Kapal MV Hondius yang terlibat dengan kes hantavirus bukanlah kapal siar (cruise) biasa. Selalunya kapal siar bukan saja amat besar, dan membawa beratus-ratus penumpang tetapi ia merupakan pusat hiburan terapung yang mewah.
Selain melancong, di dalamnya terdapat kemudahan hiburan bersuka ria seperti tempat berjudi dan dewan muzik serta tari-menari. Tetapi MV Hondius bukan kapal siar biasa, ia adalah kapal ekspedisi. Walaupun ia membawa pelancong tetapi bukan jenis mereka yang bercuti, berehat, bersantai, berhibur dan bermain-main.
MV Hondius adalah kapal ekspedisi ilmu. Penumpang-penumpangnya mengunjungi destinasi saintifik dan alam sekitar, melihat bentuk muka bumi, fenomena alam dan haiwan-haiwan yang menghuninya. Di atas kapal disediakan syarahan dan kuliah saintifik.
Ekspedisi pelancongan ilmu seumpama ini sering diiklankan dalam majalah sains seperti Scientific American. Apa yang diiklankan ialah kapal yang lebih besar daripada MV Hondius. Destinasi popular ialah Pulau Galapagos di Chile yang terletak di Lautan Pasifik di mana ahli biologi, Charles Darwin memperoleh idea Teori Evolusi pada tahun 1835.
Bagaimanapun tumpuan MV Hondius adalah ekspedisinya ialah kawasan kutub iaitu Laut Artik dan benua Antartika. Ia telah melakukan lebih 100 ekspedisi.
Pelayaran pertamanya yang bernama Maiden Arctic Odyssey ialah pada tahun 2019 ke Spitsbergen yang terletak di kepulauan Svalbard, Norway.
Kawasan ini dinamakan High Arctic. Ia terletak di bahagian paling utara kepada Garisan Artik. Ciri-ciri kawasan ini ialah iklim kutub, kewujudan permafrost iaitu tanah, batu dan pasir yang sentiasa beku dengan tumbuhan yang minimum. Selain Svalbard, ia juga meliputi Kepulauan Elizabeth di Kanada dan Greenland utara. Ia merupakan kediaman beruang kutub dan kerbau muskox.
MV Hondius mendapat sokongan daripada golongan “citizen science” iaitu sains yang digerakkan oleh orang ramai yang mendukung penyelidikan kutub.
Maka ekspedisi ini meliputi kerjasama para penyelidik kutub dan program “citizen science”, pemerhatian burung laut dan pemantauan ikan paus, usaha mendapatkan sampel mikroplastik dan pemerhatian ais laut.
Sebab itu MV Hondius menjual pakej sebagai kapal platform ekspedisi apabila dilihat kepentingan peranannya dalam usaha meningkatkan pengetahuan manusia tentang alam.
Harga tak murah
Harga pakej MV Hondius tidaklah murah. Ia bermula dari AS$7,800 (RM30,595) hingga AS$26,000 (RM101,985) seorang bergantung pada pilihan jadual dan kabin.
Kapal MV Hondius mula dibina pada tahun 2018, dilancarkan pada tahun 2019 dan diserahkan kepada pemiliknya, Oceanwide Expeditions pada tahun 2019.
MV pada nama MV Hondius bermaksud “moving vessel” atau kapal bergerak. Hondius pula mengambil nama sempena Jodocus Hondius, seorang pembuat peta atau kartografer berbangsa Flemish yang hidup pada kurun ke-16 dan 17. Bangsa Flemish adalah penduduk Flanders yang terletak di Belgium utara, bersempadan dengan Belanda. Hondius adalah tokoh yang menyumbang untuk menjadikan Amsterdam sebagai pusat kartografi di Eropah pada abad ke-17.
Oceanwide Expeditions pula adalah syarikat milik satu keluarga Belanda yang diasaskan oleh Wijnand van Gessel pada tahun 1993 yang mengkhususkan pada ekspedisi berskala kecil dan kuat menghadapi ais. Kapal-kapal lain yang dimilikinya adalah Ortelius, Plancius dan Rembrandt van Rijn.
MV Hondius boleh membawa 195 penumpang untuk berada di 95 kabin dan 72 orang kru.
MV Hondius kemudian lebih tertumpu pada ekspedisi di Semenanjung Antartika yang terletak di benua Antartika bertentangan dengan Argentina dan Chile.
Ia mempunyai iklim sederhana dan tidak sekeras di tanah besar Antartika. Semenanjung ini dikenali sebagai Andes Selatan kerana ia sebenarnya merupakan sambungan kepada Banjaran Andes dengan Amerika Selatan. Ia terpisah dengan hujung benua itu, iaitu Tierra del Fuego dan laut Drake Passage.
Pemilikan Semenanjung Antartika dituntut oleh Chile, Argentina dan United Kingdom tetapi mereka terikat dengan Perjanjian Antartika yang membuka kawasan untuk kajian saintifik.
Semenanjung itu adalah tempat pembiakan penguin, ikan paus, anjing laut dan burung-burung lain seperti albatross. Oleh kerana tiada pelabuhan, para penumpang MV Hondius menggunakan bot-bot kecil yang dipanggil Zodiac.
Para pengunjung boleh jalan-jalan di koloni penguin tetapi perlu mematuhi peraturan alam sekitar yang ketat, yang disediakan oleh Persatuan Operator Pelancongan Antartika. Para pengunjung perlu mengenyah kuman pada kasut but, mereka perlu menjarakkan diri dan tidak menyentuh mereka. Pengalaman itu dianggap mercu tanda bagi keseluruhan ekspedisi kerana pengunjung boleh memerhati gelagat penguin hidup di persekitaran semula jadi iaitu tempat bertelur, memberi makan pada anak, bergaduh kerana berebut batu dan berjalan antara batu dan sarangnya.
Pakej ekspedisi MV Hondius ini dipanggil Atlantic Odyssey yang menghubungi Ushuaia di Argentina dengan South Georgia, Tristan da Cunha, St Helena dan Cape Verde iaitu pulau-pulau di Lautan Atlantik di antara benua Amerika Selatan dan Afrika. South Georgia, Tristan da Cunha dan St Helena adalah wilayah British sementara Republik Cape Verde adalah negara merdeka bekas jajahan Portugal.
Meninggal dunia dalam pelayaran
Pelayaran ini menarik para peminat alam sekitar kerana ia meliputi pemerhatian kehidupan liar, kajian penghijrahan burung dan kunjungan ke pulau-pulau terpencil.
Mangsa hantavirus, Leo Schilperoord meninggal dunia ketika MV Hondius sedang belayar dari Semenanjung Antartika ke pulau South Georgia pada 11 April. Hanya apabila sampai St Helena, jenazah Leo diterbangkan ke Johannesburg, Afrika Selatan untuk dibawa ke Amsterdam, Belanda. Isterinya, Miriam yang menemaninya meninggal dunia di lapangan terbang Johannesburg.
Leo yang berusia 70 tahun dan Miriam, 69 tahun adalah ahli kajian burung, ornitologi yang berpengalaman.
Mereka diingati oleh komuniti peminat burung di Belanda sebagai seorang yang bersemangat terhadap bidang itu dengan melakukan pemerhatian dan penyelidikan serta menerbitkan kajian mereka. Pasangan itu menulis mengenai kajian tentang angsa berkaki merah jambu yang diterbitkan dalam jurnal Belanda, Het Vogeljaar pada tahun 1984 dan dikenali telah mengambil bahagian dalam ekspedisi menjejak burung di seluruh dunia. Salah satu pengalaman mereka ialah kunjungan hidupan liar di Sri Lanka selama 12 hari pada tahun 2013. Mereka dilaporkan amat gembira dapat melihat spesies-spesies langka seperti burung punggok Serendib Scops Owl.
Pasangan ini tinggal di sebuah kampung yang tenang, Haulerwijk, di kawasan munisipal Ooststellingwerf di timur Friesland, Belanda.
Leo dan Miriam telah menjelajah Amerika Selatan selama lima bulan sebelum menaiki kapal MV Hondius di Ushuaia. Sebelum berlepas, mereka ada pergi satu tempat pembuangan sampah yang menarik bagi para peminat burung. Di situ ada burung-burung Patagonia yang jarang dapat dilihat. Patagonia adalah wilayah paling selatan benua Amerika Selatan yang dimiliki oleh Chile dan Argentina.
Spesies yang diminati ialah Darwin’s caracara yang bulu leher dan perutnya berwarna biru. Di tempat itu juga terdapat banyak burung yang memperoleh makanannya di situ. Kemudian di situlah terdapat tikus-tikus. Ada laporan yang menyatakan bahawa ada burung yang memakan najis tikus.
Walaupun ada pihak mengesyaki Leo dijangkiti hantavirus Andes strain dengan tersedut partikel sampah dari tempat pembuangan itu, tetapi ia tiada kepastian.
Ini kerana spesies tikus yang membawa hantavirus Andes strain iaitu jenis colilargo tidak terdapat di situ. Tikus-tikus itu ada di Patagonia utara iaitu Rio Negro, Neuquén, Misiones dan Chubut yang mana terdapat 23 kes hantavirus Andes strain yang membawa kepada 11 kematian.
Tetapi pasangan itu berjalan ke beberapa tempat di Chile, Argentina dan Uruguay dan mungkin dijangkiti hantavirus semasa mereka berada di sana.
Pembawa Andes strain
Jenis utama pembawa Andes strain terdiri daripada spesies tikus Sigmodontinae terutamanya yang berekor panjang. Satu lagi ia dipanggil “pygmy rice rat” berekor panjang. Juga jenis tikus bertapak hitam dan tikus berekor bulu lebat. Mereka tinggal di hutan, belukar, bangunan-bangunan kampung, tapak-tapak perkhemahan dan kawasan sampah.
Mangsa seringkali dijangkiti virus itu dengan menyedut debu yang dicampuri dengan air kencing atau najis tikus. Seseorang boleh juga dijangkiti jika menyentuh permukaan yang ada debu-debu itu.
Jangkitan hantavirus Andes strain pada Leo dan Miriam itu adalah suatu insiden yang malang dan mendukacitakan bagi komuniti peminat-peminat sains terutama dalam kajian ornitologi.
Usaha-usaha saintifik ini adalah untuk kebaikan bagi menambahkan pengetahuan manusia. Ia penuh dengan risiko yang mengancam nyawa. Peminat-peminat alam ini adalah golongan manusia yang tidak akan sampai hati membunuh haiwan atau merosakkan alam sekitar, apatah lagi membunuh sesama manusia.
Sementara MV Hondius pula bukanlah sebuah kapal perang yang mengebom tempat-tempat atau memusnahkan laut dan kehidupan di dalamnya.
Ia adalah kapal damai yang mempunyai dorongan tinggi. Walaupun dari satu segi, ia merupakan usaha “mewah” atau “luxury” golongan kaya dunia, tetapi ia memajukan pengetahuan dan peradaban manusia dengan Leo dan Miriam menjadi korban dalam usaha ini.
Walaupun insiden ini membimbangkan dunia terhadap ancaman wabak hantavirus Andes strain, namun ia tidak mematahkan semangat mereka yang bersemangat terhadap ornitologi dan pemeliharaan alam sekitar.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
