Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Di sebalik suara manjanya, Liyana Fizi tegas menyuarakan pendapat menerusi lagu dan lirik yang digubah dengan berhati-hati.

Antara isu yang diperjuangkan Liyana ialah kebimbangannya terhadap tumbesaran seseorang kanak-kanak dalam suasana perkauman yang tebal.

“Disebabkan saya tidak berminat dalam politik, saya lebih berminat melihat cara kanak-kanak membesar.

“Saya tidak mahu mereka melihat perkara yang menunjukkan kita tidak bersatu,” katanya ketika ditemui Malaysiakini .

Gadis pemetik gitar itu menyatakan beliau memang tidak menggemari sentimen perkauman dimainkan sehingga menghimpit pemikiran sesetengah pihak.

Keterbukaan sikap Liyana itu terserlah sewaktu dia menyampaikan lagu Kaku di Live Fact di Taman Danau Desa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Lagu ini mengenai isu perkauman yang melanda negara kita,” katanya ketika mula memetik instrumen berdawainya.

Seandainya anda berasa nama Liyana masih agak asing dalam industri muzik, ia mungkin disebabkan dia masih menganggap dirinya sebagai artis indie.

Digubah Liyana sendiri

Pun begitu, di kalangan peminat muzik nama Liyana sebenarnya bukanlah amat asing malah dia mempunyai pengikut yang ramai.

Beliau asalnya menjadi penyanyi utama kumpulan Estrella dan menceburkan diri dalam dunia hiburan indie pada 2006.

Bakatnya ternyata besar apabila pernah dicalonkan dalam lapan kategori Anugerah Muzik Voize Independent pada 2008.

Lagu Kaku itu sebenarnya dimuatkan dalam album sulung Between the Lines - yang diterbitkan pada 11 September 2011. Ia digubah sendiri oleh Liyana.

Album itu bertemakan pop, jazz dan indie, diterbitkan syarikat rakaman Liyana sendiri iaitu Liyana Fizi Music Publishing.

Liyana mendendangkan lagu Kaku kerana sedih dengan fenomena yang timbul akibat isu perkauman dimainkan sehingga boleh memecah-belahkan perpaduan negara.

“Saya memang tidak bersetuju dengan situasi sekarang.

"Saya sebagai pemuzik langsung tidak minat politik kerana pihak mana pun, ia tidak banyak beza. Cuma percaturan mereka tetap memberi impak pada negara.

“Ia buat saya sedih,” katanya.

Berdasarkan pengamatan sendiri

Melihat lirik Kaku , lagu itu membayangkan seseorang yang mahu hidup tanpa rasa curiga dan tidak memandang ras masing-masing.

“Saya mahu negara ini berada pada era 'buta warna' apabila kita melihat seseorang dengan mendalami siapa dia dan bukan perbezaan warna kulit yang ada," katanya.

Untuk mencapai matlamat itu, bagi Liyana, pelajar tidak perlu diasingkan mengikut aliran pendidikan berbeza, sebaliknya disatukan serta disamaratakan.

Menurut Liyana, orang politik hanya tahu mendapat kuasa ketika rakyat biasa sebenarnya perlu bersatu walaupun terdiri daripada pelbagai kaum.

Katanya, semua kaum sepatutnya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.

Dalam persembahan di Live Fact itu Liyana turut mendendangkan sebuah lagu baru yang belum diberikan tajuk.

Lagu berkenaan diiringi petikan ukulele yang julung kali dilakukannya persembahan secara langsung.

“Ia lagu pertama dengan ukulele. Ia bermula sebagai satu percubaan saja, tetapi akhirnya membuahkan hasil," katanya.

Menurut Liyana lagu berkenaan berkisar mengenai isu penganiayaan yang banyak berlaku, seperti penderaan emosi ibu atau bapa memaki anak.

Katanya, lagu itu digubah berdasarkan pengalaman yang dilihatnya sendiri.

"Kesan penderaan emosi kanak-kanak tidak kelihatan secara fizikal tetapi hakikatnya ia menjejaskan proses kedewasaan," katanya.

Dalam perancangan, lagu itu akan dijadikan sebagai runut bunyi untuk sebuah filem pendek.

Lagu itu dalam proses rakaman dan dijangka dikeluarkan tahun ini.

Lihat Komen
ADS