Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Singular Rhapsody raikan pelukis pelbagai latar

Semua didorong minat mendalam, tanpa latihan formal dalam bidang seni tiga pelukis ini boleh berbangga apabila karya mereka mampu dipamerkan di galeri untuk dinikmati orang lain.

Karya yang dihasilkan sememangnya memiliki aura tersendiri.

Ia seolah mampu berbicara dengan bahasa tersendiri, malah seakan melontarkan ‘senyuman’ sewaktu digantung di Galeri Xin Art sempena pameran Singular Rhapsody.

Sebenarnya, ada rahsia di sebalik setiap karya yang dihasilkan.

Menurut N Shantamathe ( gambar ), hidupnya mulai berubah selepas dia dimasukkan ke hospital dan hampir kehilangan nyawa akibat dijangkiti virus yang tidak dapat dikenal pasti.

Sejak itu, kata pelukis berasal dari Kuala Lumpur - tetapi kini menetap di Mantin, Negeri Sembilan - dia lebih menjuruskan lukisannya kepada menghasilkan karya bertema abstrak.

Baginya, peralihan berkenaan adalah sesuatu yang tidak pernah dijangka dapat dilakukan sebelum ini.

Komposisi abstrak pilihannya adalah menyerupai imbasan otak atau bentuk organik - menggunakan media dakwat atas kayu atau kertas.

Mungkin jadi penulis

Katanya, dulu dia perlu merujuk kepada sesuatu bentuk sebelum melukis, tetapi kini kaedah itu tidak lagi diambil kerana daya imaginasinya tidak ‘disekat’ malah lebih lancar.

Ia sekaligus memudahkannya untuk mengilhamkan sesuatu.

“Proses pemikiran kreatif saya berubah secara mendadak selepas dua minggu saya dimasukkan ke pusat rawatan intensif.

“Dulu, untuk melukis bunga atau sesuatu objek, terlebih dahulu saya harus merujuk gambar, tetapi sekarang segalanya lebih mudah, siap dalam beberapa minit kerana dihasilkan secara spontan,” katanya kepada Malaysiakini.

Singular Rhapsody bukan pameran pertama disertai Shantamathe. Sama ada secara solo atau berkumpulan, dia memang pernah membuat pameran di beberapa tempat lain, termasuk di KLCC.

Shantamathe pernah terbabit dalam bidang pengiklanan selama lebih 20 tahun tetapi kemudian membuat keputusan untuk berhenti dan meneruskan impiannya untuk menjadi pelukis.

"Satu hari nanti saya juga mungkin menjadi pelukis yang menulis," katanya.

Kisah Shantamathe dan Vong Nyam Chee mungkin tidak banyak bezanya.

Bagi Vong atau lebih dikenali sebagai Cheev, 59, dia mula melukis selepas diserang angin ahmar ringan kira-kira 10 tahun lalu hingga memaksanya berhenti kerja daripada industri kreatif.

Kerana menyanjung tinggi kewibawaan dan terpesona dengan sifat wanita, Cheev ( kanan ) tegar memilih ia sebagai subjek utama untuk arca.

"Wanita mempunyai kelembutan yang tiada pada lelaki, namun di sebalik sifat itu, wanita mampu membantu lelaki membina empayar," katanya.

Menariknya, untuk arca Cheev menggunakan bahan terbuang seperti lebihan bingkai kayu.

Dia juga tidak mempunyai studio khusus untuk mencantumkan setiap cebisan arca dengan gam, namun melakukannya di mana saja yang dirasakannya selesa.

Lain pula kisahnya dengan Sofian Sharifudin, 42, yang berasa ‘terbeban’ dengan haluan perniagaan tatu yang pernah diceburinya.

Demi kembali ke jalan yang tidak bercanggah dengan agama, dia menukar arah kepada aktiviti melukis di atas kanvas menggunakan inai yang diproses.

Menurutnya, karya yang dihasilkan bertemakan keaslian alam yang penuh dengan flora dan fauna.

“Saya rasa bersalah untuk meneruskan perniagaan tatu itu kerana ia bercanggah dalam Islam.

"Akhirnya saya mengambil keputusan untuk melukis menggunakan inai,” kata bekas perunding kewangan itu.

Selain mereka bertiga, Singular Rhapsodies juga menampilkan 17 lagi pelukis, semuanya penuh dengan kisah menarik.

Pameran di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur itu berlangsung hingga 15 Disember.

Ia dirasmikan penyair serta pelakon Pyanhabib baru-baru ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS