Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sebuah penceritaan yang unik dan tidak seperti lazimnya, Pak Pandir Yo! bukan seperti Pak Pandir yang biasa kita ketahui.

Pak Pandir Yo! adalah sebuah karya diadaptasi daripada cerita rakyat menampilkan 'sejuta kelainan' buat penonton.

Ini bukanlah teater yang ada dialog panjang berjela, tetapi ia sebuah penceritaan mengenai kisah Pak Pandir yang dimodenkan, malah ia diwarnai dengan seni tarian yang dibarisi oleh 26 penari.

Disebabkan tiada dialog, seorang tukang cerita ditugaskan untuk memberitahu mengenai kisah yang dipertontonkan seusai sesebuah babak.

Setiap gerak langkah unik untuk kumpulan itu dikoreografikan oleh Alam Wakaka atau nama sebenarnya Muhamad Haslam Abd Rahman, 29, yang pernah menjuarai pertandingan realiti televisyen Malaysia, So You Think You Can Dance.

Muzik pula dikelolakan oleh DJFuzz.

Ada sekurang-kurangnya enam babak dalam Pak Pandir Yo! dan persembahan dibahagikan kepada enam kumpulan tarian yang menggelarkan diri mereka sebagai Penari Jalanan Kuala Lumpur.

Antara tarian moden digunakan dalam pementasan di Istana Budaya itu adalah hip hop, breakdance, teknik robot, corak bar, rutin waacking .

Amat hebat konsep tarian yang diketengahkan. Begitu juga dengan tahap kreativiti ditampilkan, misalnya dalam salah satu babak, suasana gelap dewan hanya diterangi dengan ‘lampu’ pada baju penari yang menari seperti robot.

Beli kuali dapat tiket KL

Penonton dibuat dengan gerakan mantap mengikut rentak irama diperdengarkan, sambil mainan lampu pada penari menjadikan babak itu lebih mempersona.

Pak Pandir Yo! menceritakan bagaimana hidup pasangan Pak Pandir dan Mak Andeh berubah apabila watak utama itu membeli sebuah kuali.

Dengan kuali itu, Pak Pandir memenangi 'hadiah' berupa tiket melancong ke Kuala Lumpur. Ia membuatkan lelaki berusia 48 tahun itu berada dalam dilema sama ada untuk menetap di bandar atau kampung.

Pak Pandir Yo! diadakan bersempena Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur Diversecity 2015 yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 4 Oktober.

Barisan pelakon yang menjayakan Pak Pandir Yo! adalah Pak Pandir (Redza Rozlan), Mak Andeh (Vicha Saywho), tukang karut (Hefny Sahad) dan penampilan khas oleh Hairul Azreen sebagai pengarah muzik yang membuat persembahan di tengah kota raya.

Teater ini menggunakan sepenuhnya ruang pentas sama ada di atas mahupun di bawah. Setiap babak dalam kisah itu dilengkapi dengan imej grafik sebagai latar belakang seperti Kuala Lumpur, tempat membeli-belah atau kampung.

Set di pentas pula sangat minimum tetapi gerakan penari yang mendominasi ruang mampu menyampaikan mesej kepada penonton di dalam pementasan yang berlansung di Panggung Sari itu.

Persembahan berlangsung sehingga malam ini.

Cahaya yang digunakan dalam teater juga amat bersesuaian malah ia mengikut mood sesuatu babak untuk memuaskan hati penonton selain penggunaan kostum yang kreatif.

Bagaimanapun, ada sedikit kekurangan yang masih boleh diperbaiki berhubung pentafsiran karakter Pak Pandir yang mengelirukan.

Pak Pandir yang asalnya lurus bendul dan bodoh-bodoh alang digambarkan dalam Pak Pandir Yo! seolah seorang lelaki terencat akal atau cacat.

Pada salah satu babak pula, Pak Pandir tidak lebih sekadar jelmaan watak komedi popular di televisyen - Mr Bean.

Kesian Pak Pandir!

Lihat Komen
ADS