Disebabkan kebanyakan filem tempatan masih gagal menarik orang ramai ke panggung Kafe Skrin tampil dengan idea yang agak berbeza - menawarkan tiket percuma kepada peminat - melalui kempen Jom Wayang.
Kempen itu diilhamkan oleh pemilik Kafe Skrin, Zahrin Ishak, dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) - melalui Skim Wajib Tayang - dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).
Matlamat utama kempen itu, kata Zahrin, adalah untuk menarik orang ramai khususnya yang jarang ke panggung dan lebih gemar menonton filem menggunakan medium lain seperti televisyen, Internet, saluran televisyen berbayar atau cakera video digital.
Katanya, sebanyak 200,000 ribu tiket akan diedarkan kepada umum sebagai menyuntik semangat cintakan filem tempatan. Kempen itu dijangka dilancarkan pada hujung bulan ini.
Menurut Zahrin, dia melihat kempen itu sebagai satu daripada platform yang boleh mempromosi filem domestik kerana dia percaya, antara faktor kegagalan produksi tempatan membuat kutipan memberangsangkan adalah disebabkan kurangnya promosi dan kesedaran umum.
“Saya lihat promosi filem tempatan amat kurang, sudah jarang sekali ada pratonton atau iklan di televisyen.
“Kita sering membicarakan hal filem, tetapi kita lupa untuk mempersoalkan - di mana penonton?" katanya kepada Malaysiakini.
Peruntukan terhad
Mengakui kos mengiklankan filem di televisyen agak tinggi, Zahrin yakin penonton kurang ke pawagam juga kerana tidak ada hebahan meluas atau tidak diberitahu mengenai produksi terbaru.
Ekoran masalah itu, kutipan filem merudum dan akibatnya pelabur kurang berminat untuk memberikan peruntukan ‘luar biasa’.
Maka, katanya, lahirlah filem yang tidak bermutu.
“Hendak hasilkan filem berkualiti kena melabur dari segi pelakon dan persembahan, tetapi ia kini terjejas kerana tiada elemen yang diperlukan itu disebabkan peruntukan terhad,” katanya.
Namun, lain pula halnya dengan filem
Polis Evo
yang ditayangkan tahun ini dan
The Journey
(2014) apabila ia berjaya mencecah tahap
box office.
Kata Zahrin, kedua-dua filem itu berjaya besar kerana mempunyai strategi promosi yang hebat serta terancang.
Menurutnya lagi, orang ramai juga terdorong untuk ke panggung jika yakin filem yang ditayangkan itu berkualiti.
Justeru Kafe Skrin tampil menawarkan kempen Jom Wayang untuk mempopularkan filem tempatan melalui kaedah sendiri.
Tanggungjawab sosial
Sebanyak 200,000 tiket percuma akan diedarkan kepada orang ramai di panggung seluruh negara, selain boleh mendapatkannya menerusi perkhidmatan atas talian.
“Saya percaya ini teori yang boleh digunakan untuk membuka mata penonton agar datang ke panggung.
“Kita tidak mahu lupa untuk berdiri di bumi nyata. Kita harus tahu bahawa kita juga ada filem yang perlu disokong," katanya.
Untuk merealisasikan kempen Jom Wayang, Zahrin berkata dia memerlukan syarikat tertentu untuk memberi sumbangan sebagai tanda sokongan.
Katanya, ia boleh dianggap sebahagian daripada amalan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pada masa sama boleh menaikkan nama syarikat yang bekerjasama.
“Kami masih dalam proses mendapatkan penaja untuk memberi tiket 200,000 dan sumbangan berkenaan boleh dianggap sebagai anjakan penting kepada kempen Jom Wayang.
“Ini boleh dianggap CSR. Penaja akan mendapat kesedaran jenama mereka dan disenaraikan sebagai penyokong kempen Jom Wayang,” katanya.
