Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Persembahan Lawak Berdiri dalam program Tahun Melawak Johor yang sepatutnya diadakan pada 1 dan 2 Oktober ini dibatalkan, dipercayai atas tekanan pihak berkuasa.

Kejadian itu dimaklumkan pihak penganjur Festival Kesenian JB, baru-baru ini.

Malaysiakini ketika mendapatkan reaksi pengarah festival, Suzie Yap petang tadi diberitahu, acara berkenaan dibatalkan kerana dikhuatiri sensitif.

“Ia dibatalkan kerana dikhuatiri mengandungi isu-isu sensitif,” katanya.

Ada pelbagai genre

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara sensitif yang dimaksudkan.

Program komedi itu adalah persembahan daripada Rumah Anak Teater yang menampilkan persembahan jenaka secara langsung di depan penonton.

Selain beberapa tokoh tempatan - Hishamuddin Rais, Azmi Bahron, KC, Garam, JD, Syahid dan Don - Rumah Anak Teater juga sepatutnya menampilkan pelawak dari Indonesia, Indra Jegel.

Pada awalnya, program itu direncanakan berlangsung di MAP Nusajaya dan JB Pac di Bandar City Mall. Penonton dikenakan bayaran masuk RM20.

Selain komedi, festival kebudayaan itu juga merangkumi pelbagai genre seni lain termasuk muzik, tarian, filem, teater, bengkel dan pameran.

Festival kesenian tahun ke-12 itu bermula dari 10 September hingga 10 Oktober ini.

Walaupun 'gagal' di Johor Bahru, dua persembahan dijadual Rumah Anak Teater - Lawak Berdiri pada 6 Oktober di Studio Lawak 77 dan Cerita Malam Jumaat (8 Oktober) di Live Arts Petaling Jaya - akan diteruskan.

Menurut sumber, beberapa hari lalu seorang pelawak membuat persembahan dengan menjadikan isu 1MDB sebagai bahan jenaka.

"Ada kemungkinan pihak tertentu kurang senang dengan insiden itu," katanya.

Lihat Komen
ADS