Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Suasana rumah besar itu - secara bandingan - agak sunyi. Tiada nama-nama besar atau penting. Memang tiada sebarang majlis dilangsungkan di rumah setingkat itu, tetapi suka atau tidak, ada 'sesuatu' di situ.

Sekurang-kurangnya ada kejutan dan kedukaan.

Seorang penyanyi adalah salah seorang yang hadir. Dia bukan nama yang terlalu besar tetapi juga pasti bukan nama kerdil. Dia datang mungkin sebagai tanda solidariti dan simpati.

Rumah itu didiami seorang ahli politik yang digugurkan dari kabinet Datuk Seri Najib Razak. Pada hari itu beliau bukan lagi seorang menteri, sebaliknya sekadar seorang pemimpin Umno di peringkat negeri dan pusat.

Persepti amat penting

Pengguguran jawatan itu pula bukan detik pengguguran biasa, sebaliknya ia berkait dengan pertentangan pendapat mengenai isu negara. Sekali gus ia mencerminkan bahawa beliau tidak disenangi perdana menteri.

Benar atau tidak beliau tidak digemari, ia isu kedua. Apa yang pasti, bekas menteri itu tidak dikehendaki oleh perdana menteri untuk mengurus negara.

Dalam situasi politik semasa negara, persepsi sangat penting. Malah dalam banyak keadaan persepti ditanggap lebih dahulu berbanding fakta.

Justeru kehadiran seorang artis di rumah bekas menteri itu sebenarnya suatu ancaman - sekurang-kurangnya untuk periuk nasi selebriti itu sendiri.

Secara salah, dia boleh saja dilihat bersekutu dengan seorang ahli politik tidak digemari perdana menteri. Jika di negara lain ia bukanlah masalah besar, di negara ini ia boleh menandakan berakhirnya riwayat kepada kerjaya seseorang.

Tambahan pula sesetengah artis di negara ini perlukan 'payung' - walau apa warnanya pun - untuk selesa mencari rezeki. Antara 'payung' paling meneduhkan ialah ahli politik.

Paling mudah bermain selamat

Maka apa signifikannya seorang artis hadir di sebuah rumah bekas menteri?

Hakikatnya, ia tidak terlaku signifikan kerana seseorang individu - termasuk artis - berhak berada di mana-mana tempat yang diingininya tanpa perlu takut atau bimbang dibatasi, kecualilah ia lokasi larangan undang-undang.

Seseorang juga boleh berkunjung ke mana-mana rumah yang difikirkannya wajar dan tiada sebarang unsur jenayah terlaksana selagi tuan rumah itu menganggap tiadak pencerobohan berlaku.

Masalahnya, di negara ini hakikat sebegitu hanya diterima sebagai benar melalui teori di atas kertas. Seperti yang dinyatakan tadi, persepsi sangat memainkan peranan besar dalam pertimbangan kita.

Tentulah sangat tidak bijak untuk menafikan suasana politik negara ketika ini agak mencabar. Berlaku pertembungan fikiran bukan saja antara pemerintah dan pembangkang, malah sesama ahli parti yang memerintah sendiri.

Dalam keadaan begitu, bagaimanakan agaknya artis kita bersikap?

Memanglah, cara paling aman adalah bermain secara selamat - jangan menunjukkan sikap, atau berdalih-dalih jika diajukan soalan sebegitu.

Sehingga kita mencapai tahap politik lebih matang, ia adalah jalan terbaik (atau lebih tepat: selamat) untuk kebanyakan artis. Cuma penantian kita untuk melihat lebih ramai artis/selebriti pemberani, berfikir dan kritikal nampaknya akan terus berpanjangan.


AL-ABROR MOHD YUSUF anggota redaksi Malaysiakini

Lihat Komen
ADS