KOLUM | Perjalanan dari Teluk Intan ke Johor Bahru dengan berkereta mengambil masa enam jam. Itu tidak termasuk waktu berhenti rehat.
Jika menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pula mengambil masa sejam tetapi prosedur yang perlu dilalui pula merenyahkan.
Menggunakan perkhidmatan kereta api ETS dari Tapah Road ke Johor Bharu Sentral mengambil masa enam jam juga.
Memang ada beberapa pilihan, namun pilihan terbaik untuk perjalanan yang santai, demokratik dan romantik ialah ETS. Apatah lagi jika bermusafir bersama kekasih hati.
Sesekali lamunan saya layangkan kepada lagu Ekspres Rakyat dendangan kumpulan Kembara. Cuma sekarang ini tiada lagi bunyi peluit kereta api seperti suatu masa dulu.
Hujung minggu lalu, Konvensyen PH berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Baru. Saya hadir sebagai peserta dan mendengar pidato pemimpin pelbagai peringkat.
Menurut penganjur, hampir 10,000 orang hadir pada hari tersebut – merentasi dari Sabah ke Perlis.
Sehari sebelum itu, Umno meraikan ulang tahun ke-80 di Istana Johor – tempat ia diputerakan. Tua sungguh parti saka itu.
Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Umno negeri itu, Onn Hafiz Ghazi mengistiharkan bahawa mereka akan bertanding di semua 56 kerusi DUN.
Penegasan Onn Hafiz itu menjadi ucapan selamat datang daripada BN kepada delegasi PH ke Johor. Secara politiknya, Umno memang bersedia untuk bergasak dengan PH dan PN di negeri itu sekali lagi.
Suara kebencian, sengketa
Sewaktu Anwar Ibrahim berucap di Konvensyen PH di Johor, di Kuala Lumpur pula Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengistiharkan mereka keluar dari PKR dan meletak jawatan sebagai ahli parlimen.
Mereka juga mengambil alih sebuah parti tidak ternama untuk masuk PRU akan datang. Makan berentaplah dengan rakan seperjuangan.
Sifir politik itu memang begitu kejam. Hanya hati yang kering dan tegar mampu melakukannya.
Pada hari yang sama juga, PN mengumumkan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat bagi menggantikan Hamzah Zainudin yang masih terkial-kial mencari bahtera baru.
Dunia politik kebelakangan ini sangat meriah untuk pencandu politik.

Masing-masing membesarkan suara kebencian, permusuhan dan sengketa yang panjang. Masing-masing punya keyakinan tinggi untuk menang besar.
Tukang-tukang sorak pula bersemangat menghangatkan keadaan. Tukang-tukang kipas tentulah terus gigih mengipas.
Mereka pulang ke tempat masing-masing dengan kepuasan mendengar ucapan pemimpin parti. Dapat bersalaman dan bersua muka pimpinan – ia sangat memadai buat penyokong, pendukung dan ahli biasa.
Sebaliknya bagi rakyat biasa, tiada apa-apa yang berubah dan hidup mesti diteruskan. Perut anak isteri perlu diisi.
Dalam hitungan politik sejengkal, biar tanah ini jadi padang jarak padang tekukur asalkan kuasa dalam tangan atau kelompok sendiri.
Pembawa suara PH Perak dalam konvensyen itu, Dr Fakruldin Hashim dilihat menongkah arus apabila dia menegaskan pentingnya kerajaan perpaduan diperkukuhkan. Begitu juga di suara dari negeri-negeri sebelah utara dan pantai timur.

Pola politik semasa sedang membentuk peta baru yang lebih dinamik dan memerlukan pendekatan ‘kepala dingin’. Jalan membangun memang selalu sukar berbanding meruntuh.
Mengapa jalan sukar menjadi pilihan?
Banyak jawapan boleh disenaraikan dengan panjang. Namun itupun bukan bermakna boleh mendamaikan.
Saya terus berjalan, memikir dan mengkhayalkan pelbagai andaian.
Masa yang terluang, saya mengukur jalan – ke kawasan warisan lama Johor Bahru. Deretan bangunan lama, ada jualan seni kreatif dan makanan pelbagai menu moden dan tradisi.
Ia menggamit ramai pengunjung dan menjana pertumbuhan ekonomi setempat.
Memercik api kemerdekaan
Di seberangnya, pemandangan bangunan mencakar langit di Temasik kelihatan meski debu-debu berterbangan sesekali menghilangkan.
Ada nilai-nilai yang terlepas pandang daripada keghairahan yang membutakan akal fikiran hingga gersang kasih sayang dan belas ihsan sesama kita. Nilai-nilai ini yang seharusnya para pimpinan utamakan.
Di tanah Johor itu sebenarnya subur dengan perjuangan kemanusiaan bagi mewujudkan sebuah masyarakat merdeka.
Di Johorlah berlangsungnya Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga yang mewujudkan Balai Pustaka (kemudian dikenali sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka – DBP).
Kongres itu berlangsung pada 16 hingga 21 Sept 1954.
Dua tahun kemudian, DBP ditubuhkan (pada 22 Jun 1956) dan pejabat pertamanya terletak di Johor Bahru. Maknanya DBP wujud sebelum Persekutuan Tanah Melayu mengecapi nafas merdeka.
Ketua pengarahnya yang pertama ialah Allahyarham Ungku Aziz yang berkhidmat selama setahun sebelum Syed Nasir Syed Ismail pula mengambil giliran memimpin.

Kedua-dua mereka adalah anak kelahiran tanah Johor.
Di tanah Johor itu jugalah lahirnya Sasterawan Negara Usman Awang yang puisinya memercik api kemerdekaan dan meniupkan rasa kemanusiaan tanpa sempadan bangsa dan agama.
Puisi anak kelahiran Kuala Sedili itu seperti Pak Utih, Ke Makam Bonda, dan Salam Benua adalah suara kemanusiaan yang begitu jernih dan teduh.
Kongsi rasa perjuangan
Puisi-puisi lain seperti Duri dan Daging, Keranda 152, dan Kurang Ajar pula adalah sebahagian tentang identiti negara bangsa yang menjadi tapak untuk kita berdiri dan baring.
Kepada sahabat seperjuangan dan lawan segelanggang, tidak pernahkah kalian membaca puisi-puisi Tongkat Warrant itu dan cuba menghayatinya?
Atau puisi-puisi sudah tiada erti dan mati dalam hidup ini?
Pada kesempatan masa yang berbaki, saya mengunjungi pejabat DBP Cawangan Selatan di Larkin. Saya meminjam semangat rumah keramat bangsa yang ditinggalkan.
Saya berkongsi rasa perjuangan bahasa, kesusasteraan dan budaya agar kekal menyumbangkan pembinaan negara bangsa tanpa lelah dan kalah.
Negara bangsa ini dibina dengan rasa kasih sayang, hormat dan bermuafakat. Bukan dengan kebencian dan pecah belah.
Subuh itu saya berjemaah di Masjid Al Attas yang terletak tidak jauh dari tempat penginapan. Hari itu hujan menitis di bumi Johor Bahru.
Semoga ada rahmat Allah turun bersama buat seluruh tanah air tercinta ini.
MUHAIMIN SULAM ialah ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional dan Naib Pengerusi Amanah Perak.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
