"Kami ingin menjadi bangsa yang besar, bermaruah, berdaulat, inovatif, berwawasan, benar, jujur, amanah dan bertanggungjawab.
“Jadi janganlah kami terus diperbodohkan dan dipermainkan oleh kepimpinan dari politik sempit, curang dan tidak bertanggungjawab," tulis pelakon dan dramatis terkenal, Khalid Salleh di Facebooknya hari ini.
Catatan itu ditujukan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Pasukan Petugas Khas diwujudkan untuk menyiasat dakwaan penyaluran dana ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri...
Posted by Khalid Salleh on Tuesday, 14 July 2015
Mereka mengetuai pasukan petugas khas menyiasat dakwaan penyaluran dana 1MDB berjumlah AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke akaun Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagi Khalid, individu tersebut termasuk anggota dalam pasukan itu perlu mengangkat “sumpah laknat” bagi memberi keyakinan terhadap rakyat bahawa mereka benar-benar jujur, ikhlas, bermaruah, berani dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak sekali pun kecuali demi untuk negara, bangsa dan agama.
"Memandangkan keempat sosok manusia yang menganggotai pasukan petugas khas itu terdiri dari orang Melayu, secara umum semestinya mereka beragama Islam seperti mana tertulis pada kad pengenalan atau MyKad masing-masing.
"Sehubungan itu, untuk meyakinkan seluruh rakyat negara ini terutamanya orang Melayu baik yang condong kepada Umno, PAS, PKR atau yang 'betul bendul' dan tidak berkecenderungan condong ke mana-mana kecuali tegak dan lurus kepada Yang Maha Benar dan Membenarkan Segala Kejadian (baik yang di langit mahu pun yang di bumi), apakah tidak lebih baik dan mustaid (lengkap) apabila masing-masing anggota pasukan petugas khas mengangkat 'sumpah laknat' memegang Quran di dalam Masjid Negara misalnya," kata Wak Khalid.
Menurut beliau, saranan itu tercetus apabila mulai timbul keraguan terhadap kenyataan ketua polis negara yang menjadi tajuk utama dalam sebuah akhbar semalam yang dilihat bercanggah.
"Tak tolak kemungkinan komplot jatuhkan PM, apabila kenyataan seumpama ini keluar dari salah seorang pasukan petugas khas yang diamanahkan untuk membetulkan keadaan atau menegakkan kebenaran. Apakah motif sebenarnya di sebalik kenyataan tersebut? Bukankah ini bercanggah dengan kenyataan. Justeru, kami berkewajipan menjalankan siasatan penuh dan bebas", soal Wak Khalid.
"Dalam hubungan ini adakah pasukan petugas khas diwujudkan untuk membersihkan dan menyelamatkan Najib dari sebarang tuduhan yang dikatakan tidak bertanggungjawab atau pasukan petugas khas memang benar-benar menjalankan amanah rakyat demi menyelamatkan negara dari sebarang kehancuran dan porak-peranda.
"Masing-masing anggota pasukan petugas khas mengangkat 'sumpah laknat' memegang Quran di dalam Masjid Negara misalnya, melafazkan wallahi, wabillahi, watallahi, bahawa mereka benar-benar jujur, ikhlas, bermaruah, berani dan tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana pihak sekali pun kecuali demi untuk negara, bangsa dan agama," tegasnya.
