Penjualan tiket filem Jagat yang dikatakan berlangsung baik ketika ini disyaki cuba ‘disabotaj’ pihak tertentu ketika ia masih tertakluk kepada syarat wajib tayang.
Tindakan itu, kata pengarah Jagat, Shanjhey Kumar Perumal, menyebabkan kutipan tiket filemnya terjejas.
Mengakui pihak berkenaan tidak melanggar peraturan, Shanjhey berpendapat berlaku sedikit 'permainan' di kalangan pengurusan pawagam tertentu.
"Melalui Skim Wajib Tayang, Jagat diberi sekurang-kurangnya empat slot tayangan setiap hari, namun ia tidak berlaku.
"Ada pihak tertentu mengambil kesempatan mengurangkan jumlah slot berkenaan sehingga sekali sehari dan tiada tayangan pada waktu malam," katanya.
Hal itu diakui Shanjhey (
gambar
) sebagai membingungkan kerana pihaknya tidak dimaklumkan terlebih dulu sebarang perubahan jadual mahupun penarikan filem
Jagat
daripada ditayangkan.
“Apa yang menambahkan kebingungan saya, apabila kami maklumkan akan membawa isu ini kepada pihak yang berkenaan, tiba-tiba semalam pihak yang berkenaan membuat tayangan Jagat pada waktu malam.
“Ini bermakna, sebenarnya ada ruang tayangan waktu malam untuk Jagat, tapi kenapa tidak dibuat sebelum ini?” katanya.
Harapkan keadilan
Jagat mengisahkan sejarah perubahan pekerja estet yang terpaksa berpindah ke kawasan setinggan pada 1991.
Ia mengetengahkan tema kemiskinan sebagai faktor yang menyebabkan permasalahan sosiologi di kalangan penduduk miskin.
Mengikut peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Skim Wajib Tayang adalah ketetapan sesebuah filem - tempatan atau luar negara - ditayangkan di pawagam untuk tempoh dan kekerapan tertentu.
Melalui peraturan berkuat kuasa mulai Jun 2005 itu, sesebuah filem mesti ditayangkan selama 14 hari berturut-turut di panggung terbesar.
Bagaimanapun tayangan itu boleh ditukar ke dewan lebih kecil jika bilangan penonton adalah kurang daripada 30 peratus daripada jumlah keseluruhan tempat duduk dalam panggung selepas empat hari pertama tayangan, atau penonton tidak kurang daripada 15 peratus daripada bilangan tempat duduk selepas tiga hari pertama tayangan.
Laman sesawang Finas menyatakan, jika bilangan penonton kurang daripada 15 peratus pihak pengurusan panggung boleh - atas budi bicaranya - menarik balik tayangan filem berkenaan.
"Pempamer (pengurusan panggung) hendaklah mengemukakan laporan mengenai apa-apa pertukaran dewan wayang gambar atau penarikan balik mana-mana filem yang diluluskan kepada Jawatankuasa dan peserta dalam masa dua hari dari pertukaran tersebut," kata kenyataan di finas.gov.my.
Waktu tayangan konsisten
Shanjhey berkata, pihaknya tidak ada masalah dengan ketetapan berkenaan namun berpendapat keadilan perlu diberikan kepada Jagat selepas didapati mendapat respon baik daripada peminat wayang.
“Walaupun Jagat mula ditayangkan pada tarikh sama dengan Star Wars: The Force Awakens , ia masih mempunyai peminat tersendiri,” katanya.
Shanjhey juga tidak menolak kemungkinan kepopularitian filem Tanggamagan dan Dilwale (kedua-duanya dari India) mengakibatkan Jagat disisihkan.
Katanya, mungkin ada pawagam mengurangkan atau cuba menghentikan tayangan Jagat supaya filem lain - yang dilihat lebih menguntungkan - dapat dipaparkan.
Sementara itu, katanya, dia sudah memaklumkan isu berkenaan kepada Finas dan pihak terbabit menyarankan supaya laporan rasmi dibuat mengenainya.
"Kami sedang mempertimbangkan jalan itu," katanya.
Pada masa sama, Shanjhey berkata, dalam tempoh seminggu ini dia berharap filemnya itu masih mendapat hak dan keadilan.
“Kami tidak meminta ia ditayangkan di dewan besar, cukuplah di dewan berpatutan dan pada waktu tayangan yang konsisten,” katanya.
