Inisiatif proaktif untuk mendorong penyertaan yang lebih luas dalam projek dan perkhidmatan di lapangan terbang.
Bagi kebanyakan syarikat tempatan, peluang untuk bekerjasama dengan syarikat besar sering dianggap rumit kerana tidak mempunyai pemahaman yang jelas mengenai proses pendaftaran dan syarat yang perlu dipenuhi.
Menyedari akan cabaran ini, Malaysia Airports mengambil langkah proaktif untuk menggalakkan penglibatan vendor tempatan dengan mempermudah akses kepada peluang yang disediakan, serta memperkukuh pengurusan projek dengan proses yang lebih telus dan inklusif.
Usaha ini mencerminkan komitmen Malaysia Airports untuk memperkukuh hubungan dengan vendor berkualiti tinggi yang menyokong kecemerlangan operasi dan kerjasama jangka panjang.
Inisiatif ini melibatkan kolaborasi Malaysia Airports dengan pelbagai rakan strategik, seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB); Akademi Binaan Malaysia (ABM), serta institusi kewangan termasuk Credit Guarantee Corporation Berhad bagi menyediakan sokongan teknikal, kewangan dan garis panduan secara menyeluruh.
Seiring dengan itu, Malaysia Airports bersama CIDB telah menganjurkan “Connect & Collaborate Vendor Roadshow” pada tahun lalu di beberapa lapangan terbang terpilih di Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak. Program ini memberi peluang kepada vendor untuk mendapat taklimat mengenai proses-proses perolehan, menerima bimbingan pendaftaran dan sokongan teknikal serta memahami cara menggunakan platform e‑perolehan.

Inisiatif ini juga membolehkan vendor berinteraksi secara langsung dengan Malaysia Airports. Vendor diberi peluang untuk mengajukan sebarang kekeliruan tentang keperluan projek, merapatkan jurang pemahaman teknikal, dan mengurangkan ketidakpastian semasa pendaftaran. Dengan cara ini, vendor menjadi lebih yakin dan bersedia untuk memanfaatkan peluang jangka panjang di rangkaian lapangan terbang.
Seramai 812 vendor termasuk kontraktor, perunding berdaftar, firma kejuruteraan, syarikat pembekal dan perkhidmatan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat Bumiputera telah menyertai program ini. Daripada jumlah tersebut, 123 vendor dari Kelantan, Pahang dan Terengganu; 164 vendor dari Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis; 195 vendor dari Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan; manakala 157 vendor dari Sabah dan 173 vendor dari Sarawak.
Program ini telah menyumbang kepada pertambahan ketara dalam jaringan vendor Malaysia Airports. Setakat 28 Februari 2026, jumlah tersebut terus meningkat kepada 3,287 vendor berdaftar. Dengan 98.3 peratus vendor daripada syarikat tempatan, perkembangan ini mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh dalam kalangan PKS dan vendor Bumiputera untuk mengambil peluang perniagaan di rangkaian lapangan terbang.
Menurut Encik Freddie Anak Juwis dari BBK Services Sdn. Bhd., program ini bukan sahaja membantu beliau memahami proses dokumentasi dengan lebih jelas, malah turut memberi lebih banyak peluang kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang lebih realistik bagi syarikatnya.
Bagi Puan Nurul Syafika dari AAA Bena Sdn. Bhd., sesi tersebut turut memudahkan pemahamannya tentang proses perolehan dan meningkatkan keyakinan syarikat untuk meneroka peluang usahasama, khususnya dalam bidang pembekalan dan servis.

Sementara itu, Encik Ayob Bin Samad dari ASR Padu Sdn. Bhd. berkongsi pengalaman beliau yang sebelum ini kurang memahami proses perolehan. Namun, setelah menyertai program ini, beliau menerima penjelasan lebih menyeluruh yang membolehkan syarikatnya menawarkan harga lebih kompetitif untuk kerja pembinaan dan pengubahsuaian bangunan.
Menurut Malaysia Airports, usaha memperkukuh pembangunan vendor diteruskan dengan perancangan untuk mengadakan sesi latihan bermula pada penggal kedua tahun 2026 serta bimbingan teknikal untuk proses tender yang lebih jelas dan mematuhi syarat yang ditetapkan. Langkah ini memastikan kontraktor berdaftar; terutamanya vendor tempatan, PKS, dan vendor Bumiputera boleh bersaing secara profesional dan berkembang sebagai rakan strategik jangka panjang dalam ekosistem rangkaian lapangan terbang.
Momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 telah meningkatkan jumlah penumpang dan operasi di rangkaian lapangan terbang, sekaligus membuka lebih banyak peluang bagi projek infrastruktur, penyelenggaraan, pendigitalan, dan kelestarian. Malaysia Airports komited membantu vendor tempatan, PKS, dan vendor Bumiputera berkembang sebagai rakan strategik jangka panjang, menyokong operasi harian dan pertumbuhan masa depan industri. Dengan penambahan vendor baru berdaftar di 39 lapangan terbang Malaysia Airports yang mengendalikan lebih 100 juta penumpang pada 2025, penyertaan tender dijangka akan turut meningkat selari dengan keperluan operasi yang semakin berkembang.
Siri Memacu Transformasi ini adalah hasil kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
