, Baling, penganjur menjemput saya sekali lagi mendeklamasikan puisi yang bertajuk Salam Syair Perjuangan (2003).

Sajak yang sama saya deklamasikan di Hotel Nikko beberapa bulan sebelum itu.

Saya deklamasi di hadapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar, bekas Ketua Pemuda PAS Pusat, Jaiz Anwar dan saf pimpinan PAS Pusat, PAS Kedah dan lautan penyokong PAS.

Mahfuz Omar

Salah satu deklamasi puisi saya yang terkesan mendalam pada diri saya adalah sewaktu Perhimpunan Memperingati Memali di Baling. Sajak itu berjudul Memali Memanggil Kembali (2013).

Dianggarkan hampir 15,000 orang hadir malam itu. Ada ketika kereta kami tidak bergerak langsung tersekat dalam kesesakan teruk.

Saya terpaksa menahan seorang pakcik yang bermotorsikal sendirian untuk membawa kami masuk ke tempat program.

Setahun kemudian di Baling, saya dijemput mendeklamasikan puisi berjudul Dari Suara Derita Rakyat bersempena Himpunan Derita Rakyat di Kupang pada 5 April 2014.

Petikan gitar oleh kumpulan 2BS mengiringi deklamasi saya ketika itu. Puisi ini saya deklamasi bersama dengan anak saya, Nur Najihah.

Sajak lain yang kerap saya deklamasikan adalah Puisi Buat Si Bangsat (2007), Alam Adalah Rumah Kita (2012), Sang Merah Hatiku (2014), Puisi Buat Kaum Marahen (2014) dan sebagainya.

Peringkat awal deklamasi puisi saya diiringi dengan muzik minus one karya Kitaro seperti Caravansary, Matsuri, Silk Road dan sebagainya. Gubahan muzik oleh Andrea Rieu seperti GodFather dan My Way sering juga saya gunakan.

Selain itu, gubahan muzik oleh Idris Sardi dan tiupan seruling Mohar menjadi pilihan.

Zua XPDC, pemain gitar kumpulan rock XPDC pernah mengiringi deklamasi puisi saya yang bertajuk Kaum Yang Terbunuh.

Kebanyakan puisi saya himpunkan dalam sebuah antologi yang berjudul Kumpulan Puisi. Sajak-Sajak Terlarang terbitan GKLN Publication pada tahun 2012.


MUHAIMIN SULAM ialah pengasas Jabatan Seni, Budaya dan Sukan Pemuda PAS Pusat dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat sehingga 2015. Dia kini merupakan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional dan Naib Pengerusi Amanah Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS