Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Seni cetak semakin dilupakan golongan pengkarya muda, namun sekumpulan artis yang menggelar diri mereka sebagai Cetak Kolektif berani mempertaruhkan karya demi mengangkat kembali penghasilan media itu.

Menerusi Pameran TP II, seramai lapan pengkarya muda tampil mempamerkan 45 hasil kerja mereka di atas kertas, dan tiga kulit album.

Cetak Kolektif terdiri daripada empat anggota asal iaitu pengasas Samsudin Wahab, Sabihis Md Pandi, Hazul Bakar dan juga Faizal Suhif.

Manakala artis baru yang menyertai kumpulan itu adalah Mark Tan, Agnes Lau Pik Yoke, Fadhli Ariffin dan Toh May Xuen.

Pameran itu sedang berlangsung di Galeri HOM Art Trans, Ampang, Selangor hingga 24 Disember.

Antara punca media itu kurang mendapat tempat di hati pengkarya muda adalah disebabkan ia memerlukan tahap disiplin bekerja yang tinggi.

Seni cetak bukan sesuatu yang mudah kerana imej adalah terjemahan artis yang dipindahkan ke atas plat atau kayu seterusnya ke atas kertas berulang kali.

10 edisi, satu untuk artis

Menurut Fadhli atau lebih dikenali sebagai Pali, beliau ‘tercabar’ sebagai pengkarya apabila kerumitan proses yang harus ditempuh.

“Penggunaan blok harus sama atau statik supaya masa cetak, rekaan tidak bergerak.

“Dari segi teknik ukir benam yang menggunakan akuatin pula, pemilihan adalah dari segi campuran asid dan jenis plat yang bersesuaian.

“Bagi kebanyakan karya, kami harus melakukan sekurang-kurangnya 10 edisi, daripada itu satu dijadikan sebagai simpanan artis,” katanya kepada Malaysiakini .

Fadhli ( gambar ) adalah lepasan graduan UiTM Shah Alam dalam bidang Seni Halus (2011 hingga 2013).

Untuk TP II, Fadhli memilih tema sosiologi politik kerana berasakan isu krisis ekonomi sentiasa dekat dengan masyarakat.

Dia mempersembahkan lima karya menggunakan teknik dry point berjudul “Private Message”, “Private Message: Shhh”, “Homeless, Drawing From Live Painting” dan “After Beuys: Left Side”.

Karyanya yang berjudul “Private Message...Shhh” seolah mempamerkan imej ular sebagai lambang ‘$’.

Teknik Barat

Perkataan “Private Message”, membawa banyak maksud, antaranya ia boleh dibaca sebagai PM sekiranya menggunakan huruf singkatan P dan M.

Visual ular pula menggambarkan haiwan itu berlingkar sesudah kenyang dengan perut yang dipenuhi wang.

Dan perkataan “Shhh” seolah menyuruh seseorang mendiamkan diri kerana sudah kenyang dengan wang dimakan tadi.

TP II adalah kesinambungan daripada pameran pertama Test Print yang pernah diadakan pada 30 Disember 2014 hingga 13 Januari sebelum ini.

Matlamat utama Cetak Kolektif adalah untuk mengkaji konsep seni cetak setiap individu daripada masa lampau, masa kini dan juga masa depan.

Mereka menggunakan teknik Barat dan menterjermahkannya ke dalam konteks kontemporari.

Sementara itu, antara artis lain yang menyertai pameran itu adalah Toh May Xuen. May adalah artis paling muda dalam Cetak Kolektif yang meraikan budaya pop dalam karya.

Dia menggunakan karikatur dan watak biasa dilihat seperti Mr Kentucky dan Ronald Reagan dalam ilustrasi berjudul “Funky Kentucky” dan “Radiant Ronald”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS