Paling Popular
Terkini

KOLUM | Pasti kita semua pernah terbaca berita kapal tenggelam di Laut Mediterranean atau Laut Tengah. Laut Tengah ini letaknya betul-betul di tengah-tengah.

Di utara Laut Tengah ini ialah benua Eropah, di selatan ialah Benua Afrika dan Asia di sebelah Timur. Laut Tengah ini dihubungkan dengan Laut Atlantik oleh Selat Gibraltar.

Kita juga pasti pernah melihat gambar mayat terapung atau terdampar di pantai kerana kapal yang ditumpang karam. Kita juga pasti pernah melihat klip video dalam media sosial menunjukkan para penumpang sedang terjun cuba menyelamatkan diri kerana kapal tenggelam.

Kita juga pernah melihat para penumpang yang selamat berbaris berdiri beratur atau mencangkung di darat tepi pantai – di bumi Eropah di mana pihak berwajib sedang menjalankan tugas.

Kapal yang tenggelam ialah kapal yang membawa pendatang haram yang sedang dalam perjalanan dari Afrika menuju Eropah.

Kita juga membaca angka kematian penumpang yang lemas, yang masih hilang dan yang dapat diselamatkan.

Antara para penumpang: Ada emak ayah dan anak-anak, ada ibu sarat mengandung, ada ayah bersendirian. Dan paling ramai anak-anak muda di bawah umur tiga puluh tahun.

Mereka merentas Laut Tengah dari Afrika dan Asia menuju ke Eropah.

Mereka menuju ke satu wilayah yang mereka tidak tahu. Mereka memiliki keberahian yang maha sangat untuk menjejak kaki ke bumi Eropah.

Keberahian ini mewajibkan mereka melintasi Laut Tengah yang sekali-sekala bergelora. Mereka menyimpan harapan akan selamat mendarat di Eropah.

Dari bumi Afrika niat mereka akan sampai ke mana saja - ke Perancis, ke Itali atau ke Jerman. Negara mana pun tidak penting. Apa yang wajib ialah jejak kaki ke bumi Eropah.

Di mana letaknya Jerman, di mana Itali atau di mana England atau Sweden atau Sepanyol tidak pernah wujud dalam peta perkiraan mereka. Yang penting jejak kaki dulu ke bumi yang dipanggil Eropah.

Mereka pernah mendengar dan melihat gambar kota Paris, pernah mendengar nama kota Rom atau pernah mendengar dan melihat filem kota London.

Pasti ada sesuatu yang memangkin dan mengasak keberahian untuk sampai ke Eropah ini. Eropah menjadi satu besi berani yang terus menarik pendatang ini.

Hakikatnya semua pendatang ini berniat dan memiliki berahi untuk memperbaiki kehidupan mereka di Eropah.

Memperbaiki kehidupan, saya ulang untuk memperbaiki kehidupan. Inilah sebab utama dan niat para pendatang ini.

Kapal tenggelam

Semua pendatang ini sedang bersedia membanting tulang memburuh mencari makan di Eropah. Dengan tulang empat kerat mereka bersedia untuk mencari apa saja peluang pekerjaan di Eropah

Kalau dari Afrika kampung halaman bakal pendatang haram ini mungkin di kota Timbuktu di Mali atau dari kota Agadiz di Niger atau dari Chad, dari kota Lagos di Nigeria, atau dari kota Bamako di Burkina Faso.

Semua negara-negara ini dikenali sebagai negara Sub-Sahara. Negara ini terletak di tepat atau di bawah padang pasir Sahara. Justeru mereka ini warga Afrika berkulit hitam.

Kadang-kala kita terbaca kapal yang ditumpangi oleh warga Afrika yang tenggelam ini ada juga membawa pendatang dari Pakistan, di India atau dari Afghanistan.

Semua pendatang haram ke Eropah ini memiliki cerita masing-masing. Apa yang menyatukan mereka semua ialah keberahian untuk memperbaiki kehidupan. Untuk hidup lebih baik dari apa yang sedang mereka alami di Niger, di Pakistan, di Mali atau di Chad.

Perjalanan dari kampung halaman menuju Eropah bukan satu perkara yang mudah. Malah perjalanan itu bukan macam perjalanan Mak Limah dari Kampung Chennah nak pergi umrah ke Mekah.

Di Bamako, di Lagos, di Karachi, di Kabul atau di Timbuktu telah sedia ada para ejen yang boleh membawa para pendatang ini ke Eropah. Ini bukan Travel Agency seperti yang kita lihat kedainya di Bukit Bintang.

Betul mereka klaim menjadi Travel Agency tapi sebenarnya mereka ini menjalankan kerja menyeludup. Menyeludup manusia dari Afrika masuk secara haram ke Eropah.

Bergolok gadai, jual tanah

Warga Afrika ini kerana miskin dan papa kedana tidak memiliki jalan merasuah atau membeli untuk mendapatkan pasport negara masing-masing.

Jika pun memiliki pasport adalah mustahil, saya ulang adalah mustahil untuk mereka mendapat visa terbang ke Paris atau London atau Berlin.

Justeru mereka wajib menyeludup – merentas semua sempadan negara tanpa kebenaran. Jika dari Bamako Mali mereka masuk ke Burkina Faso masuk ke Chad masuk ke Niger dan masuk ke Libya.

Semua ini memerlukan duit – bukan murah. Mereka bergolok bergadai. Menjual tanah, menjual kerbau dan lembu untuk mencari modal. Pinjam meminjam dan berjanji apabila telah bekerja di London maka akan hantar pulang duit hutang.

Gambar fail, Tripoli, Libya.

Perjalanan ini mengambil masa yang lama. Tukang seludup dari Mali bukan semudah itu dapat melintas semua sempadan ke Libya. Perjalanan mungkin berminggu, mungkin berbulan.

Libya kini menjadi pusat jual dan seludup manusia.

Di Libya ada pasaran jual beli manusia moden dan pasaran hamba haram Pasaran ini beroperasi kerana krisis politik setelah kerajaan Gaddafi runtuh pada tahun 2011.

Krisis ini sangat menjemput pendatang dari Afrika Sub-Sahara yang memasuki Libya dengan niat untuk menyeberangi Laut Mediterranean bagi menuju ke Eropah.

Hakikatnya sesudah kerajaan Muamar Gaddafi runtuh Libya telah menjadi negara gagal. Libya kini pecah tiga.

Libya terbahagi dengan ketara antara dua kerajaan yang bersaing serta pasukan tentera yang bertentangan. Kerajaan Perpaduan Nasional yang diiktiraf oleh PBB menguasai wilayah barat dari Tripoli.

Satu lagi pentadbiran selari yang disokong oleh Tentera Nasional Libya menguasai wilayah timur dan selatan.

Bahagian bawah ke arah sempadan padang pasir Sahara dikawal oleh samseng, kumpulan bersenjata dan penyeludup. Di wilayah inilah pusat berkumpul para pendatang dari Afrika yang berniat untuk ke Eropah.

Mati tersadai di gurun Sahara

Perjalanan ke Eropah ini bukan mudah. Para penyeludup ini bukan Abang atau Pak Cik pemandu Teksi dari Pantai Dalam yang lemah lembut.

Pemandu van ini tidak membawa pasport tapi membawa senjata. Dalam perjalanan ke sempadan Libya mereka akan berhadapan dengan kumpulan perompak bersenjata.

Jika bertemu dengan kumpulan ini - nasib dianggap baik jika hanya duit dan telefon bimbit yang dirampas. Jika van dirampas maka mereka akan mati kehausan sesat dalam padang pasir Sahara.

Statistik kematian yang dikeluarkan oleh negara Eropah yang kita baca itu tidak termasuk puluhan malah ratusan yang mati tersadai dalam padang pasir Sahara.

Jika telah berjaya merentas sempadan masuk ke Libya – para pendatang ini wajib menunggu. Jika di Timbuktu menunggu jip – di Tripoli wajib menunggu dan mencari bot untuk menyeberang Laut Tengah ke Eropah.

Bahaya masih menunggu. Jika ditangkap oleh pihak polis atau soldadu Libya maka jawabnya akan masuk ke kem tahanan.

Jika ada modal boleh merasuah dan lari keluar. Jika tidak akan tersadai dalam kem tahanan. Atau dipaksa menghubungi keluarga di kampung untuk menghantar duit untuk dibebaskan.

Untuk menekan keluarga – teknologi telefon bimbit telah membantu.

Agensi seludup

Sosok yang ditahan akan dipukul di hadapan telefon bimbit yang ada rakaman panggilan video. Keluarga di kampung akan melihat seksaan sedang berjalan. Selagi duit tidak sampai seksaan akan terus berjalan.

Malah ada yang ditangkap dan dijual sebagai hamba abdi. Maka tahun 2026 kita kembali ke zaman Nabi Muhammad SAW ketika manusia boleh dijual beli untuk dijadikan hamba abdi.

Wanita akan menjadi mangsa rogol. Malah ramai anak dara dari Afrika yang berniat nak ke Eropah tersadai di Libya menjadi pelacur. Perniagaan ini dikawal oleh polis dan soldadu Libya.

Dari mati kehausan di Sahara, dari menjadi hamba abdi atau pelacur di Libya masih tidak mematahkan niat dan keberahian para pendatang ini untuk ke Eropah.

Melalui maklumat mulut para pendatang ini akan merisik dan mencari "travel agency" aka agensi seludup yang berjanji akan membawa mereka menyeberang ke Itali.

Bumi Itali ini menjadi sasaran dari Libya kerana dua wilayah ini paling dekat dan perjalanan laut paling singkat.

Dari Libya Barat – dari kota Tripoli atau Sabrath biasanya mengambil masa 1 hingga 3 hari untuk sampai ke wilayah Itali yang terdekat, seperti Pulau Lampedusa, yang terletak kira-kira 300 kilometer (186 batu) jauhnya.

Penyeludup kebanyakan menggunakan bot kecil yang diperbuat daripada getah. Bot dan perahu kecil ini menjadi jambatan penghubung untuk meninggalkan kehidupan merempat di Lagos, di Timbuktu atau di Bamako.

Berita bot inilah yang kita baca dan kita lihat gambarnya di media. Jika hanya tiga hari pelayaran dan 186 batu jauhnya dari Tripoli ke Itali kenapa bot ini menjadi berita dunia. Tunggu minggu hadapan. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS