Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam kemelut perlembagaan akibat keengganan Sultan Perak membubarkan kerajaan Perak seperti yang dinasihatkan oleh menteri besar waktu itu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, penegasan Sultan Selangor tentang prinsip "baginda berkecuali dalam hal-ehwal politik" patut dialu-alukan.

Kenyataan Sultan Sharafuddin Idris Shah itu amat sesuai dengan asas pemerintahan raja berperlembagaan.

Pendirian tersebut dinyatakan kepada menteri besar Selangor semasa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadap baginda pada 25 Februari lalu berhubung kedudukan Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang menawarkan diri untuk meletakkan jawatan ekoran gambar kurang sopannya telah disebarkan kepada umum.

Sejajar dengan prinsip berkecuali dalam politik, baginda Sultan Selangor tidak memberi sebarang panduan atau nasihat kepada menteri besar berkaitan kes Elizabeth yang masih dalam siasatan polis.

Baginda malah menyatakan keyakinan atas apa juga keputusan yang bakal diambil oleh Abdul Khalid dan percaya ia akan dibuat secara adil dan bijaksana dengan mengambil kira kepentingan rakyat, khasnya rakyat Selangor.

Keperluan dan kebijaksanaan Abdul Khalid mencari panduan dan nasihat daripada Sultan berkaitan kes Elizabeth bagaimanapun boleh dipertikaikan.

Sebagai menteri besar, beliaulah yang sepatutnya membuat keputusan. Beliau hanya perlu memberi nasihat atau penjelasan kepada baginda jika diminta, bukan sebaliknya.

Dalam hubungan ini, dua perkara perlu ditimbangkan. Pertama, jika panduan dan nasihat baginda diminta, sudah barang tentu baginda tidak dapat berkecuali lagi dalam hal-ehwal politik seperti yang dikehendaki oleh prinsip pemerintahan raja berperlembagaan.

Kedua, menteri besar akan terjerumus dalam dilema andainya keputusan beliau nanti bercanggah dengan pendirian Baginda.

Menurut amalan raja berperlembagaan, baginda sepatutnya menerima nasihat menteri besar. Jika baginda terpesong daripada sikap berkecuali dalam hal-ehwal politik seperti kes Sultan Azlan Shah yang enggan menerima nasihat Mohammad Nizar membubarkan Dewan Undangan Negeri, maka timbullah kemelut perlembagaan sekarang.

Kerajaan baru Barisan Nasional di Perak kini langsung tidak dapat berfungsi dan keabsahan perundangannya juga tercabar!

Tidak dapat dinafikan, kecuali pemimpin autokrat seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan mereka yang berpendirian anti-feudal dan bersemangat Hang Jebat, kebanyakan pemimpin politik Melayu sekarang amat pantang dicap sebagai “penderhaka” terhadap baginda, terutamanya kini tiba-tiba muncul ribuan Hang Tuah di merata-rata tempat.

Tuduhan “penderhaka” lagi dahsyat jika ia disasarkan terhadap pemimpin politik bukan Melayu, umpamanya Pengerusi DAP Karpal Singh.

Menurut laporan media, kira-kira 100 laporan polis oleh individu, parti politik dan badan bukan kerajaan telah dibuat terhadap ahli parlimen itu dan dua butir peluru telah dikirim kepada beliau kononnya menghina Sultan Perak.

Beliau malah dikepung, dikasari dan dihalang untuk masuk ke dewan Parlimen oleh sekumpulan ahli Pemuda Umno yang cuba memaksa beliau meminta maaf kerana didakwa menghina Sultan dan menuduh Pemuda Umno sebagai celaka.

Padahal Karpal hanya mengadakan sidang akhbar di Pulau Pinang pada 6 Februari lalu, menyatakan Pakatan Rakyat bercadang memfailkan saman ke atas Sultan Perak kerana menitahkan Mohammad Nizar meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Seperti telah dijelaskan di atas, ia sebenarnya berkaitan dengan prinsip baginda patut berkecuali atau tidak dalam hal-ehwal politik. Isunya bukan soal menghina baginda atau tidak, tetapi soal sama ada Sultan boleh disaman mengikut lunas undang-undang negara kita.

Jika Sultan kebal daripada sebarang saman, maka habislah cerita. Jika Sultan tidak kebal, maka ia memang hak Karpal sebagai Pengerusi DAP untuk berbuat demikian, dan terpulanglah kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk mengambil keputusan sama ada hendak memfailkan saman atau tidak.

Jika kekebalan Sultan masih ada dalam ruang kelabu, maka biarlah pihak berkuasa terbabit atau mahkamah berkaitan yang membuat penjelasan atau keputusan. Beginilah proses perundangan dalam sistem demokrasi.

Pekikan daulat Tuanku, tuduhan menghina Sultan, membuat laporan polis, berdemonstrasi, mengirim peluru, mengancam keselamatan ahli keluarga Karpal, dan menghalang beliau masuk ke Parlimen, malah cadangan agar Peguam Negara mendakwa Karpal - kesemuanya ini dilakukan untuk memesong tumpuan rakyat terhadap kemelut perlembagaan di negeri Perak yang berpunca daripada rampasan kuasa Umno melalui cara yang kotor dan menyimpang daripada amalan perlembagaan yang lazim dilakukan.

Berbalik kepada kes Elizabeth, Sultan Selangor turut berasa dukacita dan amat bimbang tentang perbuatan menceroboh hak dan ruang peribadi demi menjatuhkan maruah dan merosakkan imej seseorang.

Baginda juga melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap ahli exco kerajaan Selangor itu, dan berharap beliau dapat bertenang, sabar dan menguatkan semangat untuk menghadapi dugaan ini.

Pendirian Baginda ini bagaikan pucuk dicita ulam tiba.

Moga-moga pendirian Baginda ini menjadi titik peralihan bagi kerajaan Pakatan di Selangor khasnya menteri besar untuk nekad menolak tawaran Elizabeth melepaskan jawatannya sebagai ahli exco kerajaan Selangor, sesuai dengan hasrat dan tuntutan puluhan ribu pengundi kawasan Bukit Lanjan dan rakyat Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS