Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apa ada pada sekeping gambar hitam putih memaparkan seorang kanak-kanak memegang pensil dan pemadam?

Pengarah filem Jagat, Shanjey Kumar Perumal, ada jawapannya.

Kata Shanjey, dia mempertaruhkan keberanian membuat filem versi Tamil lain daripada lain dengan mengangkat elemen sosiologi sebagai isu utama, dia nekad mahu membawa pembaharuan dalam industri.

Biarpun tidak menjanjikan daya penarik dari segi lagu dan barisan aktor, Shanjey berkata dia mahu mengetengahkan keaslian dalam filem yang dihasilkan - sama ada Jagat atau lain-lain.

"Saya mahu berjuang dengan 'senjata' sendiri, iaitu jalan cerita yang saya yakin mantap.

"Filem ini hadir tanpa pelakon popular, malah tiada lagu sebagai penghias," katanya ketika ditemui Malaysiakini .

Jagat mengisahkan sejarah perubahan pekerja estet yang terpaksa berpindah ke kawasan setinggan pada 1991.

Filem untuk semua

Bermula detik itu mereka perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran serba baru.

Pada masa sama gejala tidak sihat seperti gangsterisme berkembang kesan daripada perubahan sistem sosial.

Bagi Shanjey, fokus utama menghasilkan Jagat adalah untuk membuka minda komuniti India terutamanya, selain masyarakat secara keseluruhan.

Ya, jika anda ada tertanya-tanya, jawabanya ialah, filem ini bukan lakonan aktor Tamil semata-mata.

Jagat turut dijayakan pelakon Melayu dan Cina.

Kata Shanjey, tempoh 10 tahun diperlukan untuk menyediakan filem itu tetapi sementara menyiapkan Jagat, dia sempat menghasilkan sekurang- kurang tiga filem dokumentari.

"Saya mengambil masa lama sebelum menghasilkan Jagat kerana mahu memahami isu yang dipaparkan dengan mendalam," katanya.

Filem sepanjang 1 jam 40 minit itu yang bakal menemui penonton hujung tahun ini menampilkan barisan pelakon Harrin Raj (Appoy), Kuben Mahadevan (Maniam), Senthil Kumaran (Bala) dan Jibrail Rajhula (Mexico).

"Saya berharap ia dapat mengumpul sekurang- kurangnya RM1 juta dan menyeimbangkan kutipan industri filem di Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS