Akta Penapisan Filem 2002 - kata Human Right Watch (HRW) menjadi salah satu penyumbang kepada penyempitan ruang kebebasan bersuara di Malaysia, selain beberapa akta lain.
Dalam laporan terbaru pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa itu, Akta Penapisan Filem dianggap "tidak masuk akal" ( absurd ) dan "jelas melanggar hak kebebasan bersuara".
Memetik seksyen 6 akta berkenaan, HRW berkata mana-mana video yang tidak mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) dilarang ditayangkan sama ada ia mengandungi kesan negatif kepada umum atau sebaliknya.
"Ini bermakna pemilikan, tayangan, pengedaran, pameran kartus, video majlis perkahwinan atau keraian keluarga, malah video normal yang dirakam menggunakan telefon pintar boleh didapati menyalah seksyen 6 jika ia tidak mendapat kebenaran LPF," kata laporan berkenaan.
Laporan setebal 145 halaman itu dibentangkan Pengarah Asia HRW, Brad Adams di Kuala Lumpur hari ini.
Dokumen itu berjudul Mewujudkan Budaya Takut: Penjenayahan Hak Bersuara Secara Aman di Malaysia .
Seksyen 6 Akta Penapisan Filem 2002 menyatakan tiada sesiapa pun boleh memiliki, menyebar, menayang, mengedar, mempamer, membuat, mengeluar, menjual atau menyewakan filem atau bahan publisiti filem yang tidak diluluskan LPF.
Sesiapa yang melanggar undang-undang pemilikan filem tanpa tapisan boleh didenda antara RM5,000 dan RM30,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi pesalah yang memiliki bahan publisiti filem pula boleh didenda antara RM1,000 dan RM10,000.
Memuaskan hati pihak berkuasa
Kata HRW, seksyen berkenaan adalah larangan meluas terhadap hak kebebasan bersuara dan boleh digunakan untuk tujuan politik.
HRW kemudian memetik kes dialami pegawai Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) pada Julai 2013 yang ketika itu menayangkan filem No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.
Filem dokumentari itu memaparkan laporan jenayah perang didakwa dilakukan dalam konflik Sri Lanka antara tentera kerajaan dengan pemberontak Tamil Elam.
Isu dalam dokumentari itu, kata HRW, tertakluk kepada resolusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang mengkritik kerajaan Sri Lanka kerana gagal menyiasat tuduhan berlakunya pelanggaran undang-undang perang oleh kedua-dua pihak sepanjang tempoh konflik berkenaan.
Kakitangan Komas, Lena Hendry; pengarahnya Anna Har dan pengarah eksekutif pertubuhan berkenaan, Arul Prakesh ditahan.
Bagaimanapun tiada tuduhan dikenakan terhadap Anna dan Prakesh, manakala Lena didakwa pada 19 September 2013 kerana melanggar Seksyen 6 (1) (b) Akta Penapisan Filem. '
"Tuduhan terhadap Lena kelihatan didorong oleh kemahuan kerajaan Malaysia memuaskan hati pihak berkuasa Sri Lanka," kata laporan berkenaan.
Lena mencabar pendakwaan itu kerana bercanggah dengan Artikel 10 Perlembagaan Malaysia.
"Pada 14 September 2015 Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Lena dan menetapkan kes berkenaan untuk dibicarakan.
"Ketika laporan ini ditulis, mahkamah belum menetapkan tarikh perbicaraan (kes berkenaan)," kata laporan berkenaan.
Turut disentuh dalam laporan itu adalah penggunaan Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman serta beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan.
HRW berkata, laporan itu disiapkan hasil temubual dengan aktivis sivil, wartawan, peguam, ahli akademik, tokoh politik pembangkang serta kenyataan awam oleh kerajaan serta laporan media.
"HRW menulis kepada menteri dalam negeri, peguam negara dan ketua polis negara serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mendapatkan pandangan mengenai isu dibangkitkan dalam laporan ini - dan tiada sesiapa memberikan jawapan balas," katanya.
