Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ali Mabuha selepas 40 tahun 'tenggelam' di negara asing

Hidup bagaimana tidak sempurna selagi empunya diri tidak memperoleh pengalaman menjejakkan kaki ke negeri asing.

Dan 40 tahun di rantau orang membuatkan pelukis Ali Mabuha mahu kelainan dalam pendekatan seni budaya negara.

Tetapi bagi pemilik nama sebenar Ali Rahamad itu, untuk mengetengahkan budaya, tempat untuk mempamerkan bahan seni juga perlu diambil kira dan tidak patut dipandang remeh.

“Muzium kita jauh ketinggalan. Ia harus menjadi antara yang terbaik. Biarlah ia mencapai tahap dunia, baru ia mampu mengetengahkan budaya kita,” katanya ketika ditemui Malaysiakini .

India, Amerika Syarikat, Thailand dan Jerman antara tempat yang pernah dijejaki pelukis berusia 63 tahun itu.

Sekembalinya dia ke Malaysia tahun 2013, dia berasakan kerajaan perlu melakukan sesuatu agar seni budaya berkembang, tidak lupus dan diperhati oleh segenap lapisan budaya di dunia.

Ali berharap satu persembahan budaya dengan bertemakan budaya Melayu dapat diadakan.

“Hasilkan satu festival dengan membawa tema asal-usul Melayu.

“Lakukan seni, persembahan muzik jalanan dan filem. Bukan itu saja, gabungkan semua bangsa, Melayu, Cina dan India bersama,” katanya.

'Buka pintu, buka hati'

Tahun 1970-an bukan mudah untuk anak seni sepertinya mahu berjaya. Keadaan itu mendorong Ali membawa diri ke luar negara.

“Bagi saya, tiada apa di Malaysia untuk saya berjaya sebagai anak seni. Saya amat miskin dan bersusah-payah sebagai artis. Makan nasi dalam cerek dan berlauk lada kering.

“Saya duduk sini, saya tenggelam di sini tanpa pengalaman, kalau saya tenggelam di Eropah atau tempat lain, sekurang-kurangnya saya dapat lihat negeri orang, ada pengalaman,” katanya.

Kata Ali, perkara yang boleh menyatukan budaya luar dengan negara adalah melalui seni moden seperti muzik, seni dan filem.

“Untuk itu, kita harus buka pintu dan buka hati,” katanya.

Sebagai bukti cinta Ali kepada budaya warisan, karya Minangkabau dan Angkor Wat miliknya dipamerkan di Galeri the Edge Mont Kiara bermula 30 Julai hingga 21 Ogos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS