Berdarah Minang tapi demi Tiar Sarigar si cantik manis Acha Septriasa perlu belajar berbahasa Batak.
Semuanya demi Lamaran - filem bergenre komedi pertama dilakonkan Acha.
Dalam filem arahan Monty Tiwa itu, Acha diberi peranan sebagai peguam.
"Saya tidak pernah tahu bahasa Batak sedikit pun namun watak yang diberikan ini mencabar saya," katanya.
Sebelum itu Acha mengakui dia tersalah faham. Bagi Acha bahasa Batak adalah bahasa yang cuma keras dan lantang. Justeru dia mencuba menggunakan intonasi begitu.
"Justeru, bukan loghat Batak yang keluar, tapi loghat Ambon!" katanya ketawa.
Selepas mendalami bahasa itu dengan guru teaternya, Acha mengakui dia terpengaruh dengan bahasa itu.
"Selama dua minggu saya berguru dengan Eka Sitorus di studionya di Pancoran, Jakarta.
"Jam 8 pagi saya sudah menunggu di situ," cerita Acha yang pernah memenangi anugerah Aktres Wanita Terbaik Indonesia pada 2012.
Disebabkan tekun mendalami loghat Batak itu, Acha sendiri secara tidak sedar berkomunikasi dengan gaya bahasa sukuan itu.
"Mama sampai bingung kerana di rumah saya suka bercakap dengan logat Batak," katanya.
Dalam film Lamaran, Acha akan bergandingan dengan Reza Nangin. Film sepanjang 95 minit itu mula ditayangkan di Indonesia sejak 15 Jun lalu.
