Berusia agak lanjut, namun penyanyi Aru Peruzza membuktikan dia mempunyai kemampuan - dan kegigihan - yang mungkin jarang ada pada artis lain.
Secara sendirian dia mencipta, menyusun muzik dan menerbitkan albumnya ketika peminat kini lebih ramai memilih untuk berhibur melalui kemudahan internet.
Aru atau nama asalnya Piruzaman Azizan, 50, berkata sebagai orang lama dalam industri hiburan dia mementingkan kepuasan ketika berkarya, termasuk menerbitkan album.
“Saya ni oldskool , itu sebab saya nak lihat hasil titik peluh dijual di rak album kedai.
“Saya mahu benda yang boleh dipegang dan dibelek berbanding gen Y yang lebih suka kepada Internet.
“Anak muda (sekarang) tidak kisah. Buat satu lagu dan keluarkan muzik menerusi alam maya.
"Tetapi tidak begitu bagi saya kerana dalam setiap cakera padat (CD) yang dihasilkan, ada cetakan nama pembikin lagu berkenaan,” katanya kepada Malaysiakini .
Promosi pengaruhi jualan
Nama Aru sebenarnya lebih sinonim dengan band Koffin Kanser dan Republic Of Brickfields (ROB).
Di awal kemunculan Aru dalam dunia seni, dia tampil dengan imej rambut dreadlock dan gaya itulah yang dikekalkannya selepas 20 tahun.
Aru menegaskan, penghasilan album fizikal masih mempunyai kelebihan yang tersendiri biarpun ia dipengaruhi oleh promosi pengedaran.
Dalam kemunculan terbarunya, Aru tampil sebagai artis solo dengan membawa gelaran Aru Peruzza ROB untuk album
Matahati
.
Pendengar boleh menikmati sekurang-kurangnya lapan hingga sepuluh lagu dalam album yang diterbitkan di bawah label Orang Utan Production.
Lagu yang banyak berkisar mengenai kehidupan, ketuhanan, politik dan pelbagai sisi positif itu nanti bakal diperdengarkan dalam filem Gangster Rock - Kasi Sengat.
Sudah bertahun Aru tidak tampil dengan sebarang karya. Alasannya - dia mahu menunggu detik yang "sesuai".
Kali terakhir Aru menerbitkan album adalah pada 2001 melalui Positive (bersama Koffin Kanser) yang dipasarkan di bawah label EMI, selain Ganjaran untuk ROB pada 2007.
“Tahun ini saya kena keluarkan album disebabkan usia sudah mencecah 50.
“Ia bukan mudah kerana semuanya perlu dibuat sendiri," katanya.
Luahkan, barulah 'sempoi'
Menurut Aru, ramai bertanya mengapa albumnya lambat dikeluarkan.
“Jawapan saya mudah, kalau (rasa) nak rakam, (saya) rakamlah,” katanya.
Untuk kemunculan bersama Koffin Kanser pula, single Virus sudah siap dirakam dan hanya menunggu masa untuk diterbitkan.
Masih utuh sebagai pemuzik yang bergerak bebas, Aru meminta agar generasi muda berdikari sekiranya mahu terus kekal berada dalam industri.
Katanya, ramai penggiat muda indie sekarang tidak sedar bahawa amalan meminta pihak lain mencipta lagu untuk mereka adalah "satu kerugian".
“Kalau nak jadi indie, kena keluarkan lagu sendiri dan hasil itu menjadi milik sendiri tanpa pergi kepada orang lain.
“Kita nak rakam lagu sebab nak luahkan apa kita mahu, barulah reaksi pendengar juga sempoi ,” katanya.
