Selepas bersetuju membeli sebuah rumah daripada seorang ejen, keluarga pasangan Eric Bowen (Rockwell) dan Amy Bowen (Rosemarie DeWitt) serta tiga anak mereka langsung tidak sedar bahana yang bakal menimpa mereka sebaik berpindah masuk kediaman yang terletak di pinggir bandar itu.
Di sebalik sekadar sebuah rumah, kelurga Bowen rupa-rupanya memperoleh bangunan itu lengkap bersama 'pakej' yang tidak disangka-sangka!
Rumah baru mereka itu sebenarnya pernah - dan masih - menjadi tapak perkuburan. Tanpa diketahui pemaju hanya memindahkan batu nisan yang pernah ada, tetapi bukan mayat di dalamnya.
Kemarahan dan kekecewaan itu mewujudkan Poltergeist , hantu yang gemar merosakkan harta benda dan kediaman selain membuat bunyi bising.
Poltergeist melarikan anak bongsu pasangan Bowen, Madison (Kennedi Clements) ke alam ghaib kerana hidupnya berada pada tahap "paling suci" dan bebas prasangka.
Dia terperangkap di dalam televisyen dan sejak itu cuba menghubungi keluarganya menerusi alat itu.
Roma tak meremang
Keluarga ini mendapatkan bantuan daripada sekumpulan penyelidik paranormal yang diketuai Dr Brooke Powell (Jane Adams) dan dibantu pakar dan personaliti televisyen Carrigan Burke (Jarred Haris).
Filem penghasilan semula ini sebenarnya tidak banyak beza daripada cerita asal yang ditulis oleh Steven Spielberg dan diarahkan Tobe Hooper pada 1982.
Poltergeist 2015 yang diterbitkan oleh penerbit terkenal Sam Raimi ( The Evil Dead dan Spiderman 2002 ) diarah Gil Kenan berupaya mengulang beberapa babak tanpa benar-benar meniru sepenuhnya.
Bagaimanapun, filem ini tidaklah begitu menyeramkan, dan aksi suspennya juga berada pada paras rendah.
Malah Poltergeist 2015 dilihat seperti filem komedi apabila hantu yang digambarkan cuba berkomunikasi atau menunjukkan kewujudan mereka melalui teknologi seperti televisyen.
Plotnya yang biasa dan mudah diramal bukan lagi perkara baru dalam industri filem seram Hollywood, apabila anak cuba menyampaikan perkara sebenar kepada ibu bapa tetapi mereka tidak mempercayainya.
Dengan penceritaan yang mengutamakan seorang wira sebagai penyelamat - dan dalam hal ini watak itu ialah Griffin, anak kedua pasangan Bowen - ia dilihat kurang memberikan impak kerana filem ini tidak memberikan ruang secukupnya untuk kanak-kanak itu beraksi.
Kesan CGI (imej ciptaan komputer) pula dilihat begitu menonjol pada babak tertentu seperti di alam ghaib, manakala muzik latar juga tidak begitu mengesankan berbanding filem Thai yang mudah membuat bulu roma penonton meremang.
