KOLUM | “Durian tu jangan makan, dia letak tu…” kata kami kepada Syadad berbisik, mengusik.
“Dia letak apa? Pig?’ tanya murid tahun tiga atau tahun empat itu. Juga berbisik. Kami angguk dan dia memang tidak menyentuh langsung durian musang king dan black torn tersebut.
Kami ke kenduri kahwin di rumah keluarga Cina. Sebelum datang hidangan halal, kami disajikan dengan durian dari kebun tuan rumah. Durian-durian tersebut sudah disejuk beku semasa musimnya.
Kami dapati durian yang sejuk dan beku itu seperti aiskrim rasanya. Jika tidak kerana bimbang kepada penyakit, mahu saja kami makan dengan sepenuh hati.
Jenuh Behzad, sepupu kepada pengantin perempuan, memujuk Syadad untuk ikut serta makan durian dengan dia. Mungkin kerana teryakinkan atau kerana lapar, budak itu kemudiannya menikmati durian tersebut.
Namun setiap kali mata kami bertentang, kami mengelengkan kepala sambil menunjukan reaksi kecewa.
Agaknya Syadad makan dengan rasa bersalah.
Apabila hidangan halal tiba, kami dijemput masuk ke rumah dan sekali lagi kami cuba untuk memperdayakan Syadad. Namun kali ini dia tidak lagi peduli. Dia menjamu selera seadanya.
Menghapuskan jurang prasangka
Tuan rumah menyediakan nasi dagang dan juga beberapa jenis lauk pauk. Mereka juga menyediakan pinggan mangkuk dan sudu garfu yang baru dibeli.
Mereka itu sudah terbiasa kerana hampir 50 persen anggota keluarga mereka telah memeluk Islam. Mereka tidak kekok dan tidak rasa terbeban untuk meraikan pak cik dan mak cik mereka yang berlainan agama.
“Cina Kelate tak rasis,” kata seorang Cina yang kami lihat di Internet.
Mungkin ada benarnya pernyataan tersebut. Dan kami dapati apa yang membuatkan mereka – yakni Cina atau India Kelantan – boleh duduk bersahabat ialah penyatuan mereka dalam berbahasa.
Maksudnya, hampir semua penduduk Kelantan tanpa mengira bangsa bersetuju menggunakan loghat Kelantan sebagai bahasa harian mereka. Maka dari sana sedikit jurang prasangka dihapuskan.
Selebihnya mungkin kerana sifat orang tempatan itu sendiri. Mereka adalah antara kumpulan manusia yang mudah mesra jika kita benar-benar mahu mengenali mereka.

Yang menariknya, keluarga yang kami kunjungi itu menggunakan bahasa Hokkien dan loghat Kelantan dengan amat selesa. Saling bertukar apabila berbual sesama mereka.
Pun begitu, antara tetamu yang datang ke kenduri yang kami sebutkan tadi ialah seorang anggota keluarga mereka yang tidak fasih berbahasa Melayu dalam apa loghat sekali pun.
Kami pula tidak bertanya sama ada dia orang lokal atau sebaliknya.
Dan kerana itu juga dia kelihatan agak kekok sedikit apabila duduk bersama kami. Namun dalam serba kekok itu dia masih menyantuni kami dengan amat baik.
Tiada diskriminasi kerana agama
Namun di sebelah yang berbeza, penyataan “Cina Kelate tak rasis” itu juga membawa pertanyaan lain. Adakah Cina di tempat lain rasis?
Kami menyaksikan bahawa semua manusia adalah sama apabila datang kepada hal bersahabat. Semua orang mahu rasa selesa dan tidak terancam.
Yang penting ialah peluang dan juga ruang untuk saling mengenali hati budi masing-masing.
Dalam keluarga itu ada dua orang yang baru memeluk Islam. Baru itu maksudnya sekitar 10 tahun lalu. Kedua-duanya adalah perempuan adik beradik. Seorang mak cik kepada emak pengantin, manakala yang seorang lagi nenek kepada pengantin perempuan.
Kedua-duanya memeluk Islam pada usia yang agak lanjut. Mereka kembali dalam usia sekitar 60 tahun.
Walaupun begitu, mereka tetap dihormati sebagai orang tua sebagaimana selayaknya. Tidak ada diskriminasi kerana agama yang mereka anuti.
Semua orang tanpa mengira agama memberikan kasih sayang yang selayaknya kepada kedua-dua mereka.

Mereka dipermudahkan segalanya dan apa saja penghormatan yang sepatutnya mereka perolehi, mereka mendapatkannya, malah lebih daripada itu.
Kami sangat menghormati perkara tersebut.
Menyebut hal peluang, politik kebersamaan yang sekian lama diperjuangkan sudah diberi peluang dan ruang untuk membuktikan perjuangan mereka. Mungkin ada sedikit cahaya terang di sana.
Senjata utama orang politik
Namun di celah-celah sinar keberanian tersebut, masih ada si penakut yang licik cuba mempengaruhi pengundi dengan cerita-cerita bimbang jika satu kaum duduk di atas kaum yang lain.
Dalam diam, bila bersama satu kaum, mereka menjaja cerita jahat demi untuk menakutkan kita semua. Lalu politik muhibah yang dilaungkan menjadi mangsa kepada kerakusan merebut sokongan.
Kerana nila yang setitik itulah maka pihak lawan mereka kembali mendominasi apabila membawa ancaman yang seakan serupa kepada pengundi mereka.
Kita sangka setelah hampir 70 tahun merdeka, kita sudah selesa duduk dan berdiri bersama. Namun kerana kegelojohan mahukan berkuasa, kita bawa agenda kaum dan dihukum.
Tentu saja kita kecewa apabila hal Melayu lawan Cina lawan India masih lagi menjadi senjata utama ahli politik. Memang ia tidak akan segera terhenti jika kita setia memilih ahli politik yang itu-itu juga setiap kali datang pilihan raya.

Ahli-ahli politik yang bejat otaknya akan sentiasa memainkan sentimen kecurigaan kaum untuk memenangi hati kita semua.
Mereka akan melakukan apa saja yang mereka fikir membawa untung buat kerjaya politik masing-masing.
Kejahatan ahli politik sebegitu belum nampak jalan matinya.
Lalu kembalilah kita kepada politik dunia ketiga apabila korupsi adalah raja.
Cina daripada keluarga yang kembali kepada Islam yang kami ziarah itu juga tidak sibuk mahu menjadi Melayu. Walaupun sudah menjadi Islam, mereka kekal sebagai Cina.
Tidak seperti sesetengah Cina yang apabila masuk Islam tiba-tiba menjadi lebih Melayu daripada Melayu itu sendiri. Barua betul.
Mereka menjadi penghalang paling besar kepada semua orang yang mahu mengenali Islam.
Sebagai peringatan kepada semua, kembali kepada Islam tidak bermakna kamu menjadi Melayu.
Dan kerana sudah makan dan minum di rumah Cina, Syadad kini dengan rasminya dikenali sebagai Ah Boi.
ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan peminat musang king.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
