Membaca dan mendengar karya seni hiburan semasa kadang-kadang boleh membuat kita bertanya sendiri - apa sudah jadi dengan bahasa Melayu ketika ini?
Jika sesetengah lagu dipersembahkan dengan lirik yang dirasakan kaku dan kurang puitis, bidang perfileman pula diisi dengan karya menggunakan judul yang kadang-kadang dirasakan tidak serius.
Malaysiakini cuba merungkai persoalan yang sering menjadi tanda tanya ini.
Menurut Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA), Dr Saleeh Rahamad, drama bersiri yang ditayangkan di televisyen misalnya, sering diangkat dari novel dan biasanya menggunakan tajuk asal.
Keadaan itu, katanya, jika tidak dikawal boleh membentuk budaya pop – yang mengutamakan konsumerisme dan komersialisme.
“Ia membahayakan dalam aspek pembinaan masyarakat apabila kita terlepas pandang isu ini,” katanya kepada Malaysiakini .
Saleeh ( gambar ) berkata, di satu pihak penerbit tidak memikirkan produksi mereka sebagai alat membina peribadi bangsa, sebaliknya ia dijadikan alat untuk meraih keuntungan.
“Kami tidak boleh sekat, tetapi kami amat kecewa dengan trend yang sebegini,” katanya.
Menurut Saleeh, isu itu bagaikan tiada noktah kerana ia turut melibatkan aspek untung - rugi penerbit serta stesen telvisyen.
Tambahan pula, katanya, pengiklan memilih drama yang mempunyai rating penonton yang tinggi.
"Bagi pihak terbabit, mereka hanya pentingkan kepuasan pengguna. Ini masalah dihadapi dunia ketiga yang berdepan dengan globalisasi," katanya.
Sangat bahaya
Bagi pelakon dan pengarah Mohd Sabri Yunus pula, sesebuah karya yang tidak mengangkat martabat bahasa dilihat sebagai perkembangan yang tidak enak kepada pejuang bahasa dan budaya.
“Bagi saya, penonton khususnya orang muda, selesa dengan bahasa dan jalan cerita begini.
“Inilah pertembungan dua pihak apabila stesen televisyen melihat dari sudut perniagaan. Mana lebih digemari ramai, saya percaya itulah yang mereka ulang dan buat,” katanya.
Hal ini perlu dipersoalkan apabila industri berkenaan dilihat bermula dari jalan songsang dan seakan tidak menemui titik pertemuan antara nilai budaya dan niaga.
Namun, menurutnya, keadaan yang sangat berbahaya itu nampaknya disenangi majoriti penonton televisyen.
"Bukan saja isu bahasa tidak diangkat, malah jalan cerita yang disiarkan di televisyen atau pawagam sudah tidak mengangkat perihal budaya, bahasa dan agama.
“Dari sehari ke sehari produksi sebegitu yang diisi. Ia tidak memberi masalah kepada penonton mahupun stesen televisyen, tetapi pada pihak seperti kami, katanya.
Walaupun budaya pop mendapat permintaan dalam masyarakat, Sabri mengakui dia tidak terkesan malah tidak sekali-kali akur dengan hal demikian.
“Setakat ini cerita yang saya buat walaupun tidak banyak, saya banyak tekankan budaya kita
Tetapi, banyak lagi budaya kita yang tidak sentuh tidak diangkat,” katanya.
Dia memahami bagaimana nilai komersial yang tinggi saling berkait dengan penghasilan sesuatu karya namun menggesa agar pihak bertanggungjawab memberi ruang walapun tidak seimbang supaya ada sedikit kewajaran dapat dilihat pada siaran televisyen.
“Bagilah peluang kepada orang macam saya mengangkat cerita macam ini – lebih budaya dan masyarakat.
“Saya faham tuntutan komersial tinggi tetapi bagilah juga ruang walaupun ia tidak seimbang supaya ada balance yang orang boleh nampak pada tv untuk orang macam kita,” katanya.
Ikuti laporan kedua isu ini, esok.
