Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertemuan dengan Malaysiakini petang itu sepatutnya berkisar tentang kejayaan dan kenangan manis dua penulis sebagai juara sayembara sastera Selangorkini .

Sepatutnya. Namun kemudian isu yang mengisi perbualan pada Isnin lalu ialah kekecewaan dan rasa bengang mereka.

"Rasa macam mengemis," kata Roslan Jomel.

Roslan adalah pemenang utama kategori cerpen Hadiah Sastera Selangorkini 2015 melalui karyanya berjudul Telefilem.

Puncanya agak mudah difahami. Semua pemenang - utama dan saguhati - masih belum mendapat wang ganjaran yang dijanjikan kerajaan negeri.

Pada majlis pengumuman rasmi baru-baru ini pemenang hanya diberikan plak dan sijil oleh Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Dan sijil penghargaan itu juga mengecewakan sekurang-kurangnya seorang pemenang.

Melalui rencana Beban Puisi Dan Tanggapannya, Karl Agan diumum sebegai pemenang utama mengatasi empat finalis lain. Namun pada sijil yang tertera nama Karl, tertulis dia sebagai pemenang sagu hati.

(Seorang lagi finalis, Najmuddin Yusoff, juga diberikan sijil yang salah. Dia yang dicalonkan untuk kategori rencana berjudul Penulis Mati Selepas Karya Terbit , mendapat sijil untuk kategori puisi.)

"Sepatutnya kesilapan dan kemelut begini tak berlaku. Ia adalah perkara asas dan bukannya rumit," kata Karl yang baru sehari sebelum itu tiba dari Miri, Sarawak.

Selain itu, sijil yang diserahkan kepada semua finalis juga tidak ditandatangani oleh dua nama yang tertera pada kertas berkenaan, iaitu Amirudin dan Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan sebagai ketua panel juri.

Sijil itu kemudian ditandatangani di majlis pengumuman nama pemenang pada malam berkenaan.

Di poket ada RM70

Selain menghasilkan tulisan kreatif dan menerbitkan zine, Karl boleh dianggap tidak mempunyai pekerjaan tetap. Dia tidak membantah ketika dikatakan dirinya sebagai penulis sepenuh masa.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan dalam anugerah itu - cerpen, puisi dan esei. Sebanyak lima finalis disenarai pendek oleh panel juri dan pemenang utama dijanjikan hadiah RM5,000 manakala selebihnya menerima RM1,000 sebaga pemenang saguhati.

Bagi kategori puisi seorang lagi penulis tanpa pekerjaan tetap, Arafat Hambali, terpilih sebagai pemenang dengan karya berjudul Hujan.

Karya yang dinilai adalah tulisan yang disiarkan oleh akhbar mingguan Selangorkini untuk tempoh Oktober 2014 hingga Oktober 2015.

Arafat tiba dari Perlis dua hari sebelum majlis pengumuman itu (8 Disember) dan pulang semula ke kampungnya di Arau menaiki kereta api bersama sehelai sijil dan sebuah plak. Dalam poketnya berisi kurang daripada RM70.

Menurut Roslan, kegagalan pengurusan Hadiah Sastera Selangorkini 2015 boleh menyebabkan salah faham terhadap niat sebenar kerajaan negeri menganjurkan sayembara itu.

"Jangan sampai kita nampak kerajaan negeri ada agenda tertentu.

"Jika keadaannya begini, kita mungkin boleh bertanya: Apa tujuan sebenar ahli politik ini mendekati penulis dan sasterawan?" katanya.

Menurut Roslan kegagalan menguruskan anugerah itu seolah-olah menunjukkan penganjur tidak ikhlas dan melayan golongan penulis sebagai kumpulan kelas kedua.

Tunai impian kecil

Karl pula berpendapat, dengan jumlah penyertaan yang tidak terlalu banyak dan finalis yang terhad isu kesilapan mudah serta pengurusan hadiah sepatutnya tidak timbul.

"Apa yang terjadi ini menampakkan benda semudah ini gagal diuruskan. Malah selepas pengumuman dibuat pihak kerajaan negeri sekali lagi meminta butiran kami seperti nombor akaun, nama penuh dan kad pengenalan.

"Semua butiran itu sepatutnya sudah ada kerana ia disertakan semasa kami menghantar karya ke Selangorkini," katanya.

Arafat pula berkata, apabila ada pihak menganjurkan pertandingan, maka bermakna mereka sudah sedia untuk "memberi".

"Janji orang politik ni sama macam kita lihat pelangi. Indah, cantik tapi tak kekal.

"Saya pun tak pasti hingga bila 'pelangi' itu akan kekal indah," katanya.

Sebagai penulis yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, Arafat berkata, nilai RM5,000 itu dianggap besar untuk "menunaikan banyak impian kecil yang tertangguh".

Sebelum ini media melaporkan, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu, isu hadiah berkenaan sepatutnya diselesaikan pada Isnin lalu.

Amirudin pula menyatakan mungkin berlaku sedikit kesilapan teknikal dan yakin isu berkenaan akan diselesaikan segera.

Kata Amirudin, mungkin terdapat kesilapan teknikal tetapi menjanjikan isu berkenaan akan diselesaikan dengan secepat mungkin.

“Saya kena semak balik, sepatutnya semua dah dapat. Kita akan uruskan. Semua cek sudah ada. Saya akan pastikan sebelum akhir tahun ini selesai,” katanya dipetik Free Malaysia Today pada Sabtu lalu.

Menurut Amirudin, "faktor keselamatan" juga menjadi antara alasan kelewatan pembayaran berkenaan, selain terdapat segelintir pemenang tidak hadir pada majlis penyampaian hadiah.

Lihat Komen
ADS