Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Ujang belum 'mati' dengan berakhirnya penerbitan majalah menggunakan watak itu awal bulan ini.

Bagi peminat kartun, mereka boleh mengikuti watak itu - dalam bentuk asli - tidak lama lagi apabila 'Ujang original' kembali mewarnai seni kartun negara.

Kartunis yang bertanggungjawab menghidupkan watak itu, Ujang berkata, melalui majalah Gila Gila 'yang diperkukuhkan' watak kartun itu akan muncul untuk menghiburkan peminat serta orang ramai.

Ia menjadi lebih menarik kerana selain Ujang, majalah itu juga akan diceriakan dengan ramai kartunis lain, termasuk Ubi, Taugeh, Tembakau, Aie selain Jaafar Taib sendiri.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ujang berkata, mereka mahu menjadikan majalah Gila Gila yang pernah menghiburkan jutaan peminatnya dulu kembali sebagai peneraju seni kartun.

Sebenarnya Ujang - atau nama sebenarnya Ibrahim Anon - adalah kartunis yang mencipta watak kartun berkenaan dalam majalah Gila Gila pada 1984.

Gagal selesai kemelut

Kira-kira 10 tahun kemudian, beliau melepaskan jawatannya sebagai ketua kartunis di Gila Gila untuk menerbitkan majalah Ujang dibawah penerbitan Kharisma Publication. Ramai bakat baru dipupuk melalui majalah itu seperti Gayour, Aie, Duku, Ciku dan ramai lagi.

Namun pada penghujung 1990-an Ujang berdepan ujian apabila dia terikat dengan ketetapan perundangan yang menghalangnya menerbit atau menggunakan produk kartun menggunakan watak yang pernah diciptanya sendiri - Ujang.

Berdepan kesukaran Ujang cuba menyelesaikan isu itu tetapi gagal.

Menceritakan sedikit pengalamannya, Ujang berkata tiada istilah lain kecuali "teraniaya" apabila namanya diambil tanpa diberi sebarang bayaran.

"Ada kontrak yang memperincikan mengenai perkongsian keuntungan, hak milik dan sebagainya tetapi semuanya dihilangkan. Macam kes 1MDB juga," katanya separa bergurau.

Lebih menyedihkan, Ujang berkata, semua karya tulisannya dalam penerbitan terdahulu disiar tanpa namanya dan digantikan dengan nama orang lain.

"Itu siapa cakap bukan penganiayaan, memang sesuai kena tempeleng," katanya tersenyum.

Zuhur ke Asar

Ujang kemudian menceburi bidang sama sekali lain daripada kartun, iaitu menawarkan pakej memancing atau pengalaman berekspedisi ke Taman Negara menaiki rumah terapung di Tasik Kenyir.

Untuk menuntut haknya, Ujang berkata dia pernah pergi ke rumah majikannya dan cuba berbincang.

Bagaimanapun, katanya, misi itu gagal walaupun dia menunggu di depan rumah majikannya itu "dari Zuhur hingga ke Asar".

Mengenai projek terbarunya, Ujang berkata, dia dan beberapa kartunis lain akan bekerjasama memperkuatkan Gila Gila.

"Kami nak buat kartun yang berkualiti dan menghiburkan rakyat Malaysia. Kami buat sebab kami sayang," katanya.

Mengulas lanjut, Ujang memberikan contoh "membaik pulih rumah pusaka di kampung".

"Walaupun kita ada banglo di kota, berhari raya di rumah pusaka itu lebih indah dan bahagia," katanya.

Pada 6 Ogos lalu syarikat penerbitan yang menghasilkan majalah Ujang dan Apo? menyatakan untuk menutup operasi mereka ekoran kenaikan kos operasi dan bebanan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Lihat Komen
ADS