Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bahagian pertama Bolehkah Pakatan tubuh kerajaan?

7. Keadaan objektif belum matang lagi untuk ambil alih kuasa dari BN

Selain kelemahan-kelemahan strategi melompat seperti dinyatakan sebelum ini, keadaan objektif juga belum lagi matang untuk mengambil alih kuasa daripada BN kerana:

• BN kalah, tetapi Pakatan belum menang: Dalam kebanyakan kes, pengundi pelbagai kaum memilih calon pembangkang kerana mereka menolak calon BN untuk menunjukkan mereka tidak berpuas hati dengan dasar-dasar parti pemerintah, namun pilihan ini tidak bermakna mereka menyokong agenda-agenda rakyat atau agenda perubahan yang diperjuangkan oleh PKR, PAS, DAP dan PSM.

• Pakatan merupakan gabungan yang longgar tanpa asas yang kukuh. Ia terpaksa dibentuk kerana keperluan realpolitik untuk menubuhkan kerajaan campuran di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. DAP padahal telah berundur daripada Barisan Alternatif (BA) kerana tidak bersetuju dengan matlamat negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

• Selain parti Islam, PKR dan DAP belum ada pengalaman memerintah. Oleh itu, cabaran memerintah di lima kerajaan Pakatan adalah cabaran yang tidak mudah dihadapi, terutamanya memandangkan kerajaan persekutuan enggan memberi kerjasama yang diperlukan, malah cuba mensabotaj dari segi kewangan dan pentadbiran.

• Kerjasama dan penyelarasan antara kerajaan negeri Pakatan dengan badan-badan bukan kerajaan juga perlu dijalinkan atau dipereratkan lagi agar agenda-agenda rakyat dan dasar-dasar baru yang melibatkan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama dapat dilaksanakan secepat mungkin.

• Jika dalam penggal ini, badan-badan dan parti-parti progresif dapat bergembleng tenaga dengan lima buah kerajaan negeri Pakatan bersama-sama rakyat untuk melancarkan perjuangan secara serius dan besar-besaran agar dapat memansuhkan undang-undang zalim seperti akta ISA, Akta Rahsia Rasmi, Akta Universiti dan Kolej Universiti – di samping melaksanakan dasar-dasar pro-rakyat serta membanteras salah guna kuasa dan memulihkan hak-hak asasi rakyat – maka pilihanraya umum ke-13 seharusnya menjadi masa Pakatan mengambil alih kuasa politik daripada BN!

8. Imbasan sejarah konsep sistem dua barisan (SDB)

Konsep SDB yang menjadi popular selepas 8 Mac ini dikemukakan oleh jawatankuasa nasional hak sivil Persatuan-persatuan Cina pada 1986 untuk mematahkan hegemoni politik perkauman Umno dan BN.

Menurut mendiang Lim Fong Seng, timbalan pengerusi jawatankuasa tersebut: “Konsep SDB yang dianjurkan oleh [jawatankuasa tersebut] bertujuan agar sistem demokrasi di negeri kita dapat berkembang dengan lebih sihat. Sebab, hanya setelah terbentuknya dua barisan yang seimbang dan mampu mengambil alih kuasa politik daripada satu sama lain, barulah barisan yang berkuasa akan berlaku secara lebih demokratik dan lebih liberal, dan hasrat rakyat barulah dapat dihormati.”

Konsep SDB mendapat sambutan baik pada 1990 apabila barisan pembangkang – gabungan Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) – cuba menentang BN.

Selepas gagal dalam pilihanraya umum terbabit dan Parti Semangat 46 yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah kembali kepada pangkuan Umno, maka tamatlah gelombang pertama membentuk SDB.

Gelombang kedua membentuk SDB dilakukan oleh BA yang merupakan gabungan Keadilan, PRM, DAP dan PAS yang terbentuk menjelang pilihanraya umum 1999.

BA (tanpa DAP) semakin merosot selepas kemenangan besar BN pada 2004. Namun tsunami politik 8 Mac lalu telah melahirkan Pakatan yang sekarang mempunyai lima kerajaan negeri dan berura-ura hendak menubuhkan kerajaan Persekutuan sebelum 19 September tahun ini.

Tidak dapat dinafikan, baik barisan pembangkang, BA, maupun Pakatan adalah barisan longgar sebagai teman pilihanraya serta bertujuan menubuh kerajaan campuran. Oleh itu, ia berbeza dengan Barisan Sosialis (1957-1965) - barisan yang berasaskan ideologi dan dasar-dasar bersama untuk memperjuangkan pelaksanaan sistem sosialis di negeri kita.

Namun, tidak dapat dinafikan juga, kini Pakatan telah menjadi tumpuan dan harapan rakyat untuk menentang korupsi, kronisme dan nepotisme BN.

Tsunami politik 8 Mac meyakinkan rakyat dan parti-parti politik, khasnya Pakatan, tentang kemungkinan BN ditumbangkan pada masa yang terdekat.

Dalam keadaan ini, apakah yang Parti Sosialis Malaysia (PSM) patut buat?

9. Menyelesaikan kontradiksi utama untuk menumbangkan BN

Pada peringkat ini, konsep SDB yang menuntut saingan positif antara dua barisan yang seimbang dan mampu menawan kuasa politik antara satu sama lain, rasanya dapat memberi sumbangan dalam proses pendemokrasian dan liberalisasi negeri kita, meskipun dalam hubungan demokrasi kapitalis atau borjuis.

Dengan kata lain, perjuangan PSM mungkin memerlukan dua peringkat. Pada peringkat pertama, menyokong SDB menghadapi musuh utama Umno dan BN untuk pendemokrasian dan liberalisasi sistem politik negara kita.

Pada peringkat kedua, barulah memperjuangkan pelaksanaan program-program sosialisme melalui barisan bersatu PSM dalam keadaan politik yang lebih menguntungkan.

Pakatan merupakan gabungan yang amat longgar tanpa asas yang kukuh, dan sering berlaku konflik dalaman, terutamanya antara DAP dan PAS.

Jika penyertaan PSM dapat memberi sumbangan merangka program-program bersama minimum yang dapat diterima semua pihak terbabit dan mengurangkan konflik ideologi agar tombak perjuangan dapat senantiasa dihala ke arah musuh utama, ia adalah sumbangan yang amat bernilai.

Saf kepimpinan dan petugas-petugas PSM perlu belajar dan sudi bekerjasama dengan ahli-ahli politik daripada pelbagai latar belakang dan ideologi, dan memainkan peranan kita sebagai katalis perpaduan untuk mencapai matlamat perjuangan bersama yang terpenting sekali, iaitu menumbangkan rejim Umno dan BN.

10. Sebab PSM tidak perlu membentuk aliran ketiga

Pakatan merupakan jelmaan hasrat dan harapan rakyat yang nekad hendak menolak dan mengajar BN, khasnya Umno.

Jika PSM membentuk aliran ketiga, bermakna ia mengambil inisiatif untuk menyisihkan dirinya daripada arus perdana perjuangan rakyat yang ingin menyaksikan perpaduan parti-parti pembangkang untuk mengimbangi malah menumbangkan rejim BN, dan membentuk SDB yang akan memanfaatkan sistem demokrasi negeri kita.

Sekalipun bergabung dengan Pakatan untuk menyokong SDB, tidak bermakna PSM sudah kehilangan sifat atau ideologinya sebagai sebuah parti sosialis. Hanya program sosialis PSM, seperti program negara Islam PAS, tidak sesuai dikemukakan dalam hubungan Pakatan yang mempunyai aneka ideologi dan latar belakang politik.

Program dan aktiviti Pakatan tertumpu dalam “program minimum bersama” yang diterima oleh semua parti terbabit. Demikianlah prinsip “mencari persamaan sementara menyimpan perbezaan”.

Artikel dua siri ini asalnya kertas kerja penulis ini yang dibentangkan dalam kongres ke-10 PSM pada 31 Mei 2008 di Pusat Latihan NUBE, Port Dickson, bawah tajuk “Adakah keadaan objektif matang untuk ambil alih kuasa daripada BN dan perlukah PSM membentuk aliran ketiga atau menyokong sistem dua parti”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS