Paling Popular
Terkini
1

KOLUM | Dua ribu tahun dahulu, seorang penyair kuno bernama Juvenal pernah memerli masyarakat Rom yang megah dengan empayar mereka, tetapi akhirnya tunduk.

Dalam hidup mereka, hanya ada dua perkara sahaja yang boleh mencemaskan penduduk Rom: panem et circenses - roti dan sarkas.

‘Sarkas’ yang dimaksudkan itu bukanlah hiburan keluarga moden seperti yang kita kenal hari ini, yang mempersembahkan seni kemahiran fizikal, akrobatik, badut jenaka, silap mata atau persembahan haiwan yang dijinakkan.

Sarkas mengikut istilah Juvenal i adalah satu taktik licik politik dan instrumen doktrin milik pembesar zaman Rom purba yang dibina di atas dominasi, keganasan serta pertumpahan darah.

Itulah pertunjukan Gladiator - sebuah pentas kejam untuk golongan hamba dan tawanan perang dipaksa bertarung mempertaruhkan nyawa masing-masing, berlawan sehingga mati di tengah Colosseum demi sorakan khalayak.

Formula sosiopolitik itu amat mudah: empayar akan kekal aman selagi pemerintah mampu menyediakan gandum murah (roti) untuk mengenyangkan perut rakyat, dan menyajikan pertunjukan berdarah (hiburan) untuk menghilangkan kebosanan.

Rakyat akan khayal, ralit dan akhirnya lupa untuk mempersoalkan kegagalan tadbir urus negara, rasuah mahupun krisis ekonomi yang sedang melanda empayar.

Hari ini, pertunjukan sarkas itu kembali – walaupun mungkin berlaku dalam bentuk yang berbeza.

Di bawah limpahan lampu stadium gergasi, 80,000 manusia di dalam stadium dan berbilion umat manusia yang lain di hadapan skrin televisyen bersorak-sorai apabila melihat bola sepak menggegar jaring.

Tak boleh digugat

Di atas padang, ‘gladiator-gladiator’ moden dengan tanda harga bernilai ratusan juta ringgit sedang dikerah keringatnya demi kemasyhuran.

Namun, tepat di atas meja makan hanya beberapa meter dari skrin televisyen yang menyala, terbentang sekeping resit barangan dapur.

Angkanya mencatatkan harga beras, minyak masak, ayam mentah dan keperluan asas yang kian menjerut leher kesan daripada rantaian bekalan dunia yang sedang lumpuh akibat perang.

Ketika dunia sedang berdepan krisis keterjaminan makanan, kita semua sedang bersiap sedia untuk menyaksikan ‘sarkas’ komersial terbesar dunia bernama Piala Dunia yang akan bermula tidak lama lagi.

Jika dua ribu tahun dahulu Maharaja Rom menggunakan khazanah empayar untuk membiayai gandum dan gladiator, ‘maharaja’ hari ini – yang bertopengkan entiti korporat dan dana kekayaan berdaulat – menggunakan kuasa mereka untuk mengalpakan jutaan orang.

Inilah realiti kapitalisme sukan. Di kemuncak krisis geopolitik dunia, entiti seperti Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) terus mencatatkan keuntungan luar biasa mencecah berbilion dolar hasil jualan hak penyiaran global.

Bagi Fifa, kelangsungan perniagaan hiburan ini tidak boleh diganggu gugat. Kontrak penajaan televisyen mempunyai klausa tegar yang tidak peduli langsung sama ada dunia sedang aman atau di ambang perang. The show must go on.

Namun, hipokrasi terbesar dalam pertunjukan sarkas bola sepak moden ini dapat dilihat melalui penguasaan dana pengeluar minyak atau lebih sinonim dengan istilah oil money.

Kelab-kelab gergasi Eropah seperti Manchester City, Paris Saint-Germain dan Newcastle United, hinggalah ke projek penswastaan mewah mega di Liga Profesional Arab Saudi terus menjadi medan lambakan wang yang tidak masuk akal.

Ketika pasaran global sedang bergelut dengan inflasi yang meroket akibat sekatan maritim di Selat Hormuz serta konflik berlarutan di Palestin yang melumpuhkan rantaian tenaga serta baja global, dana-dana dari wilayah yang sama itu nampaknya tidak mempunyai masalah untuk terus meleburkan ratusan juta ringgit bagi membayar gaji seminggu seorang pemain bintang.

Ini sebenarnya bukanlah semata-mata pelaburan sukan, tetapi strategi sportswashing dan pengalihan perhatian skala global.

Dana yang sepatutnya mempunyai keupayaan untuk mengimbangi krisis keterjaminan makanan dunia – seperti menyelamatkan rantaian bekalan pertanian global yang sedang tenat – sebaliknya digunakan bagi membeli maruah dan imej ‘bersih’ di atas padang bola.

Para pembesar moden tahu selagi ‘gladiator’ mereka mampu menghasilkan magis, perhatian dunia akan tertumpu kepada padang yang cantik, sekali gus melupakan kemelut yang melanda.

Memang boleh dipuji

Kita pula lebih sibuk berdebat tentang taktik pengurus pasukan atau kontroversi sistem VAR berbanding memikirkan mengapa harga barangan mentah di pasaran domestik semakin tidak masuk akal.

Di tengah-tengah keghairahan pertunjukan sarkas itu, para pemain bola sepak biasanya diangkat sebagai dewa dan adi wira.

Namun, di sebalik status jutawan, mereka sebenarnya tidak lebih daripada sekadar ‘hamba korporat’ yang nilai kemanusiaannya telah digantikan dengan angka komoditi.

Menjelang sepak mula Piala Dunia yang melibatkan perjalanan gila merentasi tiga negara – AS, Kanada dan Mexico – jadual perlawanan yang padat memaksa tubuh para pemain terbabit diperah melampaui had kemampuan biologi manusia.

Mungkin akan ada hujah balas yang membela para ‘gladiator moden’ itu melalui kisah-kisah kebajikan mereka membina hospital, sekolah, atau menyalurkan bantuan makanan ke komuniti tertindas di tanah air mereka. Tindakan murni itu memang wajar dipuji.

Namun, jika dilihat dengan lensa kritis, kemurahan hati peribadi itu mendedahkan ironi yang besar.

Kebajikan daripada poket pemain bola sepak adalah bukti jelas bahawa struktur ekonomi dunia telah gagal. Itulah sebabnya mengapa mereka – seorang ‘penghibur’ di atas padang – mengambil alih fungsi asas sesebuah kerajaan.

Wang yang berputar di dalam rantaian kapitalisme sukan terlalu besar sehinggakan sisa gaji seminggu seorang pemain bintang sudah cukup untuk menyelamatkan sebuah kampung daripada kebuluran.

Ironi terbesar pertunjukan sarkas itu akhirnya kembali kepada kita. Peminat bola sepak hari ini adalah penagih candu yang paling setia.

Kita rela membelanjakan ratusan ringgit untuk sehelai jersi asli serta pakej langganan TV ketika nilainya cukup untuk membiayai dapur marhaen selama sebulan.

Kita merungut apabila harga beras atau minyak masak naik beberapa sen, tetapi tanpa ragu-ragu menipiskan dompet demi membuktikan kesetiaan kepada sesebuah pasukan.

Kita telah dididik untuk menjadi ‘hamba’ atau ‘pak turut’ yang mempertahankan maruah kelab melebihi maruah poket sendiri.

Kepuasan sementara daripada kemenangan 90 minit hujung minggu sudah cukup untuk menyuntik dopamine dalam otak, membuatkan kita melupakan seketika realiti bahawa krisis keterjaminan makanan bakal mengetuk pintu rumah masing-masing.

Berpijak di bumi nyata

Pada akhirnya, artikel ini bukanlah nota kebencian terhadap bola sepak. Sukan ini sentiasa menjadi ’The Beautiful Game yang menyatukan kita.

Masalahnya ialah bagaimana sistem kapitalisme menggunakan keindahan sukan ini sebagai alat pengalihan perhatian daripada realiti dunia yang tenat.

Kita tidak perlu memboikot Piala Dunia. Hiburan dan eskapsime itu ada masanya perlu untuk kesihatan mental. Namun, apa yang paling kritikal ialah kesedaran.

Kita perlu menjadi peminat yang celik, bukan pak turut yang membutakan mata.

Apabila wisel penamat ditiup nanti, piala akan dijulang dan para gladiator moden akan pulang ke mahligai masing-masing.

Sorakan stadium akan reda dan skrin televisyen akan kembali gelap. Pada saat itulah mungkin kita tersedar dan berpaling memandang meja makan.

Nikmatilah pertunjukan sarkas moden itu dengan penuh ghairah, tetapi pastikan kaki kita tetap berpijak di bumi yang nyata. Jangan biarkan kebingitan sorakan gol menenggelamkan bunyi perut yang kelaparan di rumah sendiri.


NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS