Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Meskipun “Mat Moto” sebuah istilah yang mengundang persepsi buruk, pengarah dan pelakonnya Pekin Ibrahim tetap menyuntik unsur moral dan agama dalam filem itu.

Pekin, 35, berkata, idea asal skrip dan penceritaan dibuat berdasarkan situasi yang pernah berlaku kepada dirinya sendiri.

“Sudah pasti saya akan menerapkan elemen sedemikian kerana itu siapa diri saya yang sebenarnya.

“Kehidupan mengajar saya dan hingga kini masih berguru untuk mendalami hal begitu.

“Hal itu menggambarkan keadaan saya sebelum ini yang pernah jatuh, bangun, rosak dan binasa sebagai (orang) Islam, lebih kurang begitulah,” kata Pekin.

Pekin ditemui Malaysiakini di majlis tayangan kepada media filem berkenaan yang diadakan di Kota Damansara, dekat Kuala Lumpur, kelmarin.

Hingga semalam kutipan filem Mat Moto mencecah RM3 juta sejak tayangan hari pertama 14 Januari lalu.

Empat helmet, empat negeri

Perkara berkenaan disahkan Syafiq Yusuf hari ini.

Selain Pekin, turut mengarah adalah Syafiq yang juga anak kepada sutradara terkenal Datuk Yusuf Haslam.

Mat Moto bukan filem sekadar filem berkaitan aksi mat rempit dan masalah sosial, tetapi penuh dengan mesej positif.

Filem perjalanan ( road movie ) itu digarap berdasarkan kisah sebenar seorang penggemar motosikal bernama Al.

Idea filem yang tercetus sejak dua tahun lalu itu memaparkan Al, dilakonkan Pekin sendiri, mahu mengumpul empat jenis topi keledar yang menjadi kegilaan mat motor melalui jelajah di empat negeri.

Semuanya semata-mata untuk menunaikan hajat seorang sahabatnya yang sudah meninggal dunia.

Dalam misi pencarian helmet berkenaan, Al ditemani oleh penuntut praktikal, Shika (Falisha Crossley).

80 peratus benar

Beberapa artis turut membuat kemunculan istimewa seperti Datuk Rosyam Noor, Shaheizy Sam, Syamsul Yusof, Zulhuzaimy, Faizal Hussein dan Cat Farish.

Pekin yang juga peminat motor sejak di bangku sekolah, sebanyak 80 peratus babak dalam filem itu adalah benar manakala selebihnya adalah fiksyen.

Tambah anak bongsu daripada enam adik beradik itu, untuk Mat Moto , dia membuat beberapa penyelidikan untuk menjadikan watak yang dipaparkan tidak jauh daripada gambaran sebenar.

Dan selari dengan kehidupan sebagai Muslim, Pekin tidak lupa untuk mempamerkan beberapa babak yang menonjolkan golongan itu menjalani kehidupan berlandaskan agama.

Pekin membayangkan imej seperti masjid berserta laungan azan yang berkumandang sebagai wadahnya menyampaikan mesej.

“Bagi saya, elemen seperti itu adalah perkara yang sedikit-sebanyak boleh disumbangkan dalam pembikinan filem yang dibuat.

“Jika Hollywood boleh menyelitkan imej gereja, kenapa kita segan nak buat penggambaran di masjid atau semasa adegan dibuat, kedengaran azan berkumandang?” katanya.

Lihat Komen
ADS