Penggemar alam fiksyen sains dan fantasi di negara ini pasti teruja kerana buat julung kalinya acara Komik Kon diadakan di negara ini.
Melihat kepada nama Komik Kon, sudah tentu ia mengingatkan peminat kepada acara Comic-Con Antarabangsa San Diego - konvensyen komik yang awalnya diadakan pada 1970 dan sejak itu sering diadakan sebagai acara tahunan di AS mahupun di rantau lain.
Pengasas Komik Kon Malaysia Chee Kee Poey mengambil inisiatif untuk mengadakan konvensyen itu mulai 13 hingga 15 November ini di Taman Ekspo Agro Malaysia (Maeps), Serdang.
Chee bersama seorang lagi pengasas Komik Kon, Fong Yee Hoong, bersependapat untuk menampilkan keunikan dalam gaya tersendiri pada acara sulung ini.
Ia bukan saja mengetengahkan produk antarabangsa, tetapi juga daripada karya industri kreatif tempatan.
“Kelainan pada konvensyen ini adalah ia turut menampilkan produk tempatan.
“Komik Kon akan menjadi antara platform bagi pelukis komik dan animasi mempersembahkan hasil kreatif mereka kepada peminat,” kata Chee kepada Malaysiakini selepas sidang media di Serdang semalam.
Diharap ada setiap tahun
Antara produksi tempatan yang turut mengambil bahagian adalah Boboiboy, Keluang Man, Upin Ipin dan Cingkues Blues.
Pengunjung berpeluang juga membeli koleksi figura, aksesori dan komik dari pelbagai elemen seperti anime, manga atau filem fiksyen sains malah dapat menyaksikan tarian karakter adi wira serta persembahan aksi lightsaber oleh kumpulan Seni Aksi Force (Fast).
Selain itu, pengunjung berpeluang untuk menyertai pertandingan Cosplay - acara kostum mengikut karakter animasi yang disukai - dan menderma.
“Pengunjung yang hadir dengan kostum terbaik berpeluang memenangi wang dan hadiah.
“Untuk menang, peserta harus mengambil berat perincian pada kostum itu kerana kami mahu melihat usaha mereka,” katanya.
Jika bernasib baik, peminat yang datang boleh melancong ke luar negara kerana penganjur juga menyediakan acara cabutan bertuah.
Tidak perlu risau jika berasa lapar atau dahaga, kata Chee, kerana trak makanan akan disediakan sepanjang acara itu berlangsung.
“Acara kali ini diharap dapat berkembang dan diadakan setiap tahun.
“Karya dihasilkan oleh pelukis kita mampu bersaing dengan antarabangsa,” katanya.
Pesta itu bermula dari 10 pagi hingga ke 8 malam dan boleh dikunjungi selepas membeli tiket berharga RM35 (harian) atau RM78 (untuk tiga hari).
