Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peluang bekerja di bawah pengarah dari India disifatkan Fezrul Khan Junaidi sebagai pengalaman amat berbeza berbanding sutradara tempatan, dan ia menganggapnya sebagai sesuatu yang mesti diberi perhatian.

Menurut pelakon berusia 33 tahun itu, bekerja mengikut arahan pengarah berkenaan memberi dimensi baru kepada dirinya yang selama ini cuma berpeluang berlakon dengan pengarah tempatan.

“Tidak boleh pandang remeh pada semua perkara.

“Ia pengalaman baru apabila saya sudah terbiasa menerima arahan pengarah di sini, dan kena pula bekerja dengan pengarah dari India,” katanya kepada Malaysiakini.

Fezrul ditemui pada majlis pratonton filem Mirip di TGV One Utama semalam. Turut hadir pelakon lain Mirip iaitu Reen Rahim dan Ezzaty Abdullah.

Mirip adalah filem muzikal thriller arahan Jokin dan diterbitkan oleh Green Screen Production.

Perlu terjemah dulu

Ia menceritakan perjalanan hidup Nik (Fezrul Khan) yang menyara hidup dengan menyanyi.

Nik tidak memiliki ibu bapa kerana sudah meninggal dunia dan satu-satunya 'harta' ditinggalkan untuknya adalah kemahirannya dalam bidang muzik.

Fezrul berkata, perbezaan paling ketara dirasakan berlakon di bawah arahan Jokin ialah setiap adegan dirakam berkali-kali sehingga menimbulkan tanda tanya sama ada ia benar-benar akan digunakan dalam filem atau sebaliknya.

"Melihat syot yang diambil di sesuatu set, ia terlalu banyak hinggakan saya tak tahu sama ada ia akan digunapakai atau tidak," katanya.

Namun selepas melihat hasil akhir Mirip Fezrul menyedari sebahagian besar syot berkenaan memang digunakan.

Dalam Mirip dia diberikan tiga watak berbeza - Nik, Irwan (yang membantu Nik menggapai cita-citanya) dan watak sampingan daripada Irwan.

Tugasan itu memerlukan Fezrul menguasai seni tari yang betul, gerak bibir ( miming ) yang tepat dan kemahiran bermain gitar.

Walaupun mengetengahkan elemen Bollywood, filem itu tidak pula melupakan budaya tempatan.

Mengakui bukan beban - sebaliknya cabaran - apabila diberi tiga watak sekaligus, Fezrul berkata, dia perlu banyak menumpukan perhatian ketika di set penggambaran.

Baginya, pelakon gandingan seperti Ezzaty dan Reen banyak membantu.

Selain perlu memberi fokus yang tinggi, berjaya memahami dan menyampaikan kehendak pengarah juga amat penting dalam merealisasikan sesuatu babak.

Untuk itu, penterjemah juga digunapakai bagi memudahkan pemahaman pelakon.

“Apa yang saya baca di skrip berlainan daripada sebenarnya. Ia begitu kerana dialog dalam Mirip perlu diterjemah terlebih dulu daripada bahasa Tamil ke bahasa Melayu.

“Apa yang perlu diubah, saya akan bincang dengan pengarah terlebih dahulu,” katanya.

Dear all..presenting to you.. the trailer of the upcoming Musical Thriller, MIRIP#miripthemovie

Posted by MIRIP The Movie on Wednesday, August 26, 2015

Lihat Komen
ADS