Most Read
Most Commented
mk-logo
Driving Transformation
Program Educational Airport Tour semai minat generasi muda berpotensi dalam industri penerbangan
Published:  Nov 11, 2025 11:34 AM
Updated: 4:28 AM

Program MYAirportCARES Educational Airport Tour menyokong aspirasi Sekolah Angkat MADANI 2025 dengan memperkasa komuniti sekolah yang memerlukan melalui pendedahan dan pembangunan pelajar ke arah melahirkan generasi muda berpotensi menerusi pelbagai bidang kerjaya terhadap industri penerbangan.

Dengan memupuk impian berkenaan sejak awal, Malaysia Airports memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi juga bersemangat untuk menyumbang kepada masa depan industri penerbangan negara.

Dengan bimbingan tenaga profesional industri, seramai 40 pelajar dan 10 guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rawang, Sepang menyertai lawatan untuk melihat secara dekat operasi harian di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) Terminal 1.

Pendedahan tersebut bukan sahaja memperluas pemahaman pelajar tentang fungsi lapangan terbang, malah memupuk aspirasi mereka terhadap pelbagai peluang kerjaya dalam sektor penerbangan merangkumi bidang kejuruteraan, pengurusan operasi, keselamatan, perkhidmatan pelanggan, peruncitan, teknologi maklumat dan logistik udara.

Antara pengisian program termasuk lawatan ke Balai Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang, sesi taklimat bersama; pasukan keselamatan Penerbangan, operasi terminal, operasi peruncitan, serta pengurusan pengalaman pelanggan. Rombongan turut dibawa meninjau kemudahan terkini yang terdapat di KLIA Terminal 1.

Guru sokong program dedah peluang kerjaya

Melalui sesi bual bicara kerjaya penerbangan, Guru Bahasa Inggeris SMK Sungai Rawang, Shahrul Adina Azlee, berkata, program Educational Airport Tour bukan sahaja membuka minda pelajar, malah membantu masyarakat memahami peranan peranan menyeluruh ekosistem penerbangan negara.

Guru bahasa Inggeris, Shahrul Adina berharap program Educational Airport Tour diteruskan pada masa depan kerana memberi banyak pendedahan terhadap industri penerbangan

Menurutnya, selain mengurus operasi penerbangan, Malaysia Airports turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan setempat melalui inisiatif pendidikan, penyediaan peluang pekerjaan serta pembabitan aktif bersama komuniti.

“Pada pendapat saya, program ini penting untuk diteruskan pada masa hadapan kerana ramai pelajar beranggapan lapangan terbang hanya mewujudkan peluang kerjaya berkaitan perkhidmatan pengurusan pelanggan.

“Malaysia Airports sebenarnya menggalakkan pertumbuhan peluang kerjaya tempatan lain seperti bidang kejuruteraan dan bahagian keselamatan,” katanya.

Memupuk minda muda ke arah dunia penerbangan

Pelajar tingkatan 4, aliran Sains Tulen, SMK Sungai Rawang, Puteri Alia Insyirah berkata, cita-citanya untuk menjadi doktor selama ini terus berubah untuk menjadi jurutera selepas menyertai program Educational Airport Tour.

Menurut beliau, banyak pendedahan berkaitan operasi lapangan terbang terus menarik minatnya untuk menjadi seorang jurutera di masa hadapan.

“Sebelum ini saya bercita-cita untuk menjadi doktor, tetapi selepas menyertai lawatan, saya menyedari betapa menariknya bidang kejuruteraan. 

“Melalui program diikuti, saya melihat sendiri bagaimana lapangan terbang beroperasi, terutamanya sistem penerbangan, kawalan trafik udara dan operasi penyelenggaraan, membuatkan saya sedar bahawa kejuruteraan ialah bidang yang luas, dinamik dan penuh dengan peluang,” katanya.

Puteri Alyaalia (kiri) berminat untuk menjadi jurutera dalam industri penerbangan, manakala Puteri Ainur tidak menyangka lawatan itu membuka matanya terhadap peluang kerjaya yang lebih luas.

Seorang lagi pelajar dari sekolah sama, Puteri Ainur Mardiyah, berkata, beliau kagum melihat bagaimana pengurusan lapangan terbang mengendalikan operasi dengan begitu teratur dan lancar.

Katanya, beliau tertarik menyaksikan bagaimana setiap jabatan bekerjasama secara efisien bagi memastikan kelancaran keseluruhan sistem.

“Saya sangat teruja apabila terpilih menyertai lawatan ke KLIA Terminal 1 kerana saya dapat mempelajari banyak perkara baharu untuk dikongsi bersama rakan-rakan, bukan kerjaya semata-mata sebagai juruterbang atau krew penerbangan. 

“Ia benar-benar satu pengalaman yang membuka mata saya, khususnya terhadap aspek pengurusan lapangan terbang. Pengalaman ini memberi inspirasi kepada saya untuk mendalami bidang penerbangan pada masa hadapan,” katanya.

Pendedahan awal lonjak minat pelajar teroka dunia penerbangan

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Dato’ Mohd Izani Ghani, berkata, program itu salah satu inisiatif bagi memberi pendedahan yang lebih mendalam kepada pelajar mengenai operasi lapangan terbang. 

Menurut beliau, lapangan terbang bukan sekadar menguruskan kapal terbang berlepas dan mendarat, ia merupakan gabungan sains, teknologi, dan kepakaran daripada pelbagai bidang.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani berharap pengalaman itu menyemai minat pelajar untuk terus belajar dan meneroka pelbagai bidang dalam industri penerbangan

“Semoga pengalaman ini membangkitkan minat untuk terus belajar dan meneroka industri penerbangan sama ada dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pengurusan, komunikasi atau khidmat pelanggan kerana industri penerbangan menawarkan peluang kerjaya yang sangat luas untuk semua,” katanya.

Pelajar turut berpeluang meneroka operasi landasan dan mempelajari cara pengurusan bagasi dijalankan di belakang tabir, menaiki Aerotrain dan bas ulang-alik, serta melawat Hotel Sama-Sama, sebuah anak syarikat Malaysia Airports. 

Program nasional di bawah kerangka Malaysia MADANI itu bertujuan memperkasakan 500 sekolah yang memerlukan melalui kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, GLC serta sektor swasta bertujuan membantu sekolah melalui penambahbaikan infrastruktur, sokongan akademik, dan pelaksanaan program pembangunan holistik. 

Pada 2025, Malaysia Airports mengangkat lima buah sekolah di Selangor, Sabah dan Sarawak, dengan sumbangan dalam bentuk dana kewangan dan sumber.

Selain SMK Sungai Rawang, program lawatan pendidikan lapangan terbang sambil belajar tersebut itu telah seterusnya akan diteruskan dengan dua lagi Sekolah Angkat MADANI Malaysia Airports iaitu SK Sungai Rawang, Sepang, yang telah diadakan pada 29 Oktober 2025 di KLIA serta SK Lubok Nibong, Marudi, Sarawak yang dijadualkan pada masing-masing pada 29 November dan 3 Disember ini di Lapangan Terbang Miri.

Buat julung kalinya, inisiatif itu turut diperluas kepada komuniti sekitar Padang Terbang (STOLport) Marudi, Sarawak, menjadikan program berkenaan lebih inklusif dengan memberi peluang kepada pelajar luar bandar untuk mengenali potensi dan prospek kerjaya dalam industri penerbangan secara lebih dekat.


Siri Memacu Transformasi ini adalah hasil kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS