Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ulasan filem: Mentafsir metafora The Babadook

Segelintir kita - sebenarnya - masih tidak menyedari, filem-filem dari Australia juga ada yang baik, berkualiti dan berbaloi untuk ditonton. Dan salah satu dari filem tersebut adalah The Babadook.

Ia menduduki tangga ketiga dalam senarai filem terbaik 2014 dan digelar filem paling seram pada tahun lalu. Hasil tangan Jeniffer Kent ini berdasarkan filem pendek berjudul Monster pada 2005.

Apa yang menarik tentang The Babadook? Pertama, ia bukan sahaja bergenre horror , tetapi psychological horror - sesuatu yang sangat sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk visual.

Pernahkah anda melawat wad psikatrik? Pernahkah anda duduk dan berbual dengan pesakit-pesakit skizofrenia, depresi melampau atau mana-mana pesakit mental yang berimaginasi perkara aneh atau setengahnya mendengar macam-macam suara? Pernahkah anda berbual atau punyai kawan, kenalan yang pernah disantau atau dirasuk? Jika ada, berapa peratus anda percaya cerita mereka?

Sesebuah filem psychological horror - jika tidak digarap dengan baik - akan sangat menghampakan. Sebalikya jika ia dilakukan dengan teliti dan cermat maka produksi itu menjadi terbaik.

Kedua, yang menarik adalah trailernya yang berjaya mengundang rasa ingin tahu sangat kuat. Dan itulah punca utama saya menonton filem ini.

Ketiga, kesan jump scare yang sangat minimum.

Tidak cacatkan jalan cerita

The Babadook membawa kita ke dalam kehidupan seorang wanita yang kematian suami, cuba menguruskan seorang anak hiperaktif.

Permulaan cerita The Babadook agak perlahan kerana kita disuruh memahami situasi wanita ini yang depresi bukan sahaja kerana hilang tempat bergantung, cinta dan keselamatan, malah tertekan dengan karenah anaknya yang hiper.

Emosi ditunjukkan Amelia Vanek (lakonan Essie Davis) sangat berkesan, dan Noah Wiseman yang memegang watak Samuel Vanek - budak berusia enam tahun yang berperang antara depresi ibunya dan gangguan entiti hitam - sungguh baik dan mantap.

Pergerakan jiwa kacau dan gangguan entiti hitam bergerak seiring dan saling cuba untuk melengkapi antara satu sama lain tanpa mencacatkan jalan cerita.

Dua hal yang saya anggap menarik dalam filem ini adalah, pertama cara Jeniffer Kent memperkenalkan entiti hitam secara sangat halus, berperingkat tanpa mengganggu jalan cerita. Kedua, kesan jump scare yang sangat minimum.

Ini adalah sesuatu yang saya tunggu lama. Kebanyakkan filem seram lebih menitikberatkan kesan jump scare seperti semua sekuel Insidous yang pada saya, sangat melampau terutama kesan bunyinya yang bingit dan tajam.

Penonton mahu diseramkan bukan diterkejutkan. Apakah makna filem hantu jika apa yag kita dapat hanya kejutan? Menghampakan, bukan?

Jika anda bertanya kepada saya, saya masih berpendapat filem Setinggan dan Misteri Rumah Tua adalah filem yang berjaya menarik setiap helai bulu roma saya supaya berdiri. Sangat seram! Seperti filem Poltergeist 1982, Exorcist 1 atau Nightmare Of The Elm Street.

Bukan seperti filem Poltergeist 2015 yang sangat mengada-ngada.

Kerosakan menyeluruh

Ini adalah tip untuk direktor dan penerbit filem. Minimumkan kesan jump scare. Bukan tidak boleh. Boleh, cuma jangan melampau. Lebihkan faktor seram, jaga penampilan horror dan ambil berat babak yang boleh membuka pintu imaginasi penonton dengan luas.

Apabila penonton berjaya mencantumkan babak-babak itu ke dalam imaginasi, masa itulah kemuncak keseraman akan dirasai.

Ia akan berbekas bukan sahaja sepanjang menonton, tetapi selepas tayangan filem berakhir. Apa yang Jeniffer lakukan dalam The Babadook, adalah klasik.

Empati dari filem ini datang dari dua sumber - daripada Amelia Vanek (si ibu) dan Samuel (si anak).

Secara bandingan kesan itu memang lebih dilihat pada Samuel. Kita berasa terkesan dan tertekan kerana menyaksikan seorang budak berusia enam tahun yang terpaksa menggunakan segala apa yang dia tahu dan ada untuk menyelamatkan ibunya daripada dirosakkan oleh entiti hitam tersebut.

Kerosakan yang dipersembahkan itu pula sungguh menyeluruh. Perkara ini membuat saya terfikir: Bagaimana kita mampu untuk mendidik anak anak supaya menjadi berani sebegitu?

Cari dan tonton

Saya tahu ini hanyalah filem, dan saya tidak maksudkan "berani melawan hantu", sebaliknya "berani" menghadapi anasir luar, negatif dan yang tidak perlu.

Banyak babak-babak yang menarik dalam filem ini dan mampu memberi kepuasan. Selepas tamat menonton, anda akan dihimpit satu persoalan: Apakah entiti hitam tersebut?

Kerana pengakhirannya agak unik, ramai akan menganggap entiti hitam itu adalah jin, syaitan, jelmaan, saka dan sebagainya. Ya, ia boleh dianggap demikian.

Tetapi disebabkan pengakhiran sebegitu, ditambah filem ini kategori psychological horror, saya menganggap entiti hitam itu adalah metafora kepada kesusahan hidup seorang janda dengan seorang anak yang dihimpit pelbagai masalah

Semua faktor ini kemudian berkumpul dan memberi impak yang sangat negatif kepada si ibu sehingga mampu mencederakan dia dari segi fizikal, emosi dan mental, malahan turut mengheret anaknya dalam peperangan jiwanya.

Hujungnya yang mahu disampaikan ialah, hanya ihsan, toleransi, kasih sayang, saling membantu, percaya, sabar dan cekal yang mampu mendorong seseorang lari dari lembah kekecewaan mutlak.

Apapun, jika anda masih tertanya-tanya wajarkah untuk menonton filem ini, tak perlu tanya lagi. Cari dan tonton. Untuk kepuasan maksimum, tontonlah pada tengah malam, bersendirian di dalam bilik, dan bergelap.

Mana tahu, ada suara memanggil, "Ba ba dok dok doooook!"


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS