Bagi kebanyakan pengunjung, lapangan terbang hanyalah lokasi persinggahan yang sinonim dengan suasana sibuk di kaunter pendaftaran, pemeriksaan keselamatan dan pintu pelepasan. Namun, suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kadangkala berbeza.
Kamera mula digunakan, tripod didirikan, dan suasana teruja mula terasa apabila peminat penerbangan berkumpul, menggambarkan bagaimana lapangan terbang kini dilihat sebagai destinasi gaya hidup, tempat peminat terhadap dunia penerbangan disatukan dengan semangat komuniti.
Bagi planespotter, aktiviti ini bukan sekadar melihat kapal terbang berlepas dan mendarat. Hobi ini memerlukan ketelitian: mencatat jenis pesawat, corak syarikat penerbangan, nombor penerbangan dan, jika bernasib baik, merakam kehadiran pesawat istimewa atau jarang muncul yang hanya kelihatan seketika sebelum hilang dari pandangan.
Daripada aktiviti sampingan, kini menjadi akses yang terurus
Dahulu, planespotting dianggap sebagai aktiviti sampingan di kawasan lapangan terbang. Peraturan yang ketat atas faktor keselamatan dan operasi sering menghalang orang ramai daripada melakukannya.
Namun kini, Malaysia Airports menyemarakkan minat ini dengan menyediakan ruang khas yang selamat dan teratur, agar peminat dapat meraikan dunia penerbangan ini tanpa mengganggu operasi lapangan terbang.
Membuka dunia penerbangan kepada umum, secara terkawal
Acara planespotting yang dianjurkan dengan tersusun mencerminkan perubahan pendekatan ini. Dengan menyediakan ruang yang terkawal untuk peminat, Malaysia Airports membuktikan bahawa minat terhadap dunia penerbangan boleh disalurkan secara selamat dan teratur. Ia juga menunjukkan bahawa lapangan terbang bukan hanya tempat untuk naik dan turun pesawat, tetapi juga ruang untuk belajar dan berkongsi minat bersama komuniti.
Salah satu usaha yang menyokong inisiatif ini ialah Anjung Spotter, sebuah dek khas yang dibina pada 2019. Terletak di Jalan Pekeliling berhampiran Landasan 32L, platform terbuka yang dinaik taraf pada Januari 2024 ini, boleh memuatkan sehingga 40 orang. Ia menawarkan pemandangan yang jelas dan selamat, dilengkapi tempat duduk berbumbung serta tempat letak kenderaan berhampiran, sesuai untuk peminat lama dan baharu.

Gabungan komuniti dan penyelarasan
Bukan sekadar ruang khas, namun, melalui MYElites - sebuah komuniti planespotting yang terpilih, peminat dapat melihat operasi lapangan terbang dengan lebih dekat dan terkawal. Setiap ahli disaring, diberi taklimat dan latihan, bagi memastikan setiap sesi dijalankan mematuhi protokol keselamatan yang ketat. Secara umumnya, MYElites menjadikan hobi ini lebih teratur dan bermakna.
Bagi Nik Mahmood Farid, 54, yang telah aktif dalam planespotting lebih dari dua dekad, perbezaannya jelas. Apa yang sebelum ini mencabar dan terhad, kini disokong oleh platform yang jelas dan tersusun.

Jurutera yang mesra dikenali sebagai “Pok Nik” ini hadir ke hampir semua sesi MYElites, kira-kira 80 hingga 90 peratus, termasuk liputan khas bagi penerbangan sulung di seluruh Malaysia. Walaupun cuaca kurang baik, beliau tetap hadir kerana baginya, hobi ini bukan sekadar memerhati pesawat, tetapi menjadi ruang baginya untuk berhubung, bertukar pandangan, dan berkongsi minat merentasi generasi.

Reputasi mesra planespotters mula terbentuk
Perasaan kebersamaan itu turut dikongsi oleh Hoo Jiong Sheng, 31, seorang penolong pegawai perubatan yang mula aktif dalam hobi planespotting ini sejak 2015. Katanya, komuniti ini kecil tetapi sangat rapat. Ahli MYElites turut bertukar maklumat sesama mereka menerusi platform atas talian, selain menggunakan media sosial sebagai sumber maklumat kedua, untuk memudahkan mereka menjejaki ketibaan pesawat tertentu atau kapal terbang yang jarang ditemui.
Namun, menurut Hoo, detik yang paling istimewa adalah ketika beliau berjaya menangkap gambar sebuah pesawat EVA Air — sesuatu yang diluar jangkaan beliau sendiri terutamanya apabila beliau tidak merancang untuk melihat pesawat itu. Saat-saat seperti itu membuatkan minatnya dalam planespotting semakin mendalam, katanya.

Pendekatan Malaysia yang agak terbuka memainkan peranan besar. Tidak seperti di negara lain, akses awam di kawasan sekitar lapangan terbang sangat terhad. Namun di sini, kawasan dan struktur khas seperti Anjung Spotter menjadikan pengalaman ini lebih selamat dan mesra – satu perkara yang sering dipuji oleh peminat penerbangan dari luar negara.
Pengalaman dibina dari masa ke masa
Menurut Ong Keat Siong, 46, yang bekerja dalam bidang perbendaharaan korporat dan telah merakam gambar pesawat sejak pertengahan 1990-an, reputasi Malaysia sebagai negara mesra planespotter bukan sesuatu yang terjadi dalam sekelip mata. Pada awalnya, komuniti ini hanya terdiri daripada 20 hingga 30 orang sahaja, dan kawalan keselamatan di lapangan terbang jauh lebih ketat.
Melalui penglibatan bertahun-tahun, pihak berkuasa mula memahami nilai yang melibatkan komuniti ini. Perbincangan merangkumi operasi, keselamatan dan pengurusan, secara beransur-ansur membawa kepada inisiatif rasmi seperti MYElites dan ruang pemerhatian yang direka dengan lebih baik.

Hari ini, aktiviti planespotting terus berkembang – dibantu oleh media sosial dan kemudahan perkongsian maklumat. Menurut Ong, planespotting adalah hobi yang sihat kerana ia membantu komuniti untuk mengasah kemahiran sambil menimba pengalaman, walaupun sesetengah peralatan yang diperlukan boleh menelan kos yang tinggi.
Pengalaman yang melangkaui terminal
Malaysia kini dilihat sebagai salah satu destinasi yang paling mesra planespotter di Asia Tenggara – menjadi rujukan dan penanda aras buat peminat penerbangan lain di serata rantau. Reputasi ini bukan sahaja membina imej yang positif, tetapi juga menggalakkan pelancongan yang berfokus kepada dunia penerbangan.

Kebanyakan mereka melawat untuk merasai pengalaman planespotting, penerbangan sulung, atau kemunculan kapal terbang yang jarang ditemui - di mana ianya memberi nilai budaya dan ekonomi kepada kawasan sekitar lapangan terbang yang dilawati.
Pendekatan ini bukan sahaja dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), tetapi juga di lokasi lain dalam rangkaian seperti Penang, Kota Kinabalu, Labuan, Subang, Kota Bharu, dan Bario STOLport.

Dengan menjadikan planespotting sebagai satu pengalaman yang lebih terarah untuk orang ramai, Malaysia Airports membuktikan bahawa minat terhadap penerbangan boleh disalurkan secara positif — menjadikannya pengalaman bersama untuk orang ramai belajar, berhubung, dan menghargai keindahan industri dunia penerbangan.
KLIA kini semakin dikenali sebagai destinasi gaya hidup bagi peminat dunia penerbangan untuk memerhati, belajar dan berkongsi pengalaman penerbangan dalam suasana yang selamat dan terurus.
Siri Memacu Transformasi ini adalah hasil kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
