Tipikal Hindustan - itu antara yang dapat difikirkan selesai menonton telatah Pawan Kumar Chaturvedi si lelaki lurus bendul yang kemudian menjadi wira - secara tidak sengaja - di dua negara.
Filem kelapan lakonan Salman Khan ini diberi judul Bajrangi Bhaijaan. Dan sangat biasa apabila dia - yang juga bertindak sebagai penerbit - ditampilkan sebagai wira di sebalik kebebalannya.
Secara ringkas, Bajrangi Bhaijaan menceritakan kisah Pawan (Salman) yang ditakdirkan bertemu seorang kanak-kanak dari Pakistan yang sesat bisu, Shahida (lakonan Harshaali Malthotra).
Dari situlah plot cerita mula berkembang.
Bersama Pawan dan Shahida, ada Rasika (Kareena Kapoor), Dayanand (Sharat Saxena) dan tidak kurang penting, Chand Nawab (Nawazuddin Siddiqui) - seorang wartawan bebas yang bergelut mencari tempat yang sudi menerima laporannya.
Penuh dengan unsur didaktik, filem ini seakan berkhutbah kepada penonton mengenai nilai-nilai mulia dalam kehidupan seperti berkasih sayang, saling menghormati dan bertegas mempertahankan keyakinan.
Ramai memuji Salman
Chand Nawab misalnya digambarkan pada peringkat awal sebagai wartawan yang ghairah mengejar berita tetapi kemudian menjadi antara watak penting dalam cerita ini.
Namun bersyukurlah kerana filem sebegini tidak dihasilkan di negara ini. Jika tidak, mungkin untuk suatu tempoh yang lama kita terpaksa melihat kekalutan sesetengah kumpulan membantah Bajrangi Bhaijaan atas nama "kesucian Islam" dan menjaja istilah "murtad".
(Mungkinkah pengagum idealisme pelampau di negara ini terlepas pandang, atau belum berkesempatan menonton Bajrangi Bhaijaan?)
Untuk mereka, suatu dialog dalam filem ini sepatutnya boleh menyedarkan - jika mahu.
"Kebencian amat mudah dijaja, tetapi cinta..." ucap Chand Nawab.
Filem arahan Kabir Khan ini dilaporkan mengumpul lebih RM90 juta selepas ditayangkan selama lima hari di India.
Beberapa pelakon terkenal Bollywood juga memuji filem ini sebagai persembahan terbaik Salman di layar perak.
Namun secara jujur lakonan Harshaali sebagai kanak-kanak dari Kashmir yang bisu patut dipuji. Ekspresi mukanya dilakukan dengan baik bagi menggambarkan perasaan yang terkandung.
Cuma, penonton perlu sedikit berhati-hati memberi sanjungan kepada Harshaali kerana kecomelannya mungkin boleh mempengaruhi penilaian terhadap tahap lakonan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.
