Sekali dengar, ia berbunyi seperti lagu cinta, tapi apabila diamati, ternyata ia bukan 'cinta biasa'.
Berjudul Mana Hilang 2.6 Bintang, lagu dinyanyikan oleh Amirudin Hizadin itu adalah lagu biasa - kecuali bagi pendengar yang peka kepada keadaan semasa.
Untuk orang ramai yang mengikuti perkembangan politik dalam negara, kalimah "2.6" pasti mengingatkan kepada isu yang memanas ketika ini iaitu wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak.
Melalui lagu 'Di Mana Hilang 2.6 Bintang' itu, Amirudin menyentuh beberapa isu semasa yang memberi kesan secara langsung kepada rakyat negara ini.
Selain mengungkapkan kalimah "2.6 bintang" lagu itu juga boleh ditafsir - secara berlapis - menyindir kenaikan tarif tol, pemotongan subsidi minyak, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
Berikut adalah lirik lagu itu seperti dipaparkan pada klip video Amirudin:
Mungkin Takkanku ke Kuala Lumpur
nak bayar tol, minyak, aku menggelupur
duit belanja cukup makanku waktu sahur
Mungkin hidupku kegelapan
nak bayar bil elektrik, tak kemampuan,
tapi tak apa, tunggu duit BRIM dan bantuan
Mana hilangnya 2.6 bintang bintang
yang sepatutnya menerangi mimpi
ngeri dan suram kita
Mana hilangnya 2.6 bintang bintang
aku tanyakan Pak Mentari
tapi masih lagi berdiam
Mungkin yang sakit akan terus uzur
nak bayar ubat pun terus tersungkur
Oh tapi PA katanya baik untuk kita
Mungkin harga barang akan turun
ada GST semua orang untung
tapi mengapa makin ramai yang bermurung
Mana hilangnya 2.6 bintang bintang
yang sepatutnya menerangi
mimpi ngeri dan suram kita
Mana hilangnya 2.6 bintang bintang,
aku tanya Pak Mentari
tapi masih lagi berdiam
Semakan di Facebook Amirudin petang semalam menunjukkan klip video berkenaan dikongsi ramai orang di alam maya.
Ia juga menarik lebih 80,000 penonton serta dikongsi lebih 3,000 kali.
Salah seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Zainal Musa memberi komen: "Melodi yang baik dan lirik yang bermakna".
Azimah Zianul pula menulis: "Lagu ini sedih, macam ada kaitan dengan hidup saya:.
Rini Reney pula berpendapat: "Lagu yang baik. Ketika kita mempersenda (trolling) inilah realiti di hati rakyat".
Dipercayai lagu itu bukanlah ciptaan pertama Amirudin. Akaun Facebooknya menunjukkan sudah mencipta dan menyanyikan lagu sendiri sejak tahun lalu lagi.
