Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Bila terpandang gambar itu dan kapsyen di bawahnya, saya ketawa besar. Bukan kerana unsur politik pada gambar berkenaan tetapi kesan lucunya kata-kata yang sangat 'kena' pada imej itu.

Kita sering menyangka individu yang berada 'tinggi' hidup penuh protokol, penuh tatatertib. Jika ketawa, pasti ketawa mereka tidak lebih daripada dua harakat dan tentu sekali mereka tidak bergurau, bertepuk tampar seperti kita.

Kita ada satu gambaran romantis yang diserap oleh suasana, persekitaran bahkan media yang mengambarkan kehidupan para monarki teramat membosankan.

Lalu apabila gambar dan kapsyen itu tersiar di Instagram, kita - atau sekurang-kurangnya saya - berasakan suatu keanehan yang besar! Orang istana juga boleh melawak dan yang dilawaknya adalah orang yang kita - di negeri ini - tidak boleh disentuh sembarangan!

"Sakit ale" adalah kapsyen gambar yang saya maksudkan. Ia adalah 'hari raya' kepada jenaka.

Kita pun berterima kasih kepada beliau kerana sudi mencemar duli dan duduk bersama kita, bergurau dengan cara kita. Kita jadi berasa beliau amat dekat dengan kita.

Negara kian serius

Saya pun terkial-kial mencari cara bagaimana untuk menyimpan gambar tersebut di telefon bimbit dan kerana tidak savy -nya saya dengan peranti elektronik, saya gagal berbuat demikian.

Di banyak tempat selain negara kita, semua orang adalah terbuka untuk berjenaka selama jenaka itu bukan bersifat fitnah.

Semua kepala negara di seluruh dunia adalah bahan terbuka untuk dijenakakan dan ada ketikanya seseorang itu berasa dihormati jika dijenakakan seseorang pelawak, misalnya.

Di negara kita, hanya Datuk Lat yang ada lesen untuk menjadikan para pemimpin sebagai bahan jenakanya.

Beliau juga kelihatan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik - sesuatu yang sebenarnya bagus untuk semua.

Mengapa kita semakin hari semakin menjadi negara yang serius?

Semua perkara mesti melalui tapisan politik. Semua kejadian wajib mendapat kelulusan politik. Lalu kita menjadi negara yang pernah kita ketawakan lama dulu - negara yang diperintah para diktator, misalnya.

Kumpulan yang memimpin mahu sentiasa kelihatan segak, mahu nampak standard , kata orang kampung. Sedangkan kadang-kadang kenyataan yang dikeluarkan mereka sangat bersifat jenaka.

Apa yang lucunya ialah, mereka - si pengeluar kenyataan tersebut - tidak mengganggap ia sebagai sebuah jenaka! Sangat ironis negara ini.

Tafsiran ikut kepentingan politik

Walaupun begitu, memang jenaka wajib ada hadnya. Sensitiviti agama, misalnya, hendaklah jangan disentuh. Semua orang ada kepercayaan masing-masing dan kita hendaklah saling menghormati.

Sebagai orang Islam, kita dilarang keras daripada memperlekehkan agama lain. Kita tidak mahu kejadian serangan maut ke atas sebuah penerbitan di Perancis terjadi akibat tidak sensitifnya mereka.

Agama adalah pegangan hidup seseorang. Semua orang yang beragama yakin bahawa kepercayaan mereka adalah benar. Mempersalahkan mereka adalah kesilapan besar.

Masalah itu ditambah pula dengan segelintir pendukung agama yang membuat pentafsirkan mengikut kepentingan politik masing-masing.

Apabila pertembungan berlaku, maka malapetaka daripadanya mengakibatkan banyak masalah kepada sesuatu kumpulan agama.

Lihat apa pandangan manusia seluruh dunia terhadapat orang Islam selepas beberapa kejadian tidak diingini terjadi.

Di Malaya, Islam pula diisbatkan kepada Melayu - bangsa yang mungkin paling dibenci kerana pada sesetengah orang, Melayu adalah bangsa perlu dibantu, yang tidak mungkin boleh hidup berdikari.

Melayu adalah 'pariah' baru.

Mutu jenaka kita nampaknya telah teruk menurun. Yang lawak itu 'maharaja' kita kata kerana televisyen menyiarkan yang begitu.

Dan tentunya sentiasa mengharapkan Harith Iskandar untuk menjadi savior kepada industri komedi negara akan sangat membebankan beliau.

Oh! Sebelum lupa, gambar dan kapsyen paling lucu minggu ini telah dipadamkan oleh pemilik akaun tersebut. Nampaknya kita terpaksa - jika mahu ketawa - kembali ke televisyen mengikut rancangan lawak yang ditaja.

Jenaka percuma sudah mati.


ABDULLAHJONES pelukis dan penulis di Kuantan yang masih marah setiap hari kerana sebahagian daripada bandar itu bertukar warna menjadi merah.

Lihat Komen
ADS