Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Beberapa hari lalu berlaku polemik kecil di kalangan rakan-rakan Facebook saya. Ia bermula apabila seorang rakan berkongsi satu petikan kata-kata Perdana Menteri Canada, Justin Trudeau yang bermaksud, "kita perlukan penyair untuk mengubah dunia."

Saya tidak mahu berpanjangan dengan polemik itu. Saya mahu bercerita tentang filem Goosebumps , yang dengan cara tersendiri - secara literal - mengambil maksud "penulis yang mengubah dunia."

Goosebumps adalah filem komedi seram yang diadaptasi daripada siri buku kanak-kanak tulisan R L Stine yang menggunakan judul yang sama. Sejak novel pertama dalam siri itu, Welcome to the Dead House mula diterbitkan pada 1992, buku dalam siri ini terjual lebih 400 juta naskhah di seluruh dunia.

Goosebumps dalam bentuk asalnya adalah novel seram dengan watak yang berbeza-beza. Ada watak seperti Slappy The Dummy si patung licik, boleh menghilangkan diri dan muncul pada sebarang masa. Ada juga watak serigala jadian dan mentadak gergasi, selain bermacam jenis zombie dan raksasa menakutkan.

Jadi pembikin filem Goosebumps ini memikirkan bahawa adalah satu idea yang baik untuk mengumpulkan semua raksasa ini dalam satu produksi. Watak Stine si penulis dihidupkan dalam filem ini oleh Jack Black.

Dia - si penulis itu - semasa kecilnya adalah mangsa buli. Dan cara dia menangani pembuli itu adalah dengan mencipta watak raksasa yang menjadi teman bermain dan mempertahankannya.

(Itulah yang saya katakan tadi, penulis ada cara tersendiri untuk mengubah 'dunia' di sekelilingnya.)

Tak boleh dibunuh

Raksasa itu disimpan dalam manuskrip bukunya dan menjadi rahsia dia ke mana saja dia pergi. Dia berpindah-randah atas alasan yang sama - untuk memastikan buku-bukunya selamat dan sentiasa menjadi rahsia.

Sekali terbuka, raksasa yang disimpan akan terlepas. Dan raksasa tentulah akan bertindak sebagai raksasa. Tentunya bukan sesuatu yang baik.

Untuk dijadikan cerita, berlakulah situasi terburuk. Jiran baru Stine adalah pasangan ibu dan seorang remaja lelaki.

Remaja terbabit berkawan dengan anak perempuan Stine walaupun dilarang keras. Di situ mesej disampaikan bahawa masalah sentiasa berlaku apabila remaja melawan. Secara tak sengaja, sebuah manuskrip novel Stine terbuka dan melepaskan Abominable Snowman, sejenis haiwan seakan-akan gorilla.

Dan rentetan kejadian seterusnya menyebabkan semua buku Stine dibuka sekali gus membebaskan ratusan hantu, zombie, raksasa dan entah apa lagi.

Masalahnya, mereka tidak boleh dibunuh. Satu-satunya cara untuk menyelamatkan keadaan adalah memasukkan makhluk itu kembali ke buku tersebut. Selesai? Tidak, sebab Slappy the Dummy telah membakar semua buku tersebut.

(Nampak tak, membakar buku adalah salah satu aksi lazim para penjahat?)

Melawan sunyi

Oh, rupanya ada satu cara lagi. Stine perlu menulis satu buku terakhir untuk melenyapkan makhluk tersebut.

Nah, untuk anda yang selalu curiga, melalui cerita ini dapat difahami bahawa menulis sebenarnya boleh menyelesaikan masalah dan menyelamatkan dunia!

Saya tidak mahu terus memberikan spoiler . Tapi itulah Goosebumps, satu produksi yang menghiburkan dan ia bermula daripada premis yang menarik dan rapat dengan peminat buku.

Sebagai produksi komedi, Goosebumps boleh dianggap berjaya. Frasa "tidak kering gusi" tidak berlebihan untuk digunakan kepada produksi ini. Watak-watak utama dijayakan dengan baik, juga beberapa dialog yang diselitkan dengan berjaya. Mengutuk Stephen King, misalnya. (Ah, spoiler lagi.)

Berbalik kepada polemik yang saya perkatakan di awal tulisan ini.

Filem Goosebumps tidak membuktikan apa-apa. Cuma bagi saya, penulis atau penyair perlu ada tujuan untuk menulis. Stine - melalui watak dalam filem ini - mencipta makhluk dalam novelnya untuk melepaskan diri daripada rasa sunyi dan lemah melawan pembuli.

Dengan menulis, dia telah mengubah nasibnya (dan dunianya).


NAJMUDDIN YUSOFF adalah eksekutif telekomunikasi dan penulis separuh masa. Dia sering menonton filem sambil bercita-cita mengubah parti yang pernah disokongnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS