Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Misteri di sebalik ritual dan aksi dalam tarian makyung diakui mempunyai aura tersendiri, dan mengambil elemen itu sebagai latar belakang, pengarah Eyra Rahman mengangkat kesenian tradisional berkenaan ke dalam filemnya untuk menyuntik nilai unik dalam Badi .

Dari situ Eyra mengembangkan plot Badi dengan mengaitkannya sehingga sekurang-kurang 20 peratus dalam filem berkenaan.

Biar pun tidak banyak pengaruhnya dalam filem, tetapi elemen itu nyata mampu menimbulkan perasaan "seram" malah boleh dikatakan menjadi satu antara kekuatan dalam Badi .

Ini boleh dilihat dalam babak Sarah (Adiba Yunus) memakai pakaian lengkap dan menyanyi lagu makyung sambil duduk seorang diri.

Penghayatan watak yang diberikan oleh Adiba juga baik - atau sebenarnya amat baik.

Wajar rasanya untuk menyatakan perasaan seram tadi dibantu ekspresi mukanya sebagai gadis kampung yang misteri dan penuh emosi, menjadikan Adiba sebagai pelakon paling menonjol dalam filem keluaran MIG Pictures ini.

Tetapi harus diingatkan, seram Badi bukanlah seperti rasa meremang bulu roma menonton filem Jangan Pandang Belakang (2007) mahupun Puaka Tebing Biru (2007).

Bukan kali pertama

Unsur seram yang dipamerkan masih lagi ‘berulamkan’ kejutan biasa yang senang diagak oleh penonton.

Cerita yang dirakam di sekitar sebuah kampung di Ijok, Selangor itu mempamerkan kelemahan di awal cerita apabila ia dilihat mengganggu dan merosakkan dinamisme perjalanan naskhah yang sepatutnya boleh digarap lebih baik.

Badi bukan buah tangan seram pertama Eyra. Selain Badi dia pernah mengarahkan Pengantin Malam dan Gudang Kubur .

Bagi hero filem ini, Azwan Kombos, menerusi dialog yang dilontarkan dia berjaya mempamerkan karisma dan daya fokus yang mantap.

Di sebalik watak keras yang dipegangnya, terselit juga sisi lembut seorang lelaki apabila bertemu Sarah dan Azwan dapat membawa watak berkenaan dengan bersahaja.

Dalam usaha menimbulkan perasaan seram itu, Eyra juga menyelitkan situasi pelajar perubatan dan penduduk kampung yang bersifat prejudis kepada kepercayaan silam.

Turut disulam dalam Badi adalah wasangka kepada kebudayaan masyarakat setempat yang dilihat menjadi penyeri babak kosong, berulang dan sesekali dilihat sengaja diada-adakan untuk melewatkan ketibaan klimaks.

Dan seringkali, prejudis bagai memang tidak boleh lari daripada norma masyarakat seperti digambarkan dalam babak Tania mempersoalkan asal-usul Sarah yang tidak diketahui dan miskin, ditambah perasaan cemburu menakluk diri kerana mahukan Joe (Azwan Kombos).

Penamat mudah

Begitu juga dalam babak penduduk kampung yang tanpa usul periksa menuduh seluruh keturunan Sarah sebagai pengamal ilmu hitam.

Sepanjang perjalanan filem ini, di mata penggemar filem seram, ketakutan yang dibina Eyra boleh dianggap sekadar suam-suam kuku.

Ia diganggu oleh teknik penggambaran close up atau head shot yang dirasakan kurang sesuai dan sesekali mengundang rasa bosan.

Bukanlah semua, tetapi ia memang banyak.

Ia tidak harus dipandang ringan kerana sekiranya Eyra menitikberatkan hal ini, ditambah dengan unsur pencahayaan yang tepat, Badi di tangannya mungkin mampu membangkitkan suasana seram dengan lebih mendalam.

Ketika babak penghujung filem tiba, Eyra menjadikan Badi tergesa-gesa mahu ditamatkan dengan mudah.

Ia gagal memberi memberi kepuasan seperti diharapkan apabila konfrontasi yang dicipta rupa-rupanya boleh diselesaikan dengan begitu mudah.

Lihat Komen
ADS