Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Masalah bagi filem sekuel aksi seperti siri James Bond adalah: Selepas meletupkan kereta, helikopter, rumah dan lain-lain, kamu perlu mencari objek yang lebih besar untuk diletupkan dalam siri-siri berikutnya.

Itulah yang berlaku dalam siri James Bond terbaru, Spectre , apabila bangunan besar diletupkan bukan sekali, tapi dua kali.

Sekali di Mexico City dan sekali di United Kingdom – demi memenuhi 'kuota' letup-letupan dalam filem ini.

Dan Spectre kekal setia mengikut acuan biasa Bond sejak 1960-an; dengan gadis-gadisnya, kereta model baru yang laju dan canggih, watak tipikal antagonis pengancam tamadun kemanusiaan dan penampilan tempelan rakan-rakan agensi 007 seperti M, Q dan Moneypenny.

Masalah terbesar Spectre ialah ia keluar selepas Skyfall. Ia barangkali adalah antara kejayaan terbesar siri Bond jika dilihat kepada aspek jualan tiket dan kemampuan untuk lari sedikit jauh dari acuan biasa siri filem ini.

Apa yang perlu dihadapi Sam Mendes dan pasukannya adalah harapan tinggi peminat yang perlu dipenuhi dalam Spectre selepas kejayaan Skyfall. Dan sayangnya, ia tidak terpenuhi.

Tak terbanding dengan Skyfall

Spectre dimulakan dengan sorotan suasana eksotik Amerika Latin lewat Pesta Kematian di Mexico City yang diraikan besar-besaran seperti perarakan Carnaval di Brazil. Ya, Bond berada di sana, pastinya beriring gadis genit sebagai peneman acara sebelum dia meninggalkan 'mangsa' terkulat-kulat di bilik hotel hanya untuk memburu si penjahat bernama Sciarra.

Bond menyasarkan Sciarra - yang berada di hotel seberang - dan menembaknya. Tidak semena-mena bangunan hotel Sciarra meletup, runtuh dan tumbang ke arah Bond.

Bond berjaya melepaskan diri dari runtuhan. Begitu juga Sciarra yang cabut laripada dari dikejar Bond.

Dan pertarungan mereka seterusnya berlangsung dalam helikopter apabila Bond berjaya merampas cincin Sciarra sebelum menolaknya jatuh dan membunuh si juruterbang.

Muzik pembukaan dimainkan selepas Bond merampas helikopter itu. Ah, ini sama sekali tidak dapat menandingi pembukaan Skyfall apabila Bond ditembak jatuh ke dalam sungai oleh rakannya sendiri yang salah sasaran sebelum tiba-tiba disambut dua jari besar dari dasar sungai, sebelum lagu pembukaan yang agak menyeramkan nyanyian Adele dikumandangkan.

Kematian Sciarra mendedahkan Bond kepada organisasi jahat Spectre, langsung kepada bos nombor satunya, Franz Oberhauser.

Jika mengikuti sekuel Bond sejak Casino Royale, Quantum of Solace hingga Skyfall, kita akan segera tahu dalam filem ini bahawa Spectre adalah organisasi besar yang menaungi segala organisasi dan penjahat yang berada dalam siri-siri sebelum ini.

Panjang tanpa sebab

Menjejaki bos nombor satu organisasi induk bermakna Bond sudah menjumpai apa yang dicarinya selama ini sekaligus bermaksud tugasnya hampir selesai.

Di luar filem, kita juga diberitahu bahawa Daniel Craig mahu menamatkan “tugasnya” sebagai pelakon siri James Bond walaupun beliau telah diakui banyak pihak sebagai Bond terbaik selepas Sean Connery.

Jika andaian ini benar, pelakon baru Bond akan muncul untuk sekuel seterusnya. Begitu juga musuh baru, kerana Spectre sudah lumpuh dengan tertawannya Oberhauser selain kematian gunting dalam lipatan dalam Jabatan Keselamatan British, C.

Dan jika ini benar juga, sepatutnya Spectre jadi filem yang lebih hebat daripada Skyfall lantaran risiko lebih besar yang ditanggung Bond berdepan organisasi utama penjahat. Dan secara lojik, kita perlu filem yang lebih baik untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pemegang watak Bond untuk empat siri ini.

Untuk menjadikan Spectre lebih gagal, kedapatan babak-babak yang seperti sengaja dipanjang-panjangkan tanpa sebab yang wajar.

Sebagai contoh, dalam satu babak apabila Oberhauser meminta orang lain untuk mengganti tugas yang ditinggalkan Sciarra dalam perjumpaan khas Spectre di Rome. Lengahnya terlalu lama.

Ia barangkali bertujuan menimbulkan kesan gerun penonton kepada kewibawaan seorang ketua penjahat (yang sengaja disamarkan wajahnya dalam bayang-bayang), tetapi tempoh terlalu lama dalam pawagam yang sejuk tidaklah begitu baik kepada penonton yang mempunyai tabiat kerap ke tandas.

Lebih malang, kesan gerun yang diharapkan itu tidak berjaya.

Dan Christoph Waltz (pembawa watak Oberhauser) juga gagal total sebagai penjahat. Dia bukan sahaja tidak menakutkan, tidak terpancar aura kejahatan dari matanya, malah kelihatan tua dan seperti seorang yang sakit dan tidak bermaya.

Kembali ke perangai asal

Dia tidak seperti Silva dalam Skyfall yang agresif dan berwibawa, yang kita benci dan berasa gusar, misalnya apabila dia berjaya lolos dari tahanan polis British. Malah, kalau dibandingkan Oberhauser dengan Izrael - lakonan Hushairi Husin dalam Polis Evo - pun saya masih memilih Izrael sebagai lebih jahat dan menimbulkan kebencian.

Apabila Bond membawa (sebenarnya melarikan) M pulang ke perkampungan ladangnya di Scotland dalam Skyfall, ia seperti satu kesegaran baru dalam siri James Bond. Ia mengangkat ciri klasik dan retrospektif, membawa pesan kepada penonton bahawa kecanggihan senjata api dan mesin-mesin yang kompleks tidak menjamin kemenangan dalam pertempuran.

Ia juga membayangkan kecintaan Bond kepada negaranya di sebalik penyelewengan Silva, dan keteguhan pendirian M mempertahankan unitnya dari digugat tangan-tangan gelap.

Sayangnya, kesegaran ini tidak diteruskan dalam Spectre . Bond kembali ke “perangai” asalnya seperti dalam siri-siri terdahulu – mengeksploitasi wanita, tiada falsafah perjuangan, terlalu gagah dan sempurna sehingga mengizinkan perkara tidak lojik berlaku.

Mengenangkan semua ini, selain harga tiket wayang yang tidak murah – sebenarnya agak mengecewakan juga.

Lihat Komen
ADS