Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sewaktu vokalis Genji Buskers, Mustam Mustapa, mengilhamkan lagu untuk negarawan idolanya, dia mungkin tidak menyangka ada cabaran yang perlu ditempuh.

Mustam, 34, adalah penyanyi jalanan yang sering menghiburkan orang ramai di mana-mana lokasi mengikut kemahuannya.

Daripada menyanyi seorang diri sehingga kini mempunyai anggota kumpulan dan pengikut, Mustam gigih memperdengarkan alunan muzik dan nyanyiannya dengan bersahaja.

Pada suatu ketika, muncul detik tidak boleh dilupakan apabila seorang lelaki yang menjadi sumber inspirasinya datang menghampiri lalu menghulur RM50 semasa dia membuat persembahan di stesen LRT Avenue K, Januari lalu.

Lelaki itu ialah tokoh negara yang pernah menjadi perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Detik itu mencetuskan perasaan terharu dan membangkitkan semangatnya untuk mendedikasi sebuah lagu - kini berjudul Inspirasiku Mahathir - kepada negarawan berkenaan secara solo.

Beberapa majlis batal

Menurut Mustam, walaupun lagu itu mendapat sambutan daripada peminat, namun tidak kurang juga yang menyambutnya dengan perasaan benci.

“Tidak tahu apa masalahnya, kerana saya tidak selitkan langsung fahaman politik dalam lagu itu.

" Inspirasiku Mahathir bertujuan menyampaikan rasa cinta rakyat kepada Dr Mahathir," katanya kepada Malaysiakini .

Menurut Mustam, ada pihak meninggalkan komen mencemuhnya dalam YouTube.

Walaupun tidak menyebut nama secara khusus, Mustam tahu kritikan berkenaan ditujukan kepada siapa.

“Dia bertanya, untuk apa menyanjung pemimpin yang menjadi bapa pembangunan dan rasuah, malah punca kepada perpecahan negara" katanya.

Disebabkan lagu itu juga, Mustam terhalang membuat persembahan dalam beberapa majlis apabila penganjur membatalkannya pada saat akhir.

Namun bagi Mustam, semua itu menjadi perkara lumrah dan seharusnya dia terus cekal.

“Saya tidak terkesan kerana saya berkarya bukan semata-mata untuk peminat atau meraih simpati, sebaliknya saya berkarya secara jujur untuk didengari.

“Ilham yang keluar datang daripada Allah dan itu yang saya sampaikan.

“Kalau sampai pada tahap ada orang membenci, saya terima hakikat itu asalkan tetapi biarkan saya membuat lagu untuk kasih saya kepada negarawan," katanya.

Menjelaskan mengenai Inspirasiku Mahathir , Mustam berkata, ideanya muncul pada Februari namun hanya dirakamkan pada September lalu.

Menurut Mustam, pertama kali dia bertemu Dr Mahathir adalah di Putrajaya.

Pada bulan ini pula Mustam sanggup terbang ke Tawau untuk mengikuti program Bicara Negarawan Bersama Tun Mahathir.

“Saya pergi ke sana untuk mempersembahkan lagu itu pada Dr Mahathir dan bawa RM50 yang dia pernah beri untuk ditandatangani sebagai kenangan.

“Di sana, ada seorang makcik memberitahu, saya membuat orang Tawau menangis sebab lagu itu sedih,” katanya.

Lihat Komen
ADS