Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam satu babak, Joy bertungkus-lumus untuk mengawal Sadness dari merosakkan keadaan. Lalu dilukis satu bulatan di atas lantai yang mengelilingi Sadness.

"Kamu jangan keluar dari bulatan ini," kata Joy kepada Sadness. Ia arahan mudah tetapi yang sukar untuk dipatuhi kerana ia sangat berlawanan dengan fitrah.

Ia mengingatkan saya kepada Rabindranath Tagore. Sebagai anak yatim yang kehilangan ibu sejak kecil, dan bapanya pula suka merantau, Tagore dijaga ramai orang gaji. Dan orang-orang gaji yang pemalas itu akan melukiskan satu bulatan kecil dari kapur dan memberi amaran supaya jangan keluar dari bulatan itu.

Jiwa merdeka Tagore akhirnya menang sehingga dia memberi sumbangan besar dalam bidang sastera dan muzik Bengali. Menjadi orang bukan Eropah pertama memenangi hadiah Nobel pada 1913.

Oh, saya sebenarnya ingin menulis tentang filem Inside Out . Selain Joy dan Sadness, ada juga Anger, Disgust dan Fear. Mereka adalah watak metafor yang mewakili emosi seorang remaja perempuan, Riley. Mereka menghuni satu bahagian di dalam otak Riley yang dipanggil Head Quarter.

Ceritanya mudah. Mereka (emosi-emosi Riley) berlima, bekerja setiap hari mengawal tingkah laku Riley dan reaksinya terhadap apa yang berlaku dalam kehidupannya. Dalam kes Riley, dia adalah remaja yang terpaksa meninggalkan keselesaan hidup dan keriangan bersama kawan-kawan, apabila terpaksa mengikut bapanya berpindah ke tempat baru.

Cantik di luar cantik di dalam

Di tempat baru itu (San Francisco), Riley gagal menyesuaikan diri. Persekolahan hari pertama yang teruk dan ibu bapa tertekan dengan masalah baru di tempat baru. Riley jadi remaja murung.

Remaja murung akan bertindak seperti tipikal remaja murung - lari dari rumah.

Jadi apa yang menariknya tentang Inside Out ? Itulah, apa yang berlaku di dalam kepala otaknya. Bagaimana kelima-lima emosi di dalam otak Riley bekerja untuk memastikan Riley mengambil keputusan betul dalam hidupnya.

Ia sama seperti kita semua, kan, walaupun emosi sebenar kita tentulah tidak terhad kepada yang lima itu.

Bagi anak-anak kita, filem ini tentulah mengujakan kerana ia produksi yang cantik luar dan dalam. Inside out . Luarannya, ia sangat berwarna warni. Watak-wataknya juga dikod warna dengan mudah untuk difahami. Joy yang terang menyerlah, Anger yang merah berapi, Sadness yang kelam.

Dalamannya pula sangat mengagumkan dan ia adalah wakil terhadap emosi dalaman yang sangat kreatif itu.

Bayangkan kita boleh melihat kegembiraan, kesedihan dan kemarahan bergaduh di dalam kepala otak kita. Itulah Inside Out .

Ambil contoh babak yang saya sentuh awal tadi - memendam rasa sedih. Ramai kita semua suka memendam kesedihan, kan? Tapi sejauh mana pun sesuatu rasa itu boleh dipendam, ia akan terlepas jua sama ada secara baik atau buruk.

Itulah yang dikatakan kecerdasan emosi ( emotional intelligence ). Dan itulah sebenarnya segala-galanya tentang Inside Out .

Mesej yang cuba disampaikan oleh Inside Out kepada kita sangat mendalam dan subtle , hinggakan kita pun mungkin tidak dapat menangkapnya. Itulah keindahan filem ini yang paling utama.

Dalam satu babak lain yang sangat menarik, Joy, Sadness dan Bing Bong sedang menaiki Train of Thought untuk kembali ke Head Quater. Bing Bong adalah watak yang ditemui oleh Joy dan Sadness di bahagian Long Term Memory Riley.

Bing Bong adalah kawan bayangan ( imaginery friend ) Riley yang telah lama dilupakan. (Di zaman kana-kanak kita, siapakah kawan bayangan yang kita wujudkan dalam kepala kita?)

Baik, berbalik kepada babak tadi. Di dalam Train of Thought yang dinaiki Joy, Sadness dan Bing Bong ada bakul yang mengandungi Facts dan Opinions. Aksi tidak cermat mereka bertiga telah menyebabkan kedua bakul itu terbalik. Facts dan Opinions bercampur dan tidak dapat dibezakan lagi. Bila Bing Bong cuba menyimpan kembali Facts dan Opinions itu, ia tidak lagi masuk ke bakul yang betul.

Kedengaran sangat biasa bukan? Bila kalian selesai membaca tulisan ringkas ini. Cubalah mengasingkan yang mana fakta dan yang mana pendapat. Tentunya tidak mudah.

Itulah Inside Out , ia cuba menampilkan dan mengajar dengan cara yang mudah tentang kecerdasan emosi - satu konsep yang mungkin masih asing untuk orang kita. Saya sendiri tidak pernah menghadamkan dengan baik buku bertajuk Emotional Intelligence yang ditulis oleh Daniel Goleman yang saya beli 12 tahun lalu.

Mungkin bangsa kita masih mengatakan emosi adalah dari hati, mana mungkin boleh dikawal dengan akal. Saya tiada hujah untuk itu. Inside Out mungkin ada.


NAJMUDDIN YUSOFF anak muda dari Jeli, Kelantan yang gemar menonton filem bersama anak-anaknya tetapi hanya kadang-kadang terdorong untuk membuat ulasan.

Lihat Komen
ADS